Seni Menjual ialah teknik membuat jualan yang para usahawan perlu ketahui. Usahawan perlu menguasai teknik ini bagi memastikan perubahan dalam bisnes menjadi lebih baik. Ia juga membantu membina strategi baru bagi mempertingkatkan dan memperkukuhkan perniagaan. Menjual secara langsung adalah satu seni. Ia mungkin sukar bagi mereka yang baru belajar menjual.
Amat penting mempelajari teknik bagaimana membuat jualan yang berkesan. Teknik menjual tanpa menjual atau selling without selling sesuai digunakan bagi mempengaruhi minda pelanggan untuk membeli, sekaligus meningkatkan jualan. Mengetahui bagaimana cara melayani pelanggan juga dapat membantu anda menjual dengan mudah.
Antara teknik berkesan ketika menjual seperti berikut:
#1 – Daya Pengaruh
Seni menjual amat berkait rapat dengan mempengaruhi orang sekeliling, seperti pelanggan anda. Penampilan diri amat penting bagi membuatkan anda dikagumi. Cara meningkatkan daya pengaruh yang berkesan merangkumi cara berpakaian, bahasa pertuturan dan intonasi yang menyakinkan. Memakai pakaian yang kemas dan sopan serta pemilihan jenis pakaian yang tepat, akan menggambarkan imej yang betul. Ini termasuk memilih warna, corak dan reka bentuk yang betul serta kelihatan kemas dan menyenangkan.
#2 – Seni Bercakap
Ialah teknik komunikasi berkesan bagi menyampaikan sesuatu perkara yang perlu dipelajari. Berkomunikasi secara efektif dan meyakinkan akan menarik pelanggan membeli tanpa dipaksa. Anda perlu bercakap dengan ringkas dan mencapai maksud. Pastikan idea yang jelas tentang apa yang harus diperkatakan dan mengetahui cara terbaik untuk mengatakannya.
#3 – Kenal Produk
Bagi menarik perhatian dan meyakinkannya pelanggan. Mengenali produk atau product knowledge perlu ada pada anda. Ambil tahu apa yang perlu dikongsikan dengan pelanggan. Berikan fakta atau jawapan yang tepat, elakkan berkata apa yang anda tidak tahu. Jangan sekali membandingkan atau memburukkan produk atau servis orang lain.
#4 – Tunjukkan Nilai
Produk yang baik dan berkualiti amat mudah dibeli. Anda hanya perlu tahu cara terbaik apa yang ingin ditunjuk kepada pelanggan. Kenal pasti nilai atau keunikan produk yang ditawarkan. Tunjukkan kepada pelanggan bagaimana produk atau perkhidmatan anda boleh memberi nilai dan mampu menyelesaikan masalah mereka.
#5 – Guna Bahasa yang Sesuai
Bercakap dalam bahasa yang jelas dan boleh difahami pelanggan, serta elakkan menggunakan perkataan bombastik. Jika anda tidak faham atau tidak pasti bagaimana perkataan diucapkan, jangan gunakannya. Gantikannya dengan perkataan yang lebih mudah difahami pelanggan.
#6 – Guna Skrip Jualan
Apabila membina skrip jualan, pilih perkataan yang tepat dan sesuai serta ringkas. Elakkan mengambil masa yang lama dengan pelanggan. Menghafal skrip jualan sebelum bertemu pelanggan dapat membantu anda dari gugup, bercakap cepat dan melalut. Berlatih dan rekod suara anda sendiri dan dengar semula untuk penambahbaikan.
#7 – Imej dan Bahasa badan
Apabila bercakap dengan pelanggan pastikan anda berada dalam keadaan yang selesa. Mulakan dengan senyuman, jangan terlalu hampir atau menyentuh pelanggan . Elakkan bercakap gaya senada kerana ia boleh menyebabkan pelanggan berasa bosan untuk mendengar.
Kesimpulannya, menjual menjadi lebih mudah apabila sering kali dilakukan. Ada pepatah mat-saleh mengatakan practice makes perfect. Pengalaman akan membantu anda tampil lebih yakin di depan pelanggan sekaligus membantu melariskan jualan.
Disusun semula dari penulisan asal di laman web INSKEN
Featured Image: pixabay.com