Malaysia Menjadi Pengukur Dalam Penyeliaan Kewangan Alternatif

Malaysia Menjadi Pengukur Dalam Penyeliaan Kewangan Alternatif

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Malaysia merupakan antara 10 negara yang menjadi penanda aras terbaik di segi peraturan pengawalseliaan dan peneraju kewangan alternatif di Asia Pasifik, kata seorang pakar ekonomi.

Pakar Ekonomi Kewangan Bank Dunia, Dr Margaret Miller memberitahu Malaysia juga dilihat sebagai antara yang terbaik di rantau ini khususnya dalam kewangan alternatif, satu bidang yang masih baharu tetapi mencatatkan perkembangan yang pesat.

“Apa yang kami lihat melalui maklum balas daripada pengawalseliaan yang lain ialah Malaysia dijadikan penanda aras berbanding rangka kerja pengawalseliaan yang lain dalam pembiayaan alternatif,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran “Pengawalan Kewangan Alternatif – Hasil daripada Tinjauan Pengawalseliaan Global’ oleh Bank Dunia dan Pusat Cambridge untuk Kewangan Alternatif.

Kajian ini menyatakan bahawa bidang kuasa yang dijadikan penanda aras adalah United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.

Beliau menambah berdasarkan kepada kajian global, negara yang tidak mempunyai garis panduan yang jelas, akan meletakkan peraturan kewangan alternatif di bawah peraturan pasaran sekuriti, perbankan dan pinjaman yang sedia ada.

“Kami lihat pengawal selia yang mahu menangani perniagaan jenis baharu ini, terpaksa menyesuaikan dengan apa yang mereka ada dan membuat kawalan selia di bawah rangka kerja pengawalseliaan semasa,” katanya.

Pembiayaan kepada perniagaan kecil dan pengguna secara serta merta menjanjikan peluang yang besar, mereka ini, secara tradisi tidak dapat mengakses pembiayaan tradisional, justeru itu, pembiayaan alternatif ini akan meningkatkan persaingan dalam pasaran kewangan global.

Sementara itu, wakil Kumpulan Bank Dunia dan Pengurus Negara, Dr Firas Raad berkata ekonomi digital yang mendapat fokus utama dalam agenda pembangunan dan teknologi Malaysia telah memudahkan penerimaan kewangan alternatif yang menyebabkan perubahan ketara dalam perangkuman kewangan.

“Kajian ini boleh bertindak sebagai penyampai makluman kepada penggubal dasar dan pihak berkepentingan mengenai peluang serta cabaran yang wujud dalam mengawal selia isu ini, sama ada pada peringkat global atau domestik,” katanya.

— BERNAMA

 


Featured Image: Background photo created by rawpixel.com – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen