CP500: Kenapa LHDN Minta Bayar Cukai Secara Ansuran?

Awal tahun, tiba-tiba anda menerima notis daripada LHDN bertajuk CP500, lengkap dengan jadual bayaran enam kali. Cukai tahun lepas sudah dibayar, kenapa ada bil lagi?
Jangan panik. CP500 bukan saman dan bukan cukai tambahan. Tetapi ia juga bukan surat yang boleh disimpan dalam laci begitu sahaja.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda tahu.
#1 – Apa Itu CP500?
CP500 adalah Notis Bayaran Ansuran daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Melalui notis ini, anda diminta membayar cukai tahun semasa secara berperingkat, sebelum Borang B dihantar pada tahun hadapan.
Senang cerita, ia seperti potongan cukai bulanan (PCB) bagi orang yang makan gaji. Bezanya, peniaga tiada majikan untuk memotong cukai, jadi kita sendiri yang perlu membayarnya.
#2 – Siapa Yang Terima CP500?
Individu yang mempunyai pendapatan selain gaji, seperti pendapatan perniagaan, sewa dan royalti. Pemilik Enterprise, peniaga online dan freelancer yang pernah mengisytiharkan untung bisnes biasanya akan menerimanya.
#3 – Berapa dan Bila Perlu Bayar?
Jumlahnya dianggarkan oleh LHDN berdasarkan rekod cukai anda sebelum ini. Bayaran dibuat dua bulan sekali sebanyak enam kali, bermula bulan Mac setiap tahun.
Contohnya, LHDN menganggarkan cukai anda tahun ini RM3,600. Anda akan membayar RM600 setiap kali, sebanyak enam kali. Lebih ringan berbanding membayar RM3,600 sekali gus tahun hadapan.
Tarikh dan jumlah setiap ansuran tertera di dalam notis. Notis ini lazimnya diterima pada hujung Februari. Kalau tidak sampai, semak di portal MyTax atau hubungi LHDN di talian 03-8911 1000.
#4 – Cara Bayar
Paling mudah adalah melalui ByrHASiL di dalam portal MyTax menggunakan perbankan internet (FPX). Bayaran juga boleh dibuat melalui bank yang dilantik sebagai ejen kutipan LHDN.
Simpan resit setiap bayaran. Anda akan memerlukannya ketika mengisi Borang B nanti.
#5 – Bisnes Merosot? Mohon Pindaan
Ini yang ramai terlepas pandang. Jumlah di dalam CP500 hanyalah anggaran, dan ia boleh diubah.
Kalau bisnes tahun ini tidak sebaik tahun lepas, anda boleh memohon pindaan jumlah ansuran melalui borang CP502. Permohonan boleh dibuat dua kali setahun, dengan tarikh akhir 30 Jun dan 31 Oktober.
Begitu juga sebaliknya. Kalau bisnes semakin maju, naikkan jumlah ansuran supaya baki cukai tahun hadapan tidak mengejutkan. Cuma jangan pula turunkan terlalu rendah semata-mata mahu bayar sedikit, kerana anggaran yang jauh tersasar boleh mengundang penalti.
#6 – Apa Jadi Kalau Tidak Bayar?
Ansuran yang tidak dibayar atau lewat dibayar boleh dikenakan kenaikan cukai. Tunggakan itu juga tidak hilang, ia tetap perlu dijelaskan.
Kalau benar-benar tidak mampu, jangan diamkan diri. Mohon pindaan atau berbincang dengan LHDN lebih awal.
#7 – Kaitan CP500 Dengan Borang B
Ansuran yang anda bayar sepanjang tahun adalah bayaran pendahuluan. Apabila Borang B dihantar, jumlah itu akan ditolak daripada cukai sebenar.
Katakan cukai sebenar anda RM4,200 dan ansuran yang telah dibayar RM3,600. Anda hanya perlu membayar baki RM600. Kalau terlebih bayar pula, lebihan itu akan dikembalikan oleh LHDN.
Kesimpulan
CP500 bukan beban tambahan. Ia cara membayar cukai sedikit demi sedikit supaya aliran tunai bisnes tidak terganggu apabila tiba musim cukai.
Masukkan tarikh ansuran ke dalam kalendar, asingkan duit cukai setiap bulan dan simpan rekod dengan kemas. Kalau jumlahnya tidak munasabah dengan keadaan bisnes anda, berbincanglah dengan akauntan atau ejen cukai sebelum tarikh akhir pindaan.
Sumber:


