Matrade Anjur Misi Pertingkat Perdagangan, Pelaburan Dengan Mesir

Logo Matrade

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Misi Peningkatan Eksport (EAM) ke Mesir, destinasi pelaburan ketiga terbesar Malaysia di Afrika, mulai hari ini sehingga 25 Okt, 2019.

Dalam kenyataan hari ini, misi buat julung kali itu bertujuan memanfaatkan pertumbuhan kukuh ekonomi Mesir, dipacu oleh dasar pembaharuan negara susulan sokongan Kemudahan dana lanjutan (EFF) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sejak 2016.

Ini membawa kepada pengembangan pelbagai sektor terutamanya ekstraktif gas, pelancongan, pembuatan, pembinaan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sebanyak 13 syarikat Malaysia menyertai EAM yang terdiri daripada pelbagai sektor seperti pembinaan dan produk dan jentera berkaitan pembinaan, sumber tenaga boleh diperbaharui, makanan dan minuman, kimia dan produk kimia.

Pengarah MATRADE bagi sektor Timur Tengah, Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika, Mansor Shah Wahid berkata Mesir menawarkan banyak peluang eksport kepada syarikat-syarikat Malaysia khususnya dalam projek mega baharu yang komprehensif seperti pembangunan kawasan Suez Canal dan bandar pentadbiran baharu.

“EAM ini adalah tepat pada masanya dan kami menerima banyak maklum balas daripada pembeli dari Mesir yang melahirkan minat serta merta ke atas produk dan perkhidmatan Malaysia. Siri mesyuarat perniagaan akan diadakan untuk syarikat Malaysia bersama-sama rakan kongsi dan pembeli terpilih di Kaherah.

“Kami juga akan memberi taklimat kepada penggiat industri di sana mengenai keupayaan Malaysia di pelbagai sektor dan bidang kerjasama yang mereka boleh ceburi,” katanya.

Bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2019, eksport Malaysia ke Mesir mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak15.8 peratus dengan jumlah nilai RM1.3 bilion, meskipun ekonomi global yang perlahan.

Eksport Malaysia ke Mesir terutamanya melibatkan produk minyak sawit dan pertanian berasaskan minyak sawit, produk pembuatan berasaskan minyak sawit, peralatan, produk elektrik dan elektronik, selain bahan kimia dan produk kimia.

“Kami berharap EAM akan mempelbagaikan permintaan untuk eksport Malaysia dalam kalangan pembeli dari Mesir. Kami optimis bahawa semua inisiatif yang diambil semasa EAM akan meningkatkan kesedaran mereka kepada Malaysia dan kemudiannya akan bertukar dalam bentuk perniagaan eksport,” kata Mansor.

— BERNAMA

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen