Bagaimana Teksi Dibunuh Oleh E-Hailling

Bagaimana Teksi Dibunuh Oleh E-Hailling

Kurang daripada 10 tahun yang lalu, perkhidmatan teksi merupakan salah satu perkhidmatan awam popular di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Teksi sering menjadi permintaan kerana ia boleh membawa penumpang ke kawasan yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan awam yang lain seperti bas. Keuntungan yang diperolehi oleh perniagaan teksi ini juga sangatlah tinggi. Sehingga menarik campur tangan kerajaan untuk mengenakan cukai-cukai khas kepada pemandu teksi.

Malang sekali, hari ini perkhidmatan teksi tidak segah zaman kegemilangannya. Bermula dengan perkhidmatan e-hailling yang dipanggil Uber, pelbagai jenis aplikasi e-hailling mula mengorak langkah di serata dunia yang menawarkan konsep sama seperti teksi tetapi lebih tersusun dan dipercayai. Tambahan pula, perkhidmatan teksi yang semakin kurang memberansangkan seperti mengenakan harga sesuka hati dan mengambil jalan jauh untuk memperdaya penumpang merupakan antara faktor utama perkhidmatan e-hailing semakin mendapat tempat di hati pengguna.

Langkah Inisiatif

Pada mulanya, badan-badan kerajaan cuba mengambil langkah inisiatif untuk membantu nasib pemandu-pemandu teksi yang semakin sukar mencari rezeki. Sebagai contoh, New York dan Israel mengharamkan penggunaan Uber pada mulanya kerana mereka mendapat keuntungan yang banyak dari perkhidmatan teksi yang sedia ada. Tetapi, New York mula berubah arah selepas mendapat tekanan daripada para pengguna. Israel pula masih kekal mengharamkan segala jenis aplikasi e-hailling tetapi tidak begitu mendapat tentangan kerana perkhidmatan awam di Israel cukup mesra pengguna.

Di Malaysia, permintaan untuk mengharamkan aplikasi-aplikasi e-hailling mula kedengaran apabila Uber dan Grab semakin popular dalam kalangan pengguna. Kerajaan Malaysia bertindak balas dengan memberikan bantuan kepada pemandu-pemandu teksi walaupun digesa oleh pemandu-pemandu teksi untuk mengharamkan aplikasi-aplikasi tersebut. Tidak lama kemudian, kerajaan Malaysia bersetuju untuk mengenakan protokol yang sama kepada pemandu-pemandu Grab agar mengambil lesen yang sama seperti pemandu teksi, pada masa ini, Uber telahpun diserap ke dalam Grab sekaligus menjadikan Grab sebagai aplikasi e-hailling terbesar di Malaysia.

Evolusi Perkhidmatan

Dalam dunia teknologi tanpa sempadan ini, perkhidmatan e-hailling mula berevolusi kepada perkhidmatan lain yang sedikit berbeza daripada perkhidmatan teksi tetapi mengamalkan konsep yang sama. Grab mula memperkenalkan Grab Food iaitu servis penghantaran makanan yang sama seperti FoodPanda dan juga Dahmakan. Saingan Grab seperti MyCar dan Frenzt juga semakin bertambah dan lebih mesra pemandu kerana tidak terikat dengan polisi kerajaan. Keadaan ini juga telah memaksa kerajaan Malaysia untuk memberikan perhatian yang lebih kepada pemandu dan penunggang aplikasi-aplikasi e-hailling yang semakin bertambah dan lebih lantang bersuara di laman media sosial berbanding pemandu-pemandu teksi.

Jika ditanya pada anak muda hari ini, adakah perkhidmatan teksi masih lagi relevan? Pasti ramai yang akan membalas dengan jawapan tidak relevan. Kenapa? Kerana perkhidmatan teksi pada hari ini sama seperti perkhidmatan telefon awam, sangat berguna pada zaman sebelum teknologi tetapi kini hanya digunakan oleh mereka yang tiada akses pada teknologi. Mereka yang peka dan celik akan terus terjun ke dalam arus teknologi tetapi mereka yang enggan akan kekal menjadi relik di masa lampau.

 


Featured Image: Business photo created by senivpetro – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen