Rancangan Perniagaan / Business Plan

Rancangan Perniagaan

Masih adakah keperluan untuk menyediakan rancangan perniagaan atau business plan?. Rata-rata jika ditanyakan pada usahawan, mereka akan katakan tidak perlu dan membuang masa. Atau mungkin mereka akan katakan perlu, hanya jika ingin memohon bantuan kewangan dari syarikat kewangan. Bagi usahawan baru seperti start-up pula mengatakan penyediaan rancangan perniagaan sudah lapuk kerana sekarang hanya perlu menyediakan pitch-deck yang lebih ringkas dan mudah.

Ada juga yang bertanya, apa gunanya menyediakan rancangan perniagaan sedangkan perniagaan sekarang terutamannya start-up sangat dinamik dan sentiasa berubah-ubah. Menyediakan rancangan perniagaan seperti membuang masa, memandangkan ia akan berubah mengikut keadaan semasa dan akan mengakibatkan perniagaan mereka agak “rigid” jika tidak diubah atau “pivot” mengikut keperluan.

Sebenarnya, penyediaan rancangan yang bagus adalah amat penting bagi usahawan untuk lebih fokus dalam langkah-langkah penting untuk mencapai kejayaan idea perniagaan anda. Ia juga penting bagi anda mencapai objektif jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Eugene Kleiner seorang Venture Capitalist menyatakan, penyediaan rancangan perniagaan akan memaksa usahawan untuk berfikir dengan lebih berdisiplin. Sesuatu idea perniagaan mungkin nampak hebat, tetapi jika kita masukkan perinciannya dan angka-angka didalamnya idea tersebut mungkin akan hancur.

Sebab di atas juga mungkin menyebabkan usahawan agak berat untuk menyediakan rancangan perniagaan kerana mereka perlu berfikir secara lebih kritis dan mungkin juga dalam menyediakan rancangan perniagaan tersebut, mereka akan terjumpa perkara-perkara yang tidak menyedapkan hati. Tapi itulah tujuan penyediaan rancangan perniagaan agar lubang-lubang ketidakpastian dapat ditutup sebelum perkara buruk terjadi.

Ramai penganalisa pelaburan syarikat juga bersetuju, idea yang bagus sahaja tidak cukup jika tidak di sokong dengan formula, strategi, perlaksanaan dan perancangan strategik untuk menjayakan idea tersebut.

Berikut adalah 4 sebab mengapa usahawan memerlukan Rancangan Perniagaan:

#1 – Mendapatkan Suntikan Modal

Bagi pelabur dan syarikat kewangan, rancangan perniagaan adalah syarat wajib sebelum mereka memberikan apa yang anda mahu, iaitu duit mereka. Hanya bersandarkan konsep perniagaan mungkin tidak memadai. Mereka perlu tahu dengan lebih terperinci rancangan perniagaan anda untuk memahami atau lebih percaya kemampuan anda untuk merialisasikan idea perniagaan dan keperluan kewangan yang anda perlukan bagi mencapai hasrat tersebut.

#2 – Membuat Keputusan Yang Jelas

Sebagai seorang usahawan, mempunyai rancangan perniagaan memberikan anda idea yang lebih jelas mengenai perniagaan anda, ia juga akan menjadikan anda lebih fokus terhadap idea dan strategi bisnes. Anda bukan hanya dinilai dari segi kewangan tetapi juga dari segi pengurusan, perancangan sumber manusia, teknologi dan pembangunan nilai bagi pelanggan anda.

#3 – Mengenal Pasti Kelemahan

Dengan menyediakan rancangan perniagaan para usahawan dapat mengenal pasti kemungkinan cabaran-cabaran atau lubang-lubang dalam idea perniagaan yang perlu diatasi. Rancangan perniagaan tersebut juga boleh dikongsi bersama pakar yang boleh memberikan maklum balas atau nasihat. Dapatkan pakar atau professional yang mempunyai pengetahuan untuk memberikan nasihat yang bernas dan berkongsi rancangan perniagaan anda.

#4 – Berkongsi Idea Dengan Pihak Berkepentingan

Sesuatu rancangan perniagaan boleh dijadikan alat komunikasi dengan bakal pelabur atau peminjam. Ia juga boleh dijadikan alat untuk menarik orang untuk berkerja dengan anda dan mendapatkan bakal pelanggan dan rakan kongsi yang percaya dengan idea perniagaan anda.

Kesimpulan

Menyediakan rancangan perniagaan memerlukan pemikiran secara mendalam. Ia membuatkan anda berfikir kenapa anda ingin menjalankan perniagaan tersebut, apa yang anda ingin dicapai dan bagaimana mencapai impian anda. Ia akan menjadi asas yang mencorakkan perniagaan anda.

Rancangan perniagaan boleh diubah tetapi dengan menetapkan arah tujuan dan apa yang anda ingin capai anda boleh mencorakkan bagai mana ia dicapai dan segala perubahan memberikan hasil yang lebih baik dari apa yang dirancang.

 


Ahmad Rizal Abd Razak

Artikel oleh Tuan Ahmad Rizal Abd Razak, Director SASCO Sdn Bhd dan mantan Vice President  Cradle Fund Sdn Bhd.

SASCO Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan bantuan penyediaan strategi, perlaksanaan dan perancangan strategik perniagaan. Untuk mendapatkan khidmat perundingan perniagaan, sila WhatsApp ke +60123156916 untuk menetapkan temujanji.

Featured Image: Business photo created by freepik – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen