6 Kesilapan Usahawan Baru Pada Tahun Pertama Berniaga

Tahun pertama berniaga selalunya paling mencabar. Semangat masih tinggi dan jualan mula masuk, tetapi duit di dalam akaun sentiasa tidak cukup. Anda sendiri tidak pasti ke mana perginya.
Jangan risau, anda bukan seorang. Kebanyakan usahawan baru melakukan kesilapan yang hampir sama, dan semuanya boleh dielakkan kalau disedari lebih awal.
Berikut adalah 6 kesilapan yang biasa dilakukan pada tahun pertama berniaga.
#1 – Campur Duit Bisnes Dengan Duit Peribadi
Jualan masuk ke akaun peribadi, kemudian duit yang sama digunakan untuk membeli stok, membayar bil rumah dan makan malam. Hujung bulan, anda tidak tahu bisnes sebenarnya untung atau rugi.
Buka akaun bank khas untuk bisnes sejak hari pertama. Baca 3 sebab perlu ada akaun bank syarikat untuk memahami kepentingannya.
#2 – Tidak Merekod Jualan dan Belanja
Ramai yang hanya mengingat jualan di dalam kepala atau bergantung kepada mesej pelanggan di telefon. Bila tiba masa mahu memohon pinjaman atau mengisi borang cukai, tiada apa yang boleh ditunjukkan.
Tidak perlu sistem yang canggih. Mulakan dengan rekod yang ringkas tetapi konsisten, setiap hari.
#3 – Letak Harga Terlalu Murah
Mahu menarik pelanggan, harga diletak serendah mungkin. Masalahnya, kos sebenar selalunya lebih tinggi daripada yang disangka.
Contohnya, kos bahan sebungkus kuih RM7 dan anda menjualnya RM8. Nampak seperti untung RM1. Tetapi selepas ditolak kos bungkusan, minyak kereta dan masa anda sendiri, sebenarnya anda rugi. Kira semua kos dahulu sebelum menetapkan harga.
#4 – Bergantung Kepada Seorang Pelanggan
Dapat seorang pelanggan besar memang melegakan. Tetapi kalau lebih separuh jualan datang daripada seorang pelanggan sahaja, bisnes anda berada di tangan mereka.
Apabila pelanggan itu lewat membayar atau beralih kepada pembekal lain, aliran tunai anda terus terjejas. Sentiasa cari pelanggan baru walaupun ketika sedang sibuk.
#5 – Lupa Tentang Cukai
Ini yang ramai terlepas pandang. Untung tahun pertama habis dibelanjakan, kemudian tahun berikutnya barulah teringat tentang cukai pendapatan.
Asingkan sedikit duit setiap bulan untuk cukai. Ketahui juga tentang Borang B dan bayaran ansuran CP500 supaya anda tidak terkejut nanti.
#6 – Tiada Simpanan Kecemasan
Bisnes ada musim sunyi. Mesin boleh rosak dan pelanggan boleh lewat membayar. Tanpa simpanan, satu bulan yang perlahan sudah cukup untuk membuatkan anda terpaksa berhutang.
Sasarkan simpanan sekurang-kurangnya tiga bulan belanja operasi. Kalau sewa, bil dan gaji berjumlah RM4,000 sebulan, sasaran anda ialah RM12,000. Kumpul sedikit demi sedikit daripada untung setiap bulan.
Kesimpulan
Tiada usahawan yang tidak pernah tersilap. Bezanya, usahawan yang bertahan ialah mereka yang cepat sedar dan cepat membetulkan keadaan.
Semak semula senarai di atas dan pilih satu perkara untuk diperbaiki minggu ini. Bisnes yang kukuh dibina daripada tabiat kecil yang dilakukan setiap hari.


