Malaysia Tarik Pelaburan RM201.7 Bilion

Malaysia Tarik Pelaburan RM201.7 bilion

KUALA LUMPUR: Malaysia menarik pelaburan diluluskan bernilai RM201.7 bilion. Dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama pada 2018. Meningkat 0.5 peratus berbanding RM200.6 bilion pada 2017.

Dari segi jumlah projek diluluskan, semua pelaburan berkenaan membabitkan 4,887 projek yang akan mewujudkan lebih 129,700 peluang pekerjaan di Malaysia.

Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 60.1 peratus atau RM121.1 bilion sementara pelaburan langsung asing (FDI) mewakili 39.9 peratus atau RM80.5 bilion.

Sektor perkilangan mencatat peningkatan pelaburan tertinggi pada tahun lalu berjumlah RM87.4 bilion, naik 37.2 peratus berbanding 2017 dengan China, Indonesia, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) penyumbang utama kepada pelaburan dalam sektor itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata FDI dalam projek perkilangan diluluskan pada tahun lalu meningkat lebih dua kali ganda, mencerminkan kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan berkualiti ke dalam negara.

Katanya, majoriti atau 69.5 peratus FDI adalah projek baharu dengan baki selebihnya membabitkan pengembangan dan mempelbagaikan projek mereka.

“Ini menunjukkan dalam pada syarikat asing sedia ada mengembang atau mempelbagaikan projek mereka di negara ini, semakin banyak pelabur antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka.

“China, Indonesia, Belanda, Jepun dan AS penyumbang utama kepada pelaburan dalam sektor ini mewakili 76.4 peratus,” katanya pada sidang media tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2019 bagi mengumumkan prestasi pelaburan di Malaysia pada 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalannya, Dr Ong Kian Ming dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Mengulas lanjut, Darell berkata sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara pada 2018 dengan menjadi penyumbang terbesar dalam jumlah pelaburan diluluskan, iaitu RM103.4 bilion yang membabitkan 4,103 projek.

Katanya, Malaysia berjaya menarik banyak syarikat multinasional untuk membuka tapak serantau dan global di negara ini.

“Sehingga hari ini, MIDA telah meluluskan secara keseluruhan 35 projek Hab Prinsipal dengan syarikat komited untuk membelanjakan perniagaan sejumlah RM35.1 bilion.

“Bagi pelaburan dalam sektor utama, ia mencatat penurunan sebanyak 12.2 peratus dari RM12.4 bilion pada tahun 2017 kepada RM10.9 bilion pada tahun 2018.

“Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai pelaburan yang lebih rendah dalam aktiviti penerokaan gas dan minyak,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata MIDA mengekalkan sasaran menarik pelaburan diluluskan pada tahun ini sama seperti dicatatkan pada tahun 2018.

“Biarpun mahu menarik pelaburan sebanyak yang mungkin, namun kami perlu realistik dengan dinamik dan cabaran ekonomi dunia ketika ini.

“Saya boleh katakan kami menyasarkan jumlah (pelaburan) sekitar RM200 bilion untuk tahun ini,” katanya.

 


Sumber: BH Online


 

Kongsikan Artikel Ini