Karnival Robotik Bangi 2022 Tarik Lebih 600 Peserta

Karnival Robotik Bangi 2022 Tarik Lebih 600 Peserta

Bangi, 25 Julai 2022 – JAZRO hari ini mengumumkan bahawa Karnival Robotik yang julung kali diadakan di Kompleks Beli-belah Evo Mall di Bangi dari 16 hingga 17 Julai telah mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila merekodkan 630 peserta berdaftar, termasuk kumpulan-kumpulan pelajar daripada lima buah sekolah tempatan. Acara tersebut bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai robotik di kalangan kanak-kanak berumur 7 hingga 17 tahun, dan ia dianjurkan oleh JAZRO dan Evo Mall. Dianggarkan kira-kira 2,000 pengunjung, termasuk ibu bapa dan individu, datang ke acara itu.

Karnival yang pertama kali diadakan ini di Bangi itu telah menarik perhatian Yang Berhormat Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi, yang hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis penutup. Dr. Ong memuji penganjur atas inisiatif mereka mengadakan acara itu. Beliau berharap acara serupa dapat dianjurkan pada masa akan datang, terutamanya yang mampu beri peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga B40 untuk belajar tentang robotik.

Ir. Dzulfarqeish Zainuddin, Pengasas Bersama JAZRO, berkata, “Kami mahu membawa kanak-kanak lebih dekat dengan teknologi digital melalui aktiviti-aktiviti penglibatan secara langsung. Kami jadikan proses pembelajaran menyeronokkan, dan pendekatan ini berkesan terhadap kanak-kanak yang ambil bahagian dalam pertandingan, bengkel, dan aktiviti lain semasa Karnival Robotik. Kami teruja dengan sambutan positif ini.”

Sementara itu, Mohd Fauzi Bin Ibni Hajar, Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, menyatakan, “Kami bersyukuri kerana dapat bekerjasama dengan sekumpulan profesional muda berbakat di JAZRO, yang telah membantu pasukan Evo Mall untuk menganjurkan acara yang sangat berjaya. Melihat kepada sambutan yang luar biasa ini daripada komuniti kejiranan, kami percaya bahawa acara seperti ini harus diadakan lebih kerap selaras dengan misi kami untuk menjadi ‘pusat membeli-belah mesra komuniti’. Kami tahu bahawa kami dapat memenuhi keperluan penduduk Bangi khususnya untuk mengadakan sebarang acara berorientasikan pendidikan dan keluarga di premis kami.”

Selain menyertai pelbagai bengkel dan pertandingan robotik, kanak-kanak, guru, dan ibu bapa juga menikmati pameran oleh D’Virtual Park, MDEC, MyTutor, PETROSAINS, Pickiddo, dan Project Mika.

JAZRO, yang beribu pejabat di Terengganu, sudah mula berbincang dengan sekurang-kurangnya lima potensi rakan kongsii di Lembah Klang untuk menganjurkan acara serupa pada masa akan datang.

“Karnival Robotik Bangi telah memberi kami inspirasi untuk terus anjurkan acara yang sama untuk memupuk kesedaran yang lebih tinggi mengenai robotik di kalangan kanak-kanak, termasuk mereka dari keluarga B40, pada masa akan datang,” jelas Ir. Dzulfarqeish.

Mengenai JAZRO:

Akademi Robotik JAZRO (JAZRO) adalah syarikat pendidikan robotik yang bertujuan untuk mengembangkan bakat digital dalam sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) dengan kandungan yang disusun khas untuk pelajar dari usia 5 hingga 17 tahun untuk belajar, menemui, dan meneroka robotik dan pengekodan melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan, selaras dengan peluang dan keperluan kerjaya masa depan Revolusi Industri 4.0. Lawati kami di www.JAZRO.com.my.

Mengenai Evo Mall:

Evo Mall adalah salah satu kompleks membeli-belah paling berprestij yang terletak di Bandar Baru Bangi. Ia hanya 25 kilometer dari Kuala Lumpur dan terletak di lokasi strategik antara Kajang dan Putrajaya. Bangunan ini ditetapkan untuk hartanah runcit dan kediaman dan merupakan satu-satunya pusat membeli-belah utama di Bangi yang memberikan pengalaman membeli-belah terbaik kepada pengunjung.

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen