Bagaimana Netflix Bunuh Blockbuster

Bagaimana Netflix Bunuh Blockbuster

Hari ini bila kita sebut istilah “Netflix n Chill”, hampir kesemua orang tahu istilah tersebut. Siapa tak kenal Netflix? Platform yang paling popular untuk menonton pelbagai jenis rancangan TV secara atas talian. Tetapi tak ramai yang tahu bagaimana Netflix bermula. Kebangkitan Netflix telah mengakibatkan salah satu rangkaian perkhidmatan sewa pita rakaman terbesar di US, Blockbuster, bankrap sepenuhnya.

Semuanya bermula apabila seorang jutawan IT bernama Reed Hastings terlewat memulangkan videotape yang disewa dari Blockbuster. Walaupun cuma dikenakan denda sebanyak $40 USD, Reed berasa ‘takut’ untuk memberitahu isterinya. Dia cuba memikirkan bagaimana dia boleh mengelakkan denda di masa akan datang, bukan saja untuk dirinya tetapi untuk semua orang. Kesannya, Netflix dilahirkan.

Evolusi Rakaman Video

Netflix pada asalnya bukanlah sejenis platform atas talian yang kita kenal seperti hari ini. Pada peringkat awal, Netflix menawarkan perkhidmatan sewa DVD sama seperti perkhidmatan sewa videotape. Walaupun DVD menawarkan tayangan yang lebih berkualiti berbanding videotape. Netflix menghadapi kesukaran untuk membuat jualan kerana kebanyakan rakyat USA ketika itu tidak mempunyai pemain DVD di rumah. Kerana teknologi tersebut masih baru dan mahal. Ia pernah mencecah $1,000 USD semasa mula-mula diperkenalkan. Namun begitu, Reed yakin bahwa rakyat USA akan berubah daripada pemain VHS (videotape) kepada pemain DVD atas faktor kualiti yang dibawakan oleh DVD.

Strategi Pemasaran Mesra Pelanggan

Tidak cukup dengan itu, Reed telah merangka plan sewaan DVD yang lebih mesra pelanggan. Plan Netflix rangkaan Reed menawarkan lebih banyak pilihan dengan bayaran ahli yang lebih rendah berbanding Blockbuster. Untuk menjadikan Netflix lebih menarik, Reed langsung tidak mengenakan caj lewat hantar kepada pelanggan.

Konsep yang digunakan oleh Netflix juga berbeza jika nak dibandingkan dengan Blockbuster. Netflix tidak mempunyai rangkaian cawangan yang banyak seperti Blockbuster di mana pelanggan boleh datang dan menyewa mana-mana rancangan yang ada sahaja. Untuk menjimatkan kos dan mempercepatkan urusan, Netflix menggunakan perkhidmatan pos, di mana pelanggan Netflix akan menerima satu DVD dan boleh memilih untuk menonton DVD seterusnya sebaik saja dia memulangkan DVD pertama melalui sampul khas yang disediakan oleh Netflix.

Untuk menjadikannya lebih menarik, Netflix tidak meletakkan had maksimum bilangan DVD yang boleh disewa. Langkah Netflix ini telah mengakibatkan Blockbuster berada dalam keadaan tenat kerana konsep Blockbuster lebih mahal dan rumit, pelanggan Blockbuster perlu berdaftar terlebih dahulu dengan yuran bulanan dan setiap videotape yang disewa akan dikenakan caj berasingan. Bukan itu sahaja, pelanggan Blockbuster hanya boleh menyewa 3 videotape dalam satu masa dan sebarang kelewatan akan dikenakan denda mengikut caj tertentu yang kebiasaanya lebih mahal dari harga sewaan.

Tuah sang Neflix

Perniagaan Netflix semakin stabil apabila harga pemain DVD semakin murah dan mula menjadi pilihan orang ramai. Rakyat USA mula beralih kepada pemain DVD dan secara tidak langsung membunuh perniagaan Blockbuster. Blockbuster cuba bersaing dengan Netflix menggunakan platform yang sama tetapi kerana lambat bertindak, usaha Blockbuster ibarat membuang duit ke dalam tong sampah. Kejayaan ini juga diambil oleh Netflix untuk terus mengembangkan sayapnya ke dunia digital dan berkembang pesat sehinggalah kepada Netflix yang kita kenali harini.

 


Featured Image: Technology photo created by freepik – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen