Isu Remeh Mewujudkan Perisian WhatsApp

Isu Remeh Mewujudkan Perisian WhatsApp

Sesetengah idea geliga yang membawa perubahan besar pada dunia lazimnya datang daripada minda kreatif yang ingin menyelesaikan masalah harian. Perkara yang sama berlaku pada pencipta aplikasi mesej yang terbesar di dunia iaitu WhatsApp. Jan Koum, pendiri bersama yang membangunkan aplikasi WhatsApp bersama Brian Acton pada tahun 2009, mengakui bahwa idea tersebut datang apabila beliau selalu terlepas panggilan telefon dari peranti iPhone.

Semasa sesi wawancara di Muzium Sejarah Komputer di Silicon Valley, Koum mengesahkan punca utama dia membangunkan aplikasi tersebut. “Ia bermula bila saya membeli iPhone. Sejujurnya, masalah tu bukan datang dari iPhone tapi kesukaran untuk memberitahu kawan-kawan dan keluarga bila saya sibuk atau tiada kelapangan yang menjadi masalah sebenarnya. Saya jadi sangat terganggu apabila saya terlepas panggilan sewaktu di gim.” Kata Koum dalam laporan CNBC.

Dari situ, Koum dan Acton sebulat suara merancang untuk membina aplikasi yang boleh memberitahu orang jika mereka boleh dihubungi dalam satu ciri mudah yang dipanggil “Status”. “Kami tidak pernah terfikir ingin menubuhkan syarikat. Kami Cuma nak bina produk yang orang akan guna.” Kata Koum.

Tidak Terus Popular

Seperti kebanyakan aplikasi lain, whatsApp juga tidak terus popular walaupun tersenarai sebagai aplikasi terhormat oleh Apple App Store. “Kami sangat teruja apabila ia dilancarkan, tetapi agak kecewa bila tiada yang menggunakannya.” kata Koum.

Walaupun begitu, konsep WhatsApp yang mesra pengguna dan mudah digunakan berjaya menjadikannya popular di kalangan pengguna telefon pintar. Ini ditambah pula, apabila aplikasi ini mampu menjadi pengganti SMS yang semakin mahal. Menjelang tahun 2014, WhatsApp telah meraih pengguna aktif seantero dunia melebihi 400 juta orang. Kesannya, Facebook mula mengatur langkah.

Facebook Membeli WhatsApp

Ketika ditanya, Koum tidak ingat apa yang berlaku sewaktu WhatsApp dijual kepada Facebook. “Semuanya kabur, saya tidak ingat apa-apa kecuali berada di dalam bilik bersama peguam selama 3 hari berturut-turut.” Koum menerangkan. Apa yang berlaku seterusnya adalah mereka menerima tawaran cek bernilai besar dari Facebook dengan nilai melebihi USD 19 billion. Ia juga dikatakan sebagai tawaran termahal pernah wujud dalam dunia teknologi.

Kini, WhatsApp telah meraih berbillion pengguna aktif bulanan di atas platformnya. Ia bukan sahaja menawarkan mesej, tetapi ia juga menawarkan panggilan video, perkongsian fail dan muat naik status, semuanya tanpa iklan. Ini kerana, semasa jualan, pengasas-pengasas WhatsApp telah berjanji untuk memastikan aplikasi tersebut kekal bebas iklan. Syarikat tersebut juga mula fokus pada platform mesej berkonsepkan perniagaan melalui aplikasi WhatsApp Business.

 


Featured Image: Logo photo created by freepik – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen