4 Fungsi Sumber Manusia Perniagaan Kecil

Sumber Manusia

Pengurusan Sumber Manusia adalah bahagian penting bagi semua perniagaan tanpa mengira saiz. Apa yang berbeza buat perniagaan kecil adalah jumlah pasukan sumber manusia dan gerak kerjanya. Berikut adalah 4 asas fungsi sumber manusia.

#1 – Pekerja Yang Betul Untuk Tugasan Yang Betul

Bagi perniagaan kecil, kesilapan memilih pekerja boleh menyebabkan kerugian dan menjejaskan perniagaan. Langkah berikut boleh diikuti dalam mengurangkan risiko pengambilan pekerja bermasalah.

– Calon Pekerja

Lakukan pencarian calon pekerja melalui laman web kerjaya atau mengiklankan jawatan kosong tersebut di laman web syarikat. Ia adalah satu permulaan yang baik dan mampu membantu anda mencari calon yang sesuai.

– Tingkah Laku

Memberi perhatian kepada kualiti tingkah laku calon pekerja. Soalan berkaitan tingkah laku calon semasa sesi temu duga akan membantu anda menjangkakan tindak balas calon semasa bekerja di bawah faktor tekanan dan prestasinya apabila bekerja di syarikat anda kelak.

– Pekerja Berkebolehan

Individu yang berkebolehan sangat diperlukan. Jika anda telah bersedia untuk menawarkan kontrak pekerjaan, hubungi calon yang berjaya sebelum syarikat lain menggajikan mereka.

– Keputusan Pengambilan Berstrategik

Pengambilan pekerja hendaklah dilakukan mengikut keperluan dan kemampuan kewangan syarikat. Sama ada mengambil pekerja sepenuh atau separuh masa, secara kontrak atau pekerja sambilan.

– Kontrak Perkhidmatan

Kontrak Perkhidmatan perlu ditandatangani apabila anda bersetuju untuk mengambil seorang pekerja. Ini adalah kontrak undang-undang di antara pekerja dengan syarikat anda. Terma dan syarat bagi kedua-dua pihak perlu dinyatakan dengan jelas dalam dokumen kontrak dan ianya hendaklah selari dengan Akta Kerja yang terkini.

#2 – Membayar Gaji

Sebagai sebuah perniagaan kecil, proses penggajian, anda boleh lakukan sendiri dengan menggunakan perisian penggajian atau menggunakan templat daripada microsoft excel. Keputusan asas jumlah bayaran gaji boleh dibuat berdasarkan seperti berikut:

  • Adakah pekerja anda sepenuh masa, separuh masa atau secara kontrak?
  • Berapakah tempoh penggajian anda?
  • Apakah terma dan faedah pampasan sedia ada contohnya bonus, komisyen dan kerja lebih masa?
  • Adakah semua pekerja anda mempunyai akaun bank yang boleh menerima bayaran gaji secara online?

#3 – Mengekalkan Pekerja Berkebolehan

Mengekalkan pekerja berkebolehan bagi perniagaan kecil adalah sangat mencabar kerana anda tidak mampu untuk menawarkan gaji yang tinggi dan manfaat yang besar. Bagaimanakah anda boleh bersaing dengan syarikat lain yang lebih mampu?

Tindakan yang penting adalah anda membayar gaji setimpal dengan kerja yang ditawarkan, serta menawarkan manfaat asas seperti pelan simpanan persaraan dan insurans kesihatan. Di samping itu, kebanyakan pekerja terutamanya generasi muda bersedia untuk mengorbankan gaji yang lebih tinggi untuk mendapatkan keadaan kerja yang lebih fleksibel seperti:

  • Bekerja di luar atau dari jauh seperti dirumah atau lokasi lain
  • Waktu kerja yang fleksibel
  • Tiada sekatan untuk berbincang sebarang isu dengan syarikat

Salah satu kaedah untuk mengekalkan pekerja berkebolehan tanpa melibatkan kos yang tinggi adalah dengan memberi penghargaan, apabila mereka lakukan tugas dengan baik. Harus diingat bahawa, kos untuk mengambil pekerja baru adalah lebih besar jika dibandingkan dengan mengekalkan pekerja terlatih yang sedia ada.

Mengekalkan pekerja berkebolehan juga perlu mengambil kira tahap prestasi pekerja tersebut. Pekerja baharu mungkin telah menjalani beberapa sesi latihan untuk mendapatkan pengetahuan mengenai skop kerja, kemahiran serta kompetensi berkaitan.

Syarikat perlu membuat penilaian untuk menentukan kesesuaian pekerja tersebut. Bagi perniagaan kecil, penilaian prestasi kerja adalah lebih mudah dan cepat dengan beberapa kriteria tertentu.

#4 – Menguruskan Pemberhentian Pekerja

Dalam setiap perniagaan. pasti ada pekerja yang akan meninggalkan syarikat, sama ada melalui perletakan jawatan atau pemecatan. Terdapat 3 jenis pemberhentian pekerja:

  1. Dipecat oleh majikan
  2. Pekerja meletak jawatan
  3. Pemberhentian secara automatik

Setiap cara pemberhentian perlulah mengikut undang-undang yang sedia ada. Elakkan mengambil atau terkena tindakan undang-undang. Pekerja yang meninggalkan syarikat boleh juga menjadi agen pemasaran secara tidak langsung apabila mereka membawa cerita yang baik tentang syarikat.

 


Disusun dari sumber di laman web SMEInfo.
Featured Image: Business photo created by snowing – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen