5 Perbezaan Sdn Bhd dan Enterprise

5 Perbezaan Sdn Bhd dan Enterprise

Antara soalan popular yang sering diajukan oleh para usahawan sama ada baru atau lama ialah berkenaan perbezaan diantara syarikat Sendirian Berhad dikenali sebagai Sdn. Bhd. dan Enterprise. Soalannya pendek sahaja, jawapannya mungkin boleh jadi panjang berjela.

Dalam artikel ini, diterangkan 5 perbezaan ketara diantara syarikat Sdn. Bhd. dan Enterprise yang penting untuk difahami.

#1 – Akta Syarikat VS Akta Perniagaan

Syarikat Sdn. Bhd. ditubuhkan dan dikawal oleh Akta Syarikat 2016, sebelum ini dibawah Akta Syarikat 1965. Manakala perniagaan Enterprise didaftarkan dan dikawal oleh Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan dibawah Akta Perkongsian 1961 untuk perniagaan Perkongsian.

  • Akta adalah undang-undang yang diguna pakai.
  • Perniagaan Enterprise mempunyai dua jenis iaitu Milikan Tunggal dan Perkongsian dan bukanlah sebuah Syarikat, ia adalah lesen perniagaan, yang membolehkan anda berniaga mengikut undang-undang perniagaan di Malaysia.

#2 – Pengarah VS Pengurus

Tanggungjawab menguruskan syarikat terletak di bahu pengarah syarikat yang menjalankannya bersama-sama pengarah-pengarah syarikat Sdn. Bhd. yang lain. Berbeza dengan enterprise di mana tanggungjawab pengurusannya terletak di bahu pengurus merangkap pemiliknya.

Jawatan yang menanggung liabiliti yang digunakan dalam Sdn. Bhd. adalah

  • Ketua Pegawai Eksekutif
  • Chief Executive Officer
  • CEO
  • Pegarah Urusan
  • Managing Director.

Dimana dibawahnya terdapat jawatan eksekutif yang lain seperti

  • Ketua Pegawai Operasi
  • Chief Operating Officer
  • COO

Dalam perniagaan Enterprise jawatan yang menanggung liabiliti adalah

  • Pengurus
  • Pemilik Perniagaan

#3 – Liabiliti Berasingan VS Liabiliti Tunggal

Liabiliti bermaksud tanggungan. Tanggungan syarikat Sdn. Bhd. adalah berasingan dari para pemiliknya. Dalam maksud kata mudah, jika syarikat Sdn. Bhd. bankrap, hanya harta syarikat akan dirampas untuk menjelaskan hutang-piutang syarikat tanpa menyentuh harta pemiliknya.

Ini berbeza dengan perniagaan Enterprise dimana apabila perniagaan Enterprise jatuh bankrap, kesemua harta perniagaan dan pemiliknya akan dirampas untuk menyelesaikan hutang piutang perniagaan tersebut.

Bankrap boleh disebabkan oleh pinjaman dengan pihak bank atau individu yang mempunyai perjanjian sah disisi undang-undang.

#4 – Wajib Melantik Professional VS Tidak Wajib

Syarikat Sdn. Bhd. wajib melantik minimum seorang setiausaha syarikat berlesen dan juru audit bertauliah manakala perniagaan enterprise tidak perlu.

#5 – Serah simpan Laporan Tahunan VS Perbaharui Lesen Tahunan

Syarikat Sdn. Bhd. perlu menyerah simpan laporan tahunan beserta laporan akaun beraudit setiap tahun ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Manakala perniagaan enterprise hanya perlu memperbaharui lesen perniagaan samada secara tahunan atau kekerapan lain yang dibenarkan oleh pihak SSM.

Selain dari lima perbezaan yang dinyatakan, terdapat banyak lagi perbezaan lain diantara kedua-dua jenis perniagaan.  Yang dinyatakan ini adalah bahagian penting untuk difahami.

 


Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis di laman web Tuan Shaiham Ibrahim.
Tuan Shaiham Ibrahim adalah Pengasas dan CEO MSIB Group Sdn. Bhd. berpusat di Kuala Lumpur. Setiausaha Syarikat berlesen (Professional) oleh SSM. Aktif memberi ceramah dalam seminar dan Youtube serta menulis blog berkaitan ilmu pensyarikatan.

Featured Image: pixabay.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen