Freelance Untuk Klien Luar Negara: Kena Cukai Atau Tidak?

Anda bekerja dari rumah di Malaysia, tetapi klien berada di luar negara. Bayaran masuk dalam mata wang asing melalui platform pembayaran antarabangsa, kemudian dipindahkan ke akaun bank Enterprise anda.
Soalannya, perlukah pendapatan ini diisytihar kepada LHDN? Kena cukai atau tidak?
Ramai freelancer menyangka duit yang datang dari luar negara tidak dikenakan cukai. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda tahu.
#1 – Yang Penting Di Mana Kerja Dilakukan
Menurut LHDN, cukai pendapatan dikenakan ke atas pendapatan yang terakru atau terbit di Malaysia. Senang cerita, yang dilihat ialah di mana pendapatan itu dijana.
Kalau kerja dilakukan di Malaysia, pendapatan itu terbit di Malaysia walaupun kliennya di luar negara. Lokasi klien, mata wang dan cara bayaran tidak mengubah perkara ini.
#2 – Bukankah Pendapatan Luar Negara Dikecualikan?
Ini yang ramai terlepas pandang. Memang ada pengecualian cukai bagi pendapatan dari luar negara yang diterima oleh individu pemastautin, buat masa ini sehingga 31 Disember 2026. Tetapi syaratnya, pendapatan itu telah dikenakan cukai di negara asalnya.
Pengecualian ini untuk pendapatan yang benar-benar berpunca di luar negara. Freelancer yang membuat kerja di Malaysia dan menerima bayaran penuh tanpa sebarang potongan cukai di negara klien, lazimnya tidak termasuk dalam kumpulan ini.
#3 – Isytihar Dalam Borang B
Pendapatan freelance adalah pendapatan perniagaan. Ia dilaporkan di dalam Borang B, sama seperti pendapatan daripada klien tempatan. Tidak ada borang yang berasingan untuk klien luar negara.
#4 – Cukai Atas Untung, Bukan Atas Jumlah Yang Diterima
Jangan risau, anda tidak dicukai atas semua duit yang masuk. Tolak dahulu perbelanjaan bisnes seperti caj platform pembayaran, langganan perisian, peralatan dan internet.
Contohnya, anda menerima RM90,000 setahun dan perbelanjaan bisnes berjumlah RM15,000. Untung bersih yang dilaporkan ialah RM75,000, sebelum ditolak pelepasan cukai peribadi.
#5 – Rekod Dalam Ringgit
Akaun dan Borang B disediakan dalam Ringgit Malaysia. Cara paling mudah ialah merekod jumlah ringgit yang benar-benar masuk ke akaun bank anda, atau menggunakan kadar tukaran pada hari bayaran diterima. Apa yang penting, gunakan kaedah yang sama sepanjang tahun.
#6 – Simpan Bukti Setiap Bayaran
Klien luar negara tidak mengeluarkan penyata pendapatan untuk anda. Jadi andalah yang perlu menyimpan rekodnya.
- Invois yang anda keluarkan kepada klien.
- Penyata transaksi daripada platform pembayaran.
- Penyata bank yang menunjukkan duit masuk.
- Kontrak atau e-mel persetujuan kerja.
Rekod yang kemas juga memudahkan urusan dengan bank. Baca kenapa pemilik Enterprise tiada slip gaji untuk memahami kepentingannya.
#7 – Bersedia Dengan CP500
Selepas pendapatan perniagaan diisytiharkan, LHDN lazimnya akan mengeluarkan notis bayaran ansuran pada tahun berikutnya. Ketahui lebih lanjut dalam artikel CP500 dan bayaran cukai secara ansuran.
Kesimpulan
Klien di luar negara bukan bermakna pendapatan bebas cukai. Selagi kerja dilakukan di Malaysia, pendapatan itu perlu diisytiharkan dalam Borang B.
Simpan rekod setiap bayaran dan asingkan sedikit duit untuk cukai setiap kali bayaran masuk. Kalau keadaan anda berbeza, misalnya klien memotong cukai di negara mereka atau anda bekerja dari luar negara untuk tempoh yang lama, berbincanglah dengan ejen cukai.
Sumber:


