Persamaan Grab, Facebook, Mudah dan Airbnb

Persamaan Grab, Facebook, Mudah dan Airbnb

Grab merupakan syarikat pengangkutan gantian teksi yang popular di Malaysia, tetapi mereka tidak mempunyai kereta. Facebook merupakan laman sesawang sosial terbesar di dunia, tetapi mereka tidak mempunyai kandungan. Mudah merupakan pusat jual beli yang cukup dikenali di Malaysia, tetapi mereka tidak mempunyai produk. Airbnb merupakan pusat penginapan terbesar di dunia, tetapi mereka tidak mempunyai rumah. Ini adalah kejanggalan yang sedang berlaku hari ini.

Platform Berpusat

Kesemua mereka fokus pada bidang perniagaan yang berbeza, tetapi mereka menggunakan konsep yang sama iaitu platform. Platform ini merupakan satu tempat untuk kita melaksanakan sesuatu aktiviti bagi mencapai sesuatu objektif dan kebiasaanya ia bersifat tidak berpusat. Syarikat-syarikat gergasi ini nampak peluang tersebut dan menggunakannya untuk menyatukan platform-platform kecil yang sedia ada kepada satu platform gergasi yang diselia oleh mereka.

Konsep ini sangat menguntungkan pengguna kerana lebih banyak kemudahan dapat dirasai dan dikongsi. Sebagai contoh, rakaman klip video boleh dikongsi di dalam Facebook dan rata-rata orang Malaysia boleh menontonnya, bahkan boleh dikongsikan lagi sesama mereka. Perkara yang sama juga berlaku pada platform lain. Daripada bergerak sendirian, penyewa rumah boleh berkongsi perniagaan mereka di satu tempat yang ramai boleh rujuk.

Dengan adanya satu platform yang menjadi rujukan orang ramai untuk mencapai tujuan yang sama, platform tersebut dapat berkembang dan menjana pendapatan mereka sendiri melalui beberapa cara seperti iklan, pengumpulan data dan bayaran premium untuk servis tambahan. Ini bukan perkara yang baru tetapi ia boleh dimanfaatkan bagi bisnes dunia digital.

Akan tetapi, untuk sampai ke tahap tersebut bukanlah mudah. Pengasas Grab ditentang sepenuhnya oleh kenalan dan keluarganya kerana mencuba sesuatu yang dianggap tidak akan berjaya. Facebook pula menular di kalangan kampus untuk beberapa tahun sebelum disebarkan ke dunia luar. Mudah menerima saingan sengit dari gergasi jual beli atas talian lain seperti Shopee dan Lazada walapun modus operandi mereka berbeza. Airbnb terpaksa melabur sebahagian besar duit mereka mencantikkan rumah orang bagi menarik minat pelanggan untuk menggunakan servis mereka.

Kesimpulan

Pendek cerita, ia bukan usaha yang mudah tetapi hasilnya sangatlah berbaloi seperti yang kita lihat pada hari ini. Grab kini menjadi platform nombor satu untuk servis gantian teksi di Malaysia. Facebook mempunyai pengaruh kedua terbesar di dunia digital selepas Google. Mudah kini semakin menjadi rujukan ramai orang untuk mencari barangan terpakai yang tidak terdapat pada Shopee dan Lazada, dan merupakan satu-satunya laman jual beli di Malaysia yang menyediakan platform jual beli barangan terpakai. Airbnb pula sangat luas pengaruhnya dalam platform sewaan rumah sehinggakan menjadi rujukan utama untuk mencari rumah sewa atau yang berkaitan dengannya.

Kejayaan mereka membuktikan bahawa tidak salah untuk bersusah payah dahulu tetapi pastikan usaha yang dilakukan adalah konsisten. Di dunia moden ini, pemikiran di luar kotak juga sangat diperlukan untuk berkembang dengan lebih pesat seperti mana yang dilakukan oleh mereka.

 


Featured Image: Image by rawpixel from Pixabay


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen