Setiausaha Syarikat: Memilih Syarikat Setiausaha

Setiausaha Syarikat

Akta syarikat 2016 mewajibkan setiap syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) atau Berhad untuk melantik sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat berlesen. Di kalangan setiausaha syarikat berlesen ini, sebahagian mereka memilih untuk bekerja dengan syarikat lain. Manakala selebihnya memilih untuk membuka firma Syarikat Setiausaha professional atau ringkasnya dikenali sebagai Syarikat Setiausaha.

Berikut merupakan 5 fakta penting yang perlu anda tahu tentang Syarikat Setiausaha.

#1 – Dilesenkan oleh SSM atau ahli Badan Professional

Untuk beroperasi, Syarikat Setiausaha perlu terlebih dahulu melalui proses untuk mendapatkan lesen yang sangat ketat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Atau menjadi sebahagian dari ahli kepada beberapa badan professional yang diiktiraf di Malaysia.

SSM dan badan professional berperanan sebagai badan, yang mengawal selia tindak tanduk serta etika Syarikat Setiausaha. Dan boleh mengambil tindakan pada bila-bila masa jika menerima aduan dari mana-mana pihak.

#2 – Mengenakan Bayaran Bulanan Yuran Komitmen

Sebagai sebuah firma professional, mereka tidak dibayar gaji. Sebaliknya syarikat anda hanya perlu membayar yuran Syarikat Setiausaha sahaja. Kebiasaannya diantara RM60 ke RM150 sebulan sebagai bayaran di atas perlantikan serta komitmen mereka.

Dengan perlantikan mereka sebagai Syarikat Setiausaha sesebuah syarikat, mereka mempunyai tanggungjawab tertentu yang ditetapkan oleh Akta Syarikat 2016. Tanggungjawab tersebut seperti menasihatkan pengarah syarikat berkaitan pematuhan, hadir di pejabat berdaftar, menyimpan buku berkanun syarikat dan lain-lain. Yuran Syarikat Setiausaha ini perlu dibayar oleh syarikat secara terus menerus selagi mana syarikat tersebut masih wujud.

#3 – Mengenakan Bayaran atas Permintaan Kerja-kerja yang Diminta

Pada bila-bila masa jika terdapat perubahan pada daftar penubuhan syarikat di SSM. Perubahan itu hanya boleh dibuat oleh Syarikat Setiausaha sahaja. Untuk tujuan perubahan tersebut, Syarikat Setiausaha akan mengenakan bayaran mengikut jenis perubahan yang ingin dilakukan.

Perubahan-perubahan tersebut seperti pertukaran pengarah syarikat, perpindahan saham, peningkatan modal berbayar, pertukaran nama syarikat dan lain-lain.

#4 – Tidak Mencampuri Urusan Perniagaan Syarikat

Sebagai firma professional bebas, peranan Syarikat Setiausaha hanya terhad kepada tugas-tugas tertentu sahaja. Tugas mereka lebih kepada memastikan syarikat tersebut mematuhi kehendak Akta Syarikat 2016. Urusan perniagaan syarikat merupakan urusan dalaman yang perlu diselesaikan sendiri oleh pihak syarikat.

#5 – Hanya Memberi Khidmat Berkaitan Pematuhan Akta Syarikat 2016 Sahaja

Setiausaha Syarikat ialah jawatan yang diwujudkan oleh Akta Syarikat 2016. Spesifik bagi membantu tugas-tugas pengarah syarikat untuk mematuhi keperluan akta tersebut.

Urusan syarikat dengan pihak bank, imigresen, CIDB, KWSP, Perkeso, LHDN dan Kastam. Atau apa sahaja agensi dibawah akta-akta lain selain dari Akta Syarikat 2016. Bukanlah menjadi tanggungjawab Syarikat Setiausaha untuk menguruskannya.

Walaupun begitu, terdapat juga Syarikat Setiausaha yang menyediakan perkhidmatan tambahan. Untuk membantu urusan-urusan diatas sebagai satu kaedah untuk mempelbagaikan perkhidmatan mereka.

Memilih Syarikat Setiausaha yang berpengalaman, dipercayai dan cepat dapat membantu mempercepatkan perkembangan syarikat anda. Jangan terlalu fokus untuk mencari Syarikat Setiausaha yang menawarkan harga yang terlampau murah. Kerana kualiti kebiasaannya tidak datang dengan harga yang terlampau murah.

 


Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis di laman web Tuan Shaiham Ibrahim.
Tuan Shaiham Ibrahim adalah Pengasas dan CEO MSIB Group Sdn. Bhd. berpusat di Kuala Lumpur. Setiausaha Syarikat berlesen (Professional) oleh SSM. Aktif memberi ceramah dalam seminar dan Youtube serta menulis blog berkaitan ilmu pensyarikatan.

Rujukan SSM: Akta Syarikat 2016
Featured Image: Business photo created by freepik – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen