6 Cara Buat Pelanggan Datang Semula

Anda berhabis duit untuk iklan, pelanggan baru datang membeli sekali, kemudian terus hilang. Bulan depan, anda terpaksa mencari pelanggan baru sekali lagi dari mula.
Penat, bukan? Sedangkan pelanggan yang pernah membeli lebih mudah dipujuk untuk membeli lagi. Mereka sudah kenal produk anda dan sudah percaya.
Berikut adalah 6 cara untuk membuatkan pelanggan datang semula.
#1 – Simpan Rekod Pelanggan
Ini yang ramai terlepas pandang. Ramai peniaga tidak tahu siapa pelanggan mereka selepas jualan selesai.
Simpan nama, nombor telefon dan apa yang dibeli. Tidak perlu sistem yang canggih, buku nota atau fail Excel pun sudah memadai. Tanpa rekod, anda tidak boleh menghubungi mereka semula.
#2 – Ucap Terima Kasih Selepas Jualan
Satu mesej ringkas selepas barang sampai memberi kesan yang besar. Tanya sama ada barang diterima dengan baik dan sama ada mereka berpuas hati.
Pelanggan akan ingat peniaga yang mengambil berat, bukan sekadar mahu duit mereka.
#3 – Beri Sebab Untuk Datang Lagi
Kad cop, diskaun untuk pembelian kedua atau hadiah kecil selepas beberapa kali membeli. Cara lama, tetapi masih berkesan.
Contohnya, kedai kopi yang memberi satu cawan percuma selepas sembilan kali pembelian. Pelanggan yang sudah ada enam cop jarang beralih ke kedai lain.
#4 – Selesaikan Aduan Dengan Cepat
Barang rosak atau tersalah hantar memang boleh berlaku. Yang membezakan ialah cara anda menanganinya.
Minta maaf, ganti dengan segera dan jangan berdolak-dalik. Pelanggan yang aduannya diselesaikan dengan baik selalunya menjadi pelanggan paling setia. Baca juga cara membina kepercayaan pelanggan.
#5 – Kekal Di Depan Mata Mereka
Pelanggan bukan lupa kerana tidak suka. Mereka lupa kerana sibuk.
Kongsikan stok baru, tips penggunaan produk atau promosi di status WhatsApp dan media sosial. Jangan terlalu kerap sehingga mengganggu. Seminggu sekali atau dua kali sudah cukup untuk mengingatkan bahawa anda masih ada.
#6 – Minta Mereka Bawa Kawan
Pelanggan yang berpuas hati adalah jurujual terbaik anda. Minta ulasan mereka dan tawarkan ganjaran kecil untuk setiap kawan yang dibawa.
Cadangan daripada kawan lebih dipercayai berbanding iklan. Ia juga cara yang paling murah untuk memenuhkan sales funnel anda.
Kesimpulan
Mencari pelanggan baru memang penting, tetapi jangan sampai pelanggan sedia ada terabai. Mereka sudah membuktikan bahawa mereka sanggup membeli daripada anda.
Pilih satu cara di atas dan mulakan minggu ini. Mulakan dengan yang paling mudah, iaitu menghantar ucapan terima kasih kepada pelanggan terakhir anda.


