9 Ciri Untuk Menjadi Usahawan Berjaya

9 Ciri Untuk Menjadi Usahawan Berjaya

Konsep keusahawanan moden memerlukan lebih daripada idea yang hebat. Usahawan perlu mempunyai personaliti yang unik dan ciri-ciri tertentu dalam sikap, kemahiran dan pengetahuan. Walaupun tiada sifat khusus yang boleh menentukan individu sebagai seorang usahawan. Pengalaman lalu telah menggariskan beberapa ciri umum seorang usahawan yang berjaya.

Berikut adalah 9 ciri yang perlu ada untuk menjadi usahawan berjaya:

#1 – Inisiatif

Seorang usahawan sangat komited terhadap tugasnya dan tidak mudah menyerah kalah atau mengakui kekalahan. Dia akan melihat kegagalan itu sebagai satu peluang untuk mencapai kejayaan di masa akan datang. Sekiranya dia gagal pada kali pertama, dia akan terus komited untuk mencuba lagi sehingga berjaya. Sikap ini akan memberi kesan positif kepada pekerjanya kerana beliau berjaya menunjukkan contoh kepimpinan dalam menguruskan perniagaan.

#2 – Disiplin Dan Konsisten

Usahawan yang berdisiplin dan konsisten dalam kerjayanya akan diiktiraf untuk perkhidmatan yang berterusan serta mengambil kira pendapat semua pihak dalam menjalankan perniagaannya.

#3 – Kejujuran Dan Kepercayaan

Sikap ini akan mewujudkan keyakinan di kalangan pelanggan dan rakan kongsi perniagaan. Perniagaan tersebut akan dianggap sebagai entiti yang boleh dipercayai sekiranya usahawan tersebut meletakkan kepentingan komuniti sebagai keutamaan dan bukan sekadar mengaut keuntungan peribadi semata-mata.

#4 – Proaktif

Kebanyakan usahawan yang berjaya adalah orang yang hands-on yang bermakna apabila dia fikir sesuatu yang benar-benar perlu dilakukan, dia akan melakukannya kerana dia akan menganggap perniagaan itu sebagai lanjutan dirinya sendiri.

#5 – Berorientasikan Matlamat

Seorang usahawan perlu menjadi seorang yang strategik dan mempunyai idea yang jelas tentang apa yang beliau perlu untuk mencapai matlamat serta cara untuk mencapainya. Beliau menentukan bagaimana perniagaannya akan mencapai kejayaan serta sanggup untuk menghadapi halangan dan cabaran.

#6 – Kreatif Dan Inovatif

Seorang usahawan akan mencipta idea-idea baru dan berinovasi secara konsisten untuk pembangunan produk atau perkhidmatan. Beliau juga akan terus berusaha dalam pemasaran bagi memastikan produk atau perkhidmatan itu sampai kepada pengguna di dalam pasaran.

#7 – Bijak Mengambil Peluang

Seorang usahawan akan berupaya untuk menukarkan situasi di persekitarannya kepada peluang perniagaan. Beliau bukan sahaja mampu menghasilkan satu idea yang bernas, malahan menukar idea tersebut dalam bentuk keuntungan. Beliau juga berupaya untuk melihat persekitarannya dengan jelas dan menukarkannya untuk memenuhi matlamatnya dalam usaha untuk memperbaiki perniagaan yang dijalankan.

#8 – Mengambil Risiko

Seorang usahawan yang sebenar tidak akan mempersoalkan tentang kejayaan perniagaannya, kerana beliau percaya bahawa kejayaan akan dapat dicapai dan berani untuk mengambil risiko. Beliau mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap cita-cita dan matlamatnya dan telah melakukan usaha-usaha untuk mencapai kejayaan tersebut.

#9 – Mudah Mesra

Seorang usahawan yang berjaya mempunyai kemahiran komunikasi yang bagus dan kekuatan ini akan membolehkan beliau untuk menjual produk atau perkhidmatannya kepada pelanggan dengan efektif. Beliau juga adalah seorang pemimpin yang berupaya untuk memberi motivasi, inspirasi dan mempengaruhi orang di sekelilingnya.

 


Sumber: StartMeUp – Kit Panduan Bagi Perniagaan Permulaan
Featured Image: Business photo created by katemangostar – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Satu Komen mengenai “9 Ciri Untuk Menjadi Usahawan Berjaya”

Tinggalkan Komen