Daftar Perniagaan Guna SSM EzBiz Online

Daftar Perniagaan Guna SSM EzBiz Online

Sama ada anda menjalankan perniagaan secara konvesional atau online, anda perlu mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956) dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bermula 2016, aplikasi laman web Ezbiz Online telah diperkenalkan. Pada permulaannya, aplikasi ini hanya untuk pembaharuan lesen perniagaan sahaja tetapi kini aplikasi ini boleh digunakan untuk mendaftarkan perniagaan baharu. Pemohon perlu mendaftar akaun di Ezbiz Online terlebih dahulu.

Cara Daftar Akaun Ezbiz Online

Layari aplikasi Ezbiz Online di ezbiz.ssm.com.my dan klik pada butang “Sign Up” untuk pendaftaran baharu.

ezbiz sign up

Isikan maklumat nombor kad pengenalan di ruangan “ID No” dan nama penuh di ruangan “Name as per IC” dan kemudian klik pada butang Register untuk langkah seterusnya.

ezbiz1

Pada halaman berikutnya, isikan maklumat lengkap mengikut ruangan yang disediakan untuk meneruskan pendaftaran.

ezbiz2

A.    Username – Nama pengguna untuk log masuk
B.    Password    – Kata laluan untuk log masuk
C.   Re-Type Password – Ulangan kata laluan seperti di (b)
D.   Email – Alamat e-mel yang sah
E.   Re-Type Email – Ulangan alamat e-mel seperti di (e)
F.    Name – Nama penuh pemohon
G.   Colour – Warna kad pengenalan MyKad pemohon
H.   Nationality – Kewarganegaraan pemohon
I.     Gender – Jantina pemohon
J.    Date of Birth – Tarikh lahir pemohon
K.  Race – Bangsa pemohon
L.   Residential Address – Alamat pemohon

Selepas pendaftaran selesai, pemohon akan menerima notis pemberitahuan melalui e-mel yang didaftarkan. Pemohon dikehendaki hadir ke kaunter SSM di cawangan berdekatan untuk pengaktifan ID menggunakan pengesahan cap jari (biometrik). Sila bawa MyKad dan notis pemberitahuan. Pengaktifan hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup bagi mengelakkan penipuan.

Selesai semua langkah di atas, pemohon boleh mula menggunakan aplikasi Ezbiz Online bagi membuat pendaftaran atau pembaharuan perniagaan secara atas talian.

Cara Daftar Perniagaan Melalui Ezbiz Online

Layari aplikasi Ezbiz Online dan log masuk menggunakan username serta password yang telah didaftarkan dan disahkan. Pastikan juga anda memasukkan verification code sama seperti yang tertera.

ezbiz3

Sekiranya log masuk berjaya, anda akan dibawa ke paparan dashboard pengguna. Pilih menu “My Business Services” dan klik pautan “New Business” di bawah sub-menu “New Business Registration” untuk pendaftaran perniagaan baru.

ezbiz4

Isikan maklumat yang diperlukan di ruangan Main Information yang disediakan seperti di contoh gambar berikut.

ezbiz5

A. Name Type – Pilihan nama perniagaan menggunakan nama sendiri / nama perniagaan
B. Business Name – Nama perniagaan mengikut pilihan di (a)
C. Business Start Date – Tarikh memulakan perniagaan
D. Partnership Agreement Date – Tarikh perjanjian perkongsian jika ada
E. Incentive – Pilih Not Applicable jika tidak mendaftar menggunakan inisiatif untuk pelajar
F. Registration Period – Tempoh pendaftaran dar 1-5 tahun
G. Business Info – Pilih Yes jika anda memerlukan Salinan info Perniagaan
H. Status – Status Data Entry akan dipaparkan secara automatic
I. Incubator – Pilih Yes jika anda peniaga di Sarawak yang menggunakan khidmat incubator
J. Is Online Seller? – Pilih Yes jika anda berniaga secara atas talian

Pastikan anda memasukkan alamat yang sah di bahagian “Main Address” dan “Mailing Address” yang disediakan. Klik butang “Copy From Main Address” jika alamat yang digunakan sama seperti di “Main Address”.

ezbiz6

Klik butang Next untuk terus ke langkah seterusnya.  Paparan Branches Information akan ditunjukkan. Masukkan alamat cawangan sekiranya ada atau abaikan ruangan ini.

ezbiz7

Seterusnya anda akan dibawa ke paparan Business Information. Isikan ringkasan tentang perniagaan yang dijalankan di ruangan “Type of Business”.

ezbiz8

Klik butang “Add Business Code” dan pop-up akan ditunjukkan. Masukkan carian berkaitan perniagaan anda di ruangan keyword untuk mendapatkan “Business Code” yang disediakan oleh pihak SSM. Pilih sekurang-kurangnya 1 pilihan “Business Code” dan klik butang “Add Selected Code”.

ezbiz9

Setelah selesai, klik butang Next untuk ke paparan seterusnya iaitu Owner Information. Klik ikon di Action untuk menyemak atau mengemaskini maklumat pemilik.

ezbiz10

Bahagian pemilik akan terpapar secara automatik kerana pemilik telah membuat pengesahan ID Ezbiz Online sebelum membuat permohonan pendaftaran perniagaan.

ezbiz11

Paparan seterusnya akan ditunjukkan ruangan attachment untuk anda melampirkan surat perjanjian sewaan inkubator atau lain-lain yang dikehendaki yang berkenaan sekiranya ada.

ezbiz12

Semak bahagian bayaran dan tandakan di bahagian deklarasi di paparan Fee & Declaration. Klik butang Preview untuk lihat semula permohonan yang telah diisi.

ezbiz13

Jika tiada sebarang perubahan, anda boleh terus ke cara bayaran pendaftaran dengan menekan butang Submit Payment. Terdapat 2 pilihan sama ada untuk bayar secara atas talian dengan menekan butang Pay Online atau bayaran di kaunter SSM dalam tempoh 24 jam dengan menekan butang Pay Over The Counter.

ezbiz14

Pemohon boleh menyemak status permohonan pendaftaran di menu List New Business Registration. Sekiranya permohonan memerlukan kemaskini, pihak SSM akan memaklumkan terus di halaman status ini untuk pemohon mengemaskini dengan segera.

ezbiz15

Kesimpulan

Semoga perkongsian ini dapat membantu memudahkan para peniaga untuk membuat pendaftaran perniagaan secara atas talian. Diucapkan selamat maju jaya dan semoga perniagaan anda berjalan lancar dan menjana keuntungan.

 


Featured Image: Coffee photo created by jcomp – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

2 Komen mengenai “Daftar Perniagaan Guna SSM EzBiz Online”

    1. Untuk pembayaran perlu melalui online banking FPX. Hanya perlu klik butang Pay Online untuk dibawa terus ke halaman pembayaran.

Tinggalkan Komen