PengurusanTeknologi

e-Invois LHDN: Perlukah Bisnes Kecil Melaksanakannya?

· oleh Admin · 3 min bacaan

Ilustrasi e-Invois dengan kod QR yang telah disahkan

Pelanggan korporat mula bertanya, “boleh keluarkan e-Invois?” Pembekal pula meminta nombor cukai anda sebelum menghantar bil. Anda yang selama ini selesa dengan invois biasa mula garu kepala.

Perlukah bisnes kecil melaksanakan e-Invois? Kalau tidak buat, salah ke?

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda tahu.

#1 – Apa Itu e-Invois?

e-Invois adalah rekod transaksi antara penjual dan pembeli dalam bentuk digital. Bezanya dengan invois PDF biasa, setiap e-Invois dihantar kepada LHDN untuk disahkan terlebih dahulu sebelum diberikan kepada pembeli.

Ia meliputi jualan kepada perniagaan lain (B2B), kepada pengguna (B2C) dan kepada kerajaan (B2G).

#2 – Siapa Yang Wajib Melaksanakannya?

e-Invois dilaksanakan secara berperingkat mengikut jumlah pendapatan atau jualan tahunan.

  • Melebihi RM100 juta: 1 Ogos 2024.
  • Melebihi RM25 juta hingga RM100 juta: 1 Januari 2025.
  • Melebihi RM5 juta hingga RM25 juta: 1 Julai 2025.
  • Sehingga RM5 juta: 1 Januari 2026.

#3 – Jualan Bawah RM3 Juta Dikecualikan

Ini berita baik untuk kebanyakan bisnes kecil. Menurut garis panduan LHDN yang dikemas kini pada 30 Ogos 2026, pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta dikecualikan daripada mengeluarkan e-Invois.

Pengecualian ini terpakai kepada semua jenis perniagaan, termasuk Enterprise milikan tunggal dan perkongsian. Resit dan invois biasa yang anda keluarkan masih diterima sebagai bukti perbelanjaan oleh pelanggan anda.

Cuma ada satu perkara yang perlu diberi perhatian. Pengecualian ini tidak terpakai jika bisnes anda dimiliki oleh, atau berkaitan dengan, syarikat yang jualan tahunannya RM3 juta ke atas.

#4 – Bagaimana e-Invois Berfungsi?

Penjual menyediakan e-Invois melalui Portal MyInvois, iaitu portal percuma daripada LHDN yang diakses melalui MyTax. Ia juga boleh digunakan melalui aplikasi MyInvois di telefon pintar. Bisnes yang transaksinya banyak pula biasanya menyambungkan sistem mereka terus kepada LHDN (API).

Selepas disahkan, e-Invois yang diterima oleh pembeli mempunyai kod QR untuk semakan. Kalau ada kesilapan, pembeli boleh memohon penolakan dan penjual boleh membatalkannya dalam tempoh 72 jam.

#5 – Bila Jualan Mencecah RM3 Juta?

Anda tidak perlu bertukar serta-merta. Menurut garis panduan yang sama, e-Invois bermula pada 1 Januari tahun kedua selepas tahun jualan mencapai RM3 juta.

Contohnya, jualan anda mencecah RM3 juta pada tahun 2027. Anda wajib mengeluarkan e-Invois bermula 1 Januari 2029. Ada masa untuk bersedia.

#6 – Kenapa Perlu Ambil Tahu Sekarang?

Walaupun dikecualikan, anda tetap akan berurusan dengan e-Invois. Pembekal besar akan mengeluarkan e-Invois kepada anda, jadi sediakan nombor cukai (TIN), nombor pendaftaran SSM dan alamat perniagaan yang betul.

Anda juga boleh melaksanakannya secara sukarela lebih awal. Ini berguna kalau pelanggan korporat anda memang memerlukan e-Invois.

Apa pun pilihannya, pastikan rekod jualan kemas. Kalau masih menggunakan buku invois atau buku resit, sekarang masa yang baik untuk beralih kepada sistem akaun yang lebih teratur.

Kesimpulan

Kebanyakan bisnes kecil belum wajib mengeluarkan e-Invois. Tetapi ia sudah menjadi sebahagian daripada urusan harian dengan pembekal dan pelanggan yang lebih besar.

Ambang pengecualian ini pernah berubah beberapa kali, jadi semak portal LHDN dari semasa ke semasa. Jualan tahunan yang direkod dengan kemas juga memudahkan anda mengisi Borang B dan mengetahui bila tiba giliran anda.


Sumber: