Laman Web Mudah Jana Satu Juta USD

Laman Web Mudah Jana Satu Juta USD

The Million Dollar Homepage (TMDHP) telah ditubuhkan pada 26 Ogos 2005 oleh seorang remaja dari England bernama Alex Tew pada usia 21 tahun. Tujuan Alex Tew menubuhkan laman sesawang TMDHP ialah untuk membiayai yuran pengajiannya di universiti. Bosan dengan kehidupan yang miskin dan daif, Tew cuba berfikir cara yang paling mudah untuk mendapatkan 1 juta USD dengan kos rendah.

Hasilnya, Tew terdetik ingin menghasilkan laman web sejuta piksel. Setiap satu piksel akan dijual dengan harga satu USD. Secara ringkas, sejuta piksel akan menghasilkan sejuta USD bila dijual. Setelah dua hari dan 50 USD telah dibayar untuk sewaan domain, “Million Dollar Homepage” akhirnya ditubuhkan.

Rancangan 100 USD

Untuk menghasilkan laman web TMDHP sebenarnya sangat mudah. Tew membina laman web dengan hanya menggunakan bahagian “header” dan “footer”, di mana ruang tengah diletakkan gambar bersaiz besar dengan ukuran 1000×1000 piksel. Konsep jualannya juga cukup mudah, dengan 100 USD, pengiklan boleh membeli 100 piksel secara pukal dan paparkan apa jua gambar atau logo mengikut citarasa mereka, berserta pautan. Tew hanya meletakkan satu larangan iaitu tiada iklan pornografi.

The Million Dollar Homepage
The Million Dollar Homepage

Dua minggu kemudian, Tew berjaya memujuk keluarga dan rakan-rakannya untuk membeli sebanyak 4700 piksel. Hasil dari untung jualan tersebut, beliau telah digunakan untuk mengupah firma perhubungan awam bagi mendapatkan perhatian media. Tanpa disangka, ia berjaya menarik perhatian BBC dan The Guardian, agensi berita yang cukup popular di negara barat.

Dalam masa sebulan, keuntungan Tew melonjak naik ke 250 ribu USD dan menerima 65 ribu pelawat setiap hari. Pada akhir bulan Oktober, Tew telah menjana 500 ribu USD dengan jumlah melebihi 1400 pengiklan dari pelbagai sektor.

Skim Cepat Kaya

Menjelang awal tahun berikutnya, sebanyak 999 ribu piksel telahpun terjual. Atas permintaan yang ramai, Tew membuat lelongan baki 1000 piksel yang tinggal di eBay dan memperolehi keuntungan sebanyak 38 ribu USD. Dalam masa 4 bulan sahaja, Tew telah menjana sebanyak 1.04 juta USD. Dalam satu sesi wawancara, Tew berkata, “Ini adalah skim cepat kaya yang terbukti berkesan”.

Tew juga menerangkan bahwa dia tidak akan meneruskan TMDHP yang kedua demi menjaga nilai laman sesawang TMDHP. Tidak lama kemudian, Tew berhenti belajar dan berpindah ke London untuk menghasilkan projek lain yang boleh mendatangkan keuntungan seperti TMDHP. Antara projek yang dihasilkan adalah Pixelotto yang mempunyai konsep sama seperti TMDHP, PopJam iaitu laman borak dengan orang tak dikenali dan Sock and Awe! sebuah laman web permainan video berunsur politik USA. Malangnya, tiada satu pun yang berjaya seperti TMDHP.

Kini, Alex Tew merupakan sebahagian dari pengasas Calm, satu aplikasi yang ditubuhkan dengan tujuan untuk membantu pengguna tidur dan meditasi.

 


Featured Image: Background photo created by jcomp – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen