6 Tips Memilih Sistem Akaun

6 Tips Memilih Sistem Akaun

Bagaimanakah memilih sistem perakaunan yang sesuai untuk perniagaan anda?

Terdapat pelbagai sistem perakaunan di pasaran, ada yang murah ada yang mahal ada yang ‘simple’ dan ada yang ‘complicated’. Jadi sistem perakaunan manakah yang paling sesuai untuk perniagaan anda? Jika kita tanya pada seorang akauntan mungkin mereka akan menasihatkan untuk mendapatkan sistem secanggih mungkin. Jika kita tanya pada rakan-rakan peniaga yang lain mungkin mereka akan mengesyorkan sistem yang lebih mudah.

Fungsi utama sistem perakaunan adalah memudahkan kita untuk merekodkan transaksi kewangan dan mendapatkan penyata kewangan syarikat seperti penyata untung rugi, imbangan duga dan sebagainya.

Jadi bagaimanakah kita memilih sistem perakaunan yang sesuai dengan perniagaan kita. Berikut 6 Tips yang boleh dipertimbangkan.

#1 – Keperluan Operasi Perniagaan

Pertama sekali keperluan pada sistem perakaunan banyak bergantung kepada jenis perniagaan dan bagaimana perniagaan itu beroperasi. Sebuah syarikat yang mempunyai transaksi yang sangat sedikit dan hanya berurusniaga secara tunai mungkin tidak memerlukan sistem perakaunan yang sangat canggih. Bagi perniagaan yang mempunyai transaksi yang sangat banyak seperti restoran dan kedai runcit, mempunyai sistem perakaunan yang dapat berhubung dengan sistem point-of-sales (P.O.S) sangat membantu. Bagi perniagaan yang beroperasi di merata tempat mungkin sistem perakaunan yang beroperasi dari ‘cloud’ dapat memudahkan aktiviti kewangan direkodkan dimana-mana yang mempunyai akses internet.

#2 – Pengetahuan Perakaunan

Ini adalah suatu faktor yang amat penting dalam memilih suatu sistem perakaunan. Secanggih mana pun sistem perakaunan, jika kita tidak mempunyai pengetahuan perakaunan secukupnya, kita tidak akan dapat mengeluarkan laporan kewangan yang betul. Jika syarikat anda tidak mempunyai seorang akauntan, lebih baik fokus kepada sistem yang dapat membantu anda merekodkan transaksi sahaja. Rekod ini kemudiannya boleh diserahkan kepada akauntan untuk mengeluarkan laporan kewangan yang lengkap.

#3 – Bajet

Memilih sistem perkaunan semestinya bergantung kepada bajet kita. Selepas mengambil kira faktor-faktor diatas kita boleh lah memilih sistem perakaunan yang menepati bajet kita. Lebih banyak keperluan khas bagi perniagaan kita atau lagi canggih sistem perakaunan tersebut semestinya membabitkan harga yang lebih tinggi. Ada sistem perakaunan yang dijual secara pakej yang hanya memerlukan sekali pembayaran (one-off) ada juga yang diberikan secara langganan (subscription). Oleh itu, pilih ikut kemampuan.

#4 – Fungsi Tambahan

Selain dari fungsi asas seperti lejer, akaun penghutang, pemiutang setengah sistem perakaunan mumpunyai fungsi-fungsi tambahan seperti fungsi pembayaran atas talian, sistem POS, gaji, pengurusan projek, appikasi telefon bimbit dan sebagainya. Fungsi-fungsi tambahan ini biasanya dapat membantu anda dalam menguruskan perniagaan anda.

#5 – Bincang bersama akauntan anda

Jika syarikat anda mempunyai akauntan, atau anda mempunyai akauntan sebagai penasihat anda, bolehlah minta pandangan mereka tentang sistem apa yang sesuai dengan perniagaan anda.

#6 – Khidmat pelanggan dan servis selepas jualan

Ini juga faktor penting. Pilihlah sistem perakaunan yang mempunyai khidmat pelanggan dan servis selepas jualan yang boleh dipercayai dan mudah dihubungi. Rekod kewangan adalah rekod yang sangat penting kepada syarikat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, sistem perakaunan yang anda pilih mestilah bersesuaian dengan jenis perniagaan anda dan yang paling penting memudahkan urusan perniagaan anda. Sistem perakaunan yang terbaik dengan kebolehan mengeluarkan laporan yang canggih hanya bermakna jika penggunanya mempunyai kemahiran yang setara.

 


Artikel oleh SASCO Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan bantuan penyediaan strategi, perlaksanaan dan perancangan strategik perniagaan. Untuk mendapatkan khidmat perundingan perniagaan, sila WhatsApp ke +60123156916 untuk menetapkan temujanji.

Featured Image: Business photo created by pressfoto – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen