Singapura Malaysia Perkukuh Kerjasama Bidang Infokom Dan Media

Vintage Radio

SINGAPURA — Menteri Komunikasi dan Penerangan Singapura S. Iswaran dan rakan sejawatan dari Malaysia Gobind Singh Deo akan menghadiri Muzika Ekstravaganza (Muzika) Ke-13, penerbitan bersama Mediacorp dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Dihoskan Singapura pada tahun ini, Muzika menggariskan hubungan rapat dan kerjasama erat antara Singapura dan Malaysia dalam bidang infokom dan media, menurut kenyataan bersama kedua-dua kementerian itu di sini hari ini.

Bertemakan Move to the Groove (Mari Kita Gelek), Muzika yang bermula pada tahun 2005 itu, mempamerkan evolusi muzik dan tarian, Singapura dan Malaysia.

Dihoskan pengacara Singapura, Najib Ali berganding dengan penyanyi dan pengacara Malaysia, Nana Mahazan, Muzika Ekstravaganza yang berlangsung dua jam itu akan disiarkan secara langsung oleh Mediacorp Suria dan RTM di saluran TV2 pada 8.30 malam ini.

Ia akan menampilkan persembahan yang mempunyai pengaruh di rantau ini dan dunia seperti muzik Latin dan K-Pop oleh penyanyi dari kedua-dua negara, termasuk Taufik Batisah, Rahimah Rahim, Hetty Sarlene, Waris, Jay Jay dan Gerhana Ska Cinta.

Semalam, pegawai kerajaan dari Singapura dan Malaysia mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) ketiga mengenai Kerjasama Dalam Bidang Maklumat dan Komunikasi di Singapura.

JCM itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Komunikasi dan Penerangan Singapura Yong Ying-I dan rakan sejawatan dari Malaysia Datuk Suriani Ahmad.

Kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu termasuk infokom, keselamatan siber, transformasi digital dan pertukaran profesional, menurut kenyataan itu.

Para pegawai dari Malaysia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Nurini Kassim, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Abdul Muis Shefii, Ketua Pengarah Penerangan Roselindawati Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

— BERNAMA

 


Featured Image: Background photo created by visnezh – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen