4 Salah Faham Usahawan Enterprise

4 Salah Faham Usahawan Enterprise

Sebagai usahawan, memahami setiap perkara yang kita lakukan adalah sangat penting, terutamanya tentang pengendalian syarikat. Maklumat yang salah boleh menyebabkan kita menjalankan perniagaan dalam landasan yang tidak betul. Artikel ini telah dikongsikan oleh Tuan Shaiham Ibrahim di halaman web beliau, disusun semula untuk mempermudahkan pembacaan.

Tuan Shaiham Ibrahim
Tuan Shaiham Ibrahim

Menjalankan perniagaan menggunakan enterprise, samada milikan tunggal atau perkongsian sememangnya pilihan yang ideal. Terutamanya kepada usahawan-usahawan yang baru membiasakan diri dengan dunia perniagaan.

Kebiasaan dan pengalaman mereka ketika menjalankan perniagaan menggunakan enterprise, kadang-kala menyumbang kepada salah faham.  Terhadap sejenis entiti perniagaan lain iaitu syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd).

Dalam artikel kali ini dikongsikan berkenaan 4 salah faham dikalangan usahawan yang menjalankan perniagaan menggunakan enterprise berkaitan syarikat Sdn Bhd.

#1 – Enterprise boleh dinaik taraf ke syarikat Sdn Bhd

Perniagaan enterprise merupakan salah sebuah entiti perniagaan yang boleh ditubuhkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Berbeza dengan syarikat Sdn Bhd yang perlu ditubuhkan dibawah Akta syarikat 2016.

Kedua-dua akta ini tidak menyediakan peruntukan yang membolehkan perniagaan enterprise dinaik taraf ke syarikat Sdn Bhd atau sebaliknya. Jadi, pilihan yang ada kepada usahawan enterprise. Yang ingin menukar entiti perniagaan mereka kepada syarikat Sdn Bhd hanyalah menubuhkan syarikat Sdn Bhd yang baru.

#2 – Syarikat Sdn Bhd perlu diperbaharui lesennya sama seperti Enterprise

Perlu difahami terlebih dahulu bahawa syarikat Sdn Bhd apabila ditubuhkan, ianya dianggap sebagai “orang buatan” . Yang mempunyai personaliti perundangan tersendiri dan berasingan dari pemiliknya. Kewujudannya adalah berterusan tanpa perlu diperbaharui sampai bila-bila.

Berbeza dengan status perniagaan enterprise yang hanya sekadar lesen menjalankan perniagaan. Di mana ianya sah untuk satu tempoh tertentu dan perlu diperbaharui apabila tamat tempohnya.

#3 – Boleh terus ke pejabat Suruhanjaya Syarikat-syarikat Malaysia (SSM) terdekat untuk mendaftar syarikat Sdn Bhd

Mendaftarkan lesen perniagaan enterprise sememangnya sangat mudah. Di mana usahawan boleh terus ke mana-mana pejabat SSM, isi borang tertentu, tunggu giliran, buat bayaran dan terus dapat lesen.

Berbeza dengan penubuhan syarikat Sdn Bhd. Dimana usahawan perlu terlebih dahulu melantik syarikat setiausaha untuk menguruskan urusan penubuhan syarikat di SSM.

Syarikat setiausaha yang dilantik ketika penubuhan kebiasaannya, akan terus berkhidmat sebagai syarikat setiausaha. Sehinggalah mereka melantik syarikat setiausaha lain atau syarikat mereka dibubarkan.

#3 – Enterprise tak perlu bayar cukai, syarikat Sdn Bhd perlu

Ramai usahawan enterprise agak takut untuk menjalankan perniagaan mereka menggunakan syarikat Sdn Bhd. Walaupun keuntungan mereka tinggi. Disebabkan salah faham yang menganggap syarikat Sdn Bhd sahaja yang perlu membayar cukai sedangkan perniagaan enterprise tidak.

Sedangkan hakikat sebenarnya mengikut undang-undang percukaian di Malaysia. Mana-mana individu mahupun syarikat yang mempunyai jumlah pendapatan tertentu adalah diwajibkan untuk membayar cukai. Tanpa mengira sama ada perniagaan enterprise mahupun syarikat Sdn Bhd.

Kesimpulan

Diharapkan penjelasan ini dapat mengurangkan, sekaligus menghapuskan salah faham yang wujud di kalangan usahawan enterprise berkaitan syarikat Sdn Bhd.

Kefahaman yang betul dan jelas berkenaan syarikat Sdn Bhd sedikit sebanyak dapat membantu usahawan enterprise. Apabila tiba masa untuk menukar entiti perniagaan mereka kepada syarikat Sdn Bhd di masa hadapan.

 


Tuan Shaiham Ibrahim adalah Pengasas dan CEO MSIB Group Sdn. Bhd. berpusat di Kuala Lumpur. Setiausaha Syarikat berlesen (Professional) oleh SSM. Aktif memberi ceramah dalam seminar dan Youtube serta menulis blog berkaitan ilmu pensyarikatan.

Featured Image: Business photo created by freepik – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen