Cara Pasarkan Tanaman Bagi Pekebun Kecil

Cara Pasarkan Tanaman Bagi Pekebun Kecil

Sepanjang saya bergaul dan beramah mesra dengan pekebun kecil, tiada seorang pun yang mengatakan berkebun ini merugikan. Penat, itu sudah pasti, tetapi hasilnya sangatlah memuaskan terutama untuk jangka masa panjang.

Berkebun Bukan Sekadar Bercucuk Tanam

Sebagai cucu penoreh getah yang memiliki tanah sejauh mata memandang, banyak manfaat yang boleh dibuat dengan tanah ini sebenarnya dari segi pertanian. Jika ada ilmu dan tenaga, tanah gambut seluas sekangkang kera pun masih boleh menjana pendapatan. Usaha dan disiplin yang berpanjangan pun penting juga untuk memastikan hasil yang kita hendak cukup berkualiti. Jika usaha setakat lepas batuk di kaki tangga, hasilnya pun lebih kurang macam itulah juga.

Jadikan aktiviti bercucuk tanam sebagai hobi aktif, buat kerana minat bukan kerana gaji atau upah. Kesemua pekebun yang saya pernah bergaul sebelum ini mempunyai satu persamaan yang ketara, minat berkebun. Kebanyakan dari mereka bermula sebagai hobi yang akhirnya menjadi pekebun serius dan mula menjana pendapatan, sehinggakan ada yang berhenti kerja kerana ingin fokus berkebun sepenuh masa.

Kenal pasti Permintaan di Sekeliling Dahulu

Niatkan diri untuk membantu orang dengan berkebun. Kerana dengan cara ini kita akan nampak apa yang sebenarnya bakal pelanggan hendak, terutamanya mereka yang tinggal berdekatan kerana mereka sasaran pertama yang akan menjadi pelanggan nanti. Tidak salah hendak rujuk statistik tanaman laku keras, tetapi tidak bermakna laku keras dalam skala negara, ia juga laku keras dalam skala persekitaran kita.

Bagi Sampel Percuma

Tidak semestinya perlu ada produk dalam bungkusan cantik baru hendak diberikan free sample. Hasil tanaman yang kita dapat sebenarnya adalah produk kita sendiri. Kebiasaannya, pekebun kecil lama akan berkongsi sedikit hasil tuaian mereka dengan jiran tetangga dalam jangka waktu tertentu. Apabila mereka sudah mula kenal dan tahu dengan produk kita, barulah kita kenakan harga.

Menariknya di sini, disebabkan kos penghasilan tanaman jenis sayuran dan bahan mentah yang rendah, kebanyakan pekebun boleh mengenakan harga murah dengan alasan nak cover kos tanaman di mana kebiasaannya bakal pelanggan tersebut sanggup membayar atas faktor mudah dan dekat dengan rumah.

Cara ini walaupun nampak merugikan pada peringkat awal tetapi ia juga merupakan inisiatif untuk mempromosikan produk secara mulut ke mulut. Dengan hanya bermodalkan sedikit hasil tuaian dan sikap ramah, produk kita akan menjadi bualan penduduk komuniti dalam masa yang singkat.

Borong Kepada Peniaga Kecil dan Warung

Walaupun tanah yang kita usahakan hanyalah seluas kangkang kera, ia masih boleh dipelbagaikan dengan sayuran lain. Apabila tanaman yang dihasilkan adalah pelbagai jenis, peluang kita untuk mendapat pelanggan dari jenis peniaga kecil adalah lebih tinggi. Ini kerana, kebanyakan peniaga kecil dan warung tidak memerlukan bahan mentah yang banyak tetapi berterusan.

Mungkin mereka akan beli hasil tanaman kita dalam kuantiti yang sedikit, jika banyak pun tidak sama dengan tahap pasar tani, tetapi mereka akan menjadi pelanggan tetap yang pasti akan membeli. Berbeza dengan jiran tetangga yang mempunyai pilihan untuk masak sendiri atau makan di luar, golongan ini akan sentiasa memerlukan hasil tanaman kita.

Jual Hasil Tanaman Pada Peniaga Pasar Tani

Kebanyakan peniaga pasar tani memborong barang jualan dari pekebun yang sedia ada. Ia lebih mudah kerana tugas mereka cuma berniaga manakala tugas kita cuma bercucuk tanam dan menjaga kebun sahaja. Sesetengah pekebun yang inginkan untung lebih akan berniaga sendiri, cara itu tidak salah tetapi agak penat kerana terpaksa menanggung beban tambahan.

Ada juga peniaga yang tidak kisah menambah lagi stok jualan mereka kerana mereka mempunyai pelbagai cabang perniagaan selain pasar tani untuk mereka jual stok tanaman tersebut. Sebaiknya kaedah ini digunapakai apabila hasil tuaian mencapai jumlah yang melebihi hasil permintaan penduduk setempat.

Mungkin ada yang risau dari segi persaingan, itu tak dapat dinafikan. Tetapi, selagi mana ada permintaan berterusan, persaingan bukanlah masalah utama. Apatah lagi, kerajaan juga sangat menyarankan rakyat untuk mengusahakan industri pertanian atas faktor pemintaan tinggi dan kekurangan hasil tanaman.

 


Featured Image: Flowers photo created by freepik – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen