Daftar Syarikat Enterprise

Daftar Syarikat Enterprise

Syarikat Enterprise adalah sebuah perniagaan yang didaftarkan dibawah Akta Perniagaan. Ia bukanlah syarikat, tetapi lebih kepada lesen perniagaan. Berikut adalah panduan pendaftaran perniagaan baru seperti yang digariskan oleh Suruhan Syarikat Malaysia.

Pendaftaran Perniagaan Baru

Perniagaan meliputi tiap-tiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesion atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud-maksud mendapat keuntungan, tetapi tidak meliputi apa-apa jawatan atau penggajian atau apa-apa pengusahaan amal atau apa-apa kerja yang dinyatakan dalam jadual di bawah peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956).

Perniagaan yang boleh didaftarkan di bawah APP 1956 hanya perniagaan beroperasi di Malaysia Barat. Iaitu meliputi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan.
Bentuk perniagaan adalah seperti berikut:

#1 – Perniagaan Milik Tunggal

Perniagaan dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik.

#2 – Perniagaan Perkongsian

Perniagaan dimiliki oleh sekurangkurangnya dua orang dan tidak melebihi daripada dua puluh rakan kongsi.

Prosedur Pendaftaran

#1 – Pendaftaran boleh didaftarkan menggunakan nama sendiri atau nama Tred (perniagaan).

Nama sendiri menggunakan nama seperti di dalam kad pengenalan tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan. Contoh: Ruslan bin Mohamed, Siow Ah Thai, Ramasamy a/l Mutusamy.

Nama Tred ialah nama perniagaan yang dicadangkan dan perlu mendapat kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu. Contoh: Kedai Dobi Mewah, Lucky Star Catering, ABS Unggul Enterprise.

#2 – Lengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan mengisi maklumat seperti berikut:

  • Nama perniagaan
  • Tarikh permulaan perniagaan
  • Alamat utama perniagaan
  • Alamat cawangan perniagaan (jika ada)
  • Maklumat pemilik dan rakan kongsi
  • Jenis perniagaan yang akan dijalankan
  • Kemukakan salinan perjanjian perkongsian (jika ada)

#3 – Pemilik dan rakan kongsi hendaklah menandatangani di ruangan maklumat pemilik dan di ruangan pengesahan oleh pemilik tunggal/rakan kongsi.

#4 – Pemilik / semua rakan kongsi perlu hadir untuk urusan pendaftaran.

#5 – Dokumen yang perlu dilampirkan:

– Surat Kebenaran atau Surat Sokongan bagi jenis perniagaan Taska (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah/Kolej Pendidikan (Kementerian/Jabatan Pendidikan)
– Surat kebenaran atau sokongan daripada agensi berkaitan sekiranya diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan

Syarat Yang Dikenakan

1 – Pemilik mestilah Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap.
2 – Pemilik mestilah berumur 18 tahun ke atas.
3 – Pemilik/rakan kongsi sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan.

Panduan Am

1 – Perniagaan telah dijalankan dan didaftarkan tidak lewat dari 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan.
2 – Pendaftaran baru perniagaan boleh dibuat bagi jangkamasa satu (1) tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran.
3 – Jenis perniagaan yang didaftarkan tidak menyalahi undang-undang, tidak bersesuaian dengan keselamatan persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral.
4 – Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu (1) jam dari waktu pembayaran dibuat.
5 – Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.
6 – Pemilik perniagaan bertanggungjawab untuk mendapat lesen, permit atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa yang berkaitan bagi jenis/aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM.

Kos Pendaftaran

Kos pendaftaran terkini boleh dirujuk kepada Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang terdekat, atau rujuk disini Fi Pendaftaran Perniagaan dan Syarikat

Rujukan Lain

Anda boleh layari pautan dibawah untuk mendapatpan maklumat yang terkini

Registration Of Business (ROB)

 


Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Featured Image: pixabay.com

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen