MITI Pastikan Malaysia Elak Sekatan Amerika Syarikat

Logo MITI

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengambil tindakan yang wajar terhadap mana-mana syarikat, termasuk pengeluar sijil yang tidak mengikut piawaian, yang menggunakan Malaysia sebagai pusat pemindahan untuk mendapatkan sijil asal bagi barangan buatan mereka untuk dieksport ke Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata kementerian tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang amalan yang tidak sesuai yang akan memberi alasan kepada AS untuk mengenakan sekatan ke atas Malaysia dalam persekitaran konflik perdagangannya dengan China.

“Misalnya, jika kami mengetahui atau mendengar sebarang aduan bahawa sesetengah syarikat menggunakan Malaysia sebagai pusat pemindahan untuk mendapatkan sijil asal bagi barangan buatan mereka untuk dieksport ke AS, kami (akan) melihat perkara ini dengan serius.

“Kami akan melakukan siasatan terhadap sesiapa yang mengeluarkan sijil tersebut dengan cara yang tidak wajar, dan tindakan selanjutnya terhadap mereka, termasuk syarikat,” katanya pada sesi tete-a-tete majlis makan tengah hari pada ISIS Praxis Conference 2019 selama dua hari di sini hari ini.

Beliau berkata MITI menyedari ketidaktentuan dasar dan akan cuba untuk mengurangkannya untuk terus menjadi sebahagian daripada ekosistem perdagangan dunia yang lebih besar.

Oleh itu, Ong berkata Malaysia perlu terbuka untuk perniagaan dengan semua negara, terutamanya dengan mereka yang mempunyai hubungan sejarah yang panjang, termasuk China.

Beliau berkata AS merupakan sumber utama Malaysia bagi pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan diikuti China dan kedua-dua negara itu akan terus menjadi rakan dagang negara yang paling penting.

“Kami menjangka bagi tahun penuh 2019, kedua-dua negara ini akan menyumbang sebanyak 70 peratus hingga 80 peratus dari segi FDI yang diluluskan,” katanya.

— BERNAMA

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen