Borak Tepi bersama Arif Tukiman, CEO RunCloud

Arif Tukiman RunCloud

Mendirikan sebuah syarikat permulaan atau startup bukanlah tugas yang mudah. Pada peringkat permulaan dengan kekangan modal untuk mengetengahkan idea yang baharu memberikan cabaran yang bukan mudah untuk di galas.

RunCloud adalah sebuah syarikat yang menawarkan perisian sebagai servis iaitu panel kawalan untuk aplikasi PHP berasaskan perkomputeran awan. Mempunyai 80 peratus pelanggan dari negara luar, memungkinkan syarikat ini diangkat sebagai syarikat tempatan bertaraf internasional.

Berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada Arif Tukiman Ketua Pegawai Eksekutif dan juga pengasas bersama RunCloud Sdn Bhd.

#1 – Anda dikenali sebagai CEO RunCloud, bagaimana ia bermula dan apa yang umum perlu tahu?

Dipendekkan cerita, pengalaman pertama saya berniaga ketika berumur 10 tahun, membantu bapa menjual kuih cakoi. Ketika dalam semester dua di UTM skudai, saya mula melakukan freelance. Menawarkan servis membuat website, graphic design, print t-shirt yang mana pelanggan utama adalah dikalangan pelajar dan pensyarah universiti. Servis dilakukan atas nama Sejuk Studio.

Ketika ini juga saya mula mengenali co-founder yang lain, Amir Fazwan (Amir) dan Ahmad Fikrizaman (Jebat). Amir ketika itu menawarkan servis web hosting dan Jebat pula servis VPN.

RunCloud Founders
RunCloud Founder. Jebat, Arif, Amir

Selepas menamatkan pengajian pada tahun 2014. Saya, Amir dan Jebat sepakat menubuhkan Cool Code Sdn. Bhd. Dengan modal yang hanya tertulis diatas kertas, kami mula mencuba peluang yang ada seperti memasuki pertandingan dan program bisnes yang kerajaan anjurkan. Sepanjang tahun 2014 sehingga 2016, aktiviti perniagaan hanya tertumpu kepada aktiviti yang melibatkan animasi, mobile app dan web app. Didi & Friends dan Omar & Hana adalah antara pelanggan Cool Code sehingga hari ini.

Dalam tempoh ini juga, kami mula membuat produk, Rainbow Jawi salah satu darinya. Jebat mengetengahkan idea untuk mengeluarkan produk yang boleh menguruskan hosting. Ia hasil dari pengalaman berulang ketika melakukan konfigurasi untuk pelanggan, oleh itu lahirlah Web Hosting Panel atau singkatannya WHoP. Melalui jaringan alumni UTM, kami diperkenalkan dengan JomLaunch. Ketika edisi kedua, kami telah memperkenalkan WHoP buat kali pertama kepada umum.

WHoP secara asasnya aplikasi yang menyerupai CPanel. Maklum balas yang diterima bercampu baur dan sedikit mengecewakan, dan disini saya berterima kasih kepad Iszuddin Ismail kerana memberikan idea apa yang boleh diperbaiki. Dari WHoP lahirlah RunCloud, dan kemudian RunCloud Sdn Bhd. Dengan kemahiran Product Designer kami Kamarool Karim, menjadikan interface RunCloud disukai ramai. Selebihnya, apa yang anda tahu kini. Begitulah cerita pendek saya.

#2 – Sebagai pendiri syarikat, apa cabaran pahit yang pernah dihadapi?

Oleh kerana RunCloud adalah syarikat tempatan, Asia yang dari Malaysia. Dan kemudian menghasilkan pula produk yang melibatkan server. Ia susah hendak diterima tanpa dibanding-bandingkan dengan produk yang telah sedia kukuh dipasaran. Pengguna luar negara tidak yakin hendak menggunakannya serta memandang sinis kemampuan kami. Tidak terkecuali juga pengguna tempatan, ramai yang bertaruh berapa lama kami boleh bertahan dan banyak pertanyaan yang mempersoalkan mengapa perlu hasilkan sesuatu yang telah dibuat.

Berkat kesabaran dan strategi yang dilakukan, kami berjaya menepis setiap stigma yang dilontarkan, walaupun tidak semua.

Walaupun begitu, saya amat berterima kasih atas sokongan pengguna-pengguna tempatan yang sering memberikan maklum balas penambah baikkan dan sering mempromosikan RunCloud. Terima kasih juga kepada admin JomWeb terutamanya Jasdy Syarman, yang banyak membantu mempromosikan RunCloud dan memberikan idea.

Terima kasih dari saya, dari hati penuh ikhlas.

#3 – Syarikat membayar sumber luar, negara India antaranya. Ada sebab keputusan itu dibuat?

Ini antara soalan yang selalu ditanyakan kepada saya. Sepanjang dua tahun RunCloud Sdn Bhd beroperasi, kami hanya mempunyai bajet yang minima. Tetapi kami perlukan tenaga kerja yang mampu menangani isu yang kami hadapi, seperti sokongan teknikal. Ia melibatkan sokongan teknikal peringkat antarabangsa.

Oleh itu, kami berpendapat kos operasi boleh diminimakan dengan menggajikan syarikat dari luar, seperti dari negara India. Saya amat bersyukur kerana itu adalah keputusan yang tepat.

Walaupun begitu, kami sudah mula menambah tenaga kerja tempatan. Sehingga kini sudah ada 25 kekuatan tenaga kerja dan ia akan bertambah sedikit demi sedikit mengikut keperluan.

#4 – Antara tips yang anda boleh berikan untuk mereka yang ingin bikin startup?

Saya selalu katakan kepada co-founder yang lain seperti ini:

1 – Sentiasa berfikiran positif: Ia untuk memastikan kita dapat menerima teguran dan memperbaiki apa yang kurang. Kita sebagai manusia, kita tidak sempurna.

2 – Sentiasa berfikiran terbuka dan bercita-cita besar: Terbuka untuk menghadapi cabaran dan tidak perlu takut jika apa yang ingin dilakukan itu terlalu besar.

3 – Bermula dengan apa yang ada: Kita mulakan sesuatu perancangan itu dengan modal dan peluang yang ada. Ia ibarat, jika seluk poket seluar, ada lima ringgit. Kita buatlah apa yang boleh dengan duit itu.

RunCloud Team
RunCloud Team

#5 – Apa perancangan untuk RunCloud 5 tahun akan datang?

Lima tahun adalah tempoh yang bukan sekejap. Sepanjang tempoh itu tidak mustahil apa sahaja boleh berlaku. Antara yang ingin dicapai jika mempunyai peluang dan perancangan berjaya:

1 – Kami ingin mencapai 100 ribu active users.

2 – RunCloud tersenarai dibursa saham Amerika Syarikat seperti NYSE dan NASDAQ. Jika dikecilkan cita-cita ini, RunCloud tersenarai di Bursa Malaysia dan Asia.

3 – RunCloud menjadi jenama ‘de facto‘ untuk hosting panel. Seperti jika disebut hosting, umum akan menyebut CPanel. Kami impikan ia bertukar menjadi RunCloud.

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


Website: RunCloud.io
Featured Image: ItsMe.Najoe


 

Kongsikan Artikel Ini

2 Komen mengenai “Borak Tepi bersama Arif Tukiman, CEO RunCloud”

Tinggalkan Komen