Borak Tepi bersama Ahmad Saiful Bahri, Freelancer Web Tersohor

Ahmad Saiful Bahri

Mendapatkan khidmat pembangunan website atau aplikasi yang berkaitan sering menjadi cabaran yang sukar jika kita tidak mahir dalam selok belok industri pembangunan web. Ini kerana ada servis yang sama ditawarkan dengan harga yang berbeza. Sama ada mendapatkan khidmat dari syarikat mahupun individu tertentu. Masyarakat sering meluahkan perasaan tidak puas hati apabila sesuatu projek itu disiapkan dengan harga yang ditawarkan.

Untuk memadamkan stigma tersebut, Tuan Ahmad Saiful Bahri telah melancarkan website beliau dengan menawarkan servis yang melibatkan pembangunan web, mobile dan yang setara dengannya.

Berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada beliau.

#1 – Mengapa anda memilih sebagai Freelancer, apa yang umum perlu tahu tentang anda.

Saya menjadi Freelancer secara tidak sengaja. Pada tahun 2016 syarikat dimana saya bekerja menghadapi masalah kewangan dan saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Saya ada menerima beberapa tawaran untuk bekerja di beberapa syarikat lain, namun kebetulan pada masa itu ada satu projek yang ditawarkan kepada saya secara freelance.

Maka bermulalah kehidupan sebagai Freelancer, pada awalnya saya merancang untuk kembali bekerja setelah projek selesai namun ada beberapa perkara yang saya suka sebagai Freelancer.

Menjadi Freelancer sepenuh masa mempunyai waktu bekerja yang fleksibel dan tidak terikat dengan waktu pejabat. Dan juga tidak perlu menghadapi kesesakkan lalu lintas, seperti perlu ke pejabat. Kerja boleh dilakukan dari rumah.

Atas faktor tersebut, saya meneruskan kerja sebagai Freelancer sepenuh masa sehingga ke hari ini.

#2 – Melalui pengalaman, apa yang anda boleh katakan tentang pelanggan dari neraka (bermasalah)?

Sebenarnya kita yang memilih siapa pelanggan kita, kalau kita pilih pelanggan dari neraka maksudnya kita sedia untuk menghadapinya. Ada beberapa tips untuk kenal pasti samada pelanggan itu bagus atau tidak.

1 – Dah beberapa kali jumpa masih belum “confirm“.
2 – Sentiasa berubah-ubah permintaanya.
3 – Selalu berkata atau berjanji tentang sesuatu yang belum terjadi.
4 – Minta tunjuk demo, presentation, atau mockup tanpa deposit.
5 – Nak sesuatu dengan cepat sepantas kilat.

Saya tidak akan ambil pelanggan seperti ini.

#3 – Apa formula yang anda gunakan bagi menentukan harga bagi servis yang anda tawarkan?

Bagi saya, tiada harga yang tetap dalam kerja pembangunan sistem atau aplikasi. Jadi harga selalunya bergantung kepada bilangan modul yang perlu dibangunkan, tempoh masa yang diambil, dan akhir sekali dan sangat penting, perlu tahu siapa pelanggan kita. Pelanggan yang besar maka harganya lebih mahal, berbanding dengan pelanggan individu atau syarikat kecil.

#4 – Apa pandangan anda tentang Freelancer yang hit-and-run?

Freelancer begini boleh menjejaskan rakan-rakan lain yang mencari projek secara freelance juga. Kerana lambat laun pelanggan akan mempunyai persepsi susah untuk bekerja dengan Freelancer. Adalah penting untuk mana-mana individu yang ingin mendapatkan khidmat Freelancer untuk selidik dahulu profil mereka seperti projek yang pernah dibuat, dan reviu dari pelanggan-pelanggan mereka yang terdahulu.

#5 – Tips mudah yang anda boleh berikan kepada mereka yang berminat hendak menjadi seperti anda?

Jika anda masih bekerja, jangan terus melompat masuk ke dalam dunia freelance sepenuh masa. Hakikatnya, tidak mudah untuk mencari projek dan menjana pendapatan untuk menampung hidup. Anda boleh mula dengan mengambil projek kecil secara sampingan (part time), dan dalam masa yang sama masih mempunyai pendapatan tetap. Untuk setiap projek yang anda berjaya laksanakan, jadikan ianya sebagai portfolio untuk memudahkan anda mendapatkan projek yang lebih besar.

Anda juga harus pandai mendapatkan pendapatan sampingan melalui “after sales service/support” untuk setiap projek yang anda sudah selesaikan. Ini akan menjadi sumber pendapatan tetap kepada anda. Jika sudah stabil, boleh la anda berhenti kerja dan menjadi Freelancer sepenuh masa.

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


Website: azbahri.my
Telefon: +60192486332


 

Kongsikan Artikel Ini

2 Komen mengenai “Borak Tepi bersama Ahmad Saiful Bahri, Freelancer Web Tersohor”

Tinggalkan Komen