3 Sebab Perlu Ada Akaun Bank Syarikat

3 Sebab Perlu Ada Akaun Bank Syarikat

Jika anda baru memulakan perniagaan, perkara kedua terpenting selepas mendaftarkan perniagaan ialah membuka akaun bank syarikat. Akaun bank syarikat merujuk kepada satu akaun semasa yang dibuka dengan mana-mana bank menggunakan nama syarikat.

Sebenarnya, terdapat pelbagai sebab kenapa anda perlu membuka akaun bank syarikat. Tetapi, disini hanya senaraikan tiga sebab terbesar kenapa anda perlu berbuat demikian secepat mungkin sebaik sahaja syarikat ditubuhkan.

#1 – Jangan Campur Wang Syarikat dan Wang Peribadi

Dari segi perakaunan, wang syarikat perlu diasingkan dari wang peribadi. Jika wang syarikat bercampur dengan wang peribadi pemiliknya, ia akan mengakibatkan kesukaran bagi mengenal pasti untung dan rugi perniagaan. Keadaan ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan pemilik terguna wang syarikat yang akhirnya mengakibatkan kerugian kepada syarikat.

Mempunyai akaun bank syarikat dapat membantu mengasingkan wang syarikat dan wang peribadi. Selain itu, cara ini juga dapat memudahkan proses merekodkan akaun syarikat seterusnya membantu melancarkan proses pengiraan audit dan cukai pada hujung tahun.

#2 – Pelanggan Lebih Percaya

Pelanggan pada hari ini lebih berminat untuk berurusniaga dengan syarikat berbanding orang perseorangan. Ia bagi mengelakkan risiko penipuan yang kerap kali berlaku melibatkan orang perseorangan yang berniaga tanpa menggunakan syarikat berdaftar.

Oleh kerana mereka berurusniaga dengan syarikat, pembayaran juga perlu dilakukan menerusi akaun syarikat tanpa melibatkan akaun peribadi.

#3 – Bina Reputasi dengan Pihak Bank

Bank dengan syarikat sememangnya tidak boleh dipisahkan. Syarikat yang bercita-cita untuk pergi lebih jauh dan berkembang maju perlu membina serta menjaga hubungan baik dengan pihak bank.

Hubungan baik tersebut bermula dengan pembukaan akaun bank syarikat dan dari situlah syarikat perlu membuktikan bahawa akaunnya diuruskan dengan baik.

Ini kerana diantara dokumen penting yang mereka perlukan jika syarikat ingin memohon apa-apa kemudahan seperti pinjaman ialah penyata akaun bank syarikat. Dari penyata tersebut dan beserta beberapa dokumen-dokumen sokongan yang lain, pihak bank akan membuat penilaian samada syarikat mampu atau tidak untuk membayar semula jumlah pinjaman yang dimohon.

Cara Buka Akaun

Akaun bank syarikat boleh dibuka dimana-mana bank diseluruh Malaysia. Anda hanya perlu pergi ke mana-mana cawangan bank yang anda sukai, ambil borang dan isi.

Untuk syarikat sendirian berhad dan berhad, anda perlu melampirkan borang di atas bersama dengan resolusi bank dan dokumen lengkap syarikat yang boleh didapati dari pejabat syarikat setiausaha. Manakala untuk PLT, anda perlu mempunyai resolusi yang boleh anda perolehi dari pihak bank.

Untuk tujuan pengeluaran wang bagi perniagaan milikan tunggal dan perkongsian, anda akan dibekalkan dengan kad ATM dan buku cek. Bagi Syarikat Sdn Bhd, Berhad dan LLP, hanya dibekalkan dengan buku cek sahaja.

Bagi membolehkan anda memeriksa baki dan melakukan urusan pindahan wang dengan lebih mudah dan cepat, anda boleh memohon untuk menggunakan perkhidmatan perbankan internet yang kini telah tersedia di hampir kesemua bank di Malaysia.

 


Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis di laman web Tuan Shaiham Ibrahim.
Tuan Shaiham Ibrahim adalah Pengasas dan CEO MSIB Group Sdn. Bhd. berpusat di Kuala Lumpur. Setiausaha Syarikat berlesen (Professional) oleh SSM. Aktif memberi ceramah dalam seminar dan Youtube serta menulis blog berkaitan ilmu pensyarikatan.

Featured Image: Business photo created by katemangostar – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen