Mentaliti Usahawan: Mentaliti Koboi

Mentaliti Usahawan Koboi

Dalam dunia bisnes yang kian kreatif, usahawan bermentaliti Usahawan Koboi wajib sedar bahawa prinsip yang mereka pegang perlu diubah. Mentaliti ini bukan hanya terdapat di kampung sahaja. Bahkan, usahawan di Bandar elit juga kadang kala masih berdepan dengan masalah ini. Apa yang dimaksudkan dengan mentaliti Usahawan Koboi?

#1 – Bisnes  Cukup Makan, Tak Mengapa

Usahawan begini selalunya hadir dengan keluhan terhadap apa yang dilakukan dalam bisnes, hanya sekadar cukup makan. Seperti kata pepatah “Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” atau lebih moden “Selagi ada daun, hiduplah kita”.

Mentaliti sebegini tidak harus diteruskan jika kita ingin berjaya. Usahawan yang berjaya akan merangka strategi bisnesnya untuk 5 tahun ke hadapan.

#2 – Tak Daftar Perniagaan atau Syarikat

Ini biasanya terjadi bagi usahawan mikro. Contohnya seperti penjual nasi lemak di depan rumah, pengasuh kanak-kanak di rumah dan tukang jahit di rumah. Sebenarnya mereka ini juga termasuk dalam golongan usahawan. Tetapi, oleh kerana kurang kesedaran dan pengetahuan, mereka menggangap ianya bukan satu keperluan.

#3 – Tiada Ilmu Untuk Kembangkan Bisnes

Usahawan dan ilmu sebenarnya tidak boleh dipisahkan. Samada kita belajar secara rasmi atau tidak rasmi. Ianya tetap suatu proses pembelajaran bagi mematangkan diri. Namun, tidak cukup dengan belajar secara tidak rasmi sahaja, kita juga perlu berusaha mencari ilmu bagi meningkatkan prestasi bisnes.

#4 – Tak Buat Pemasaran, Tunggu Pelanggan Datang Beli

Dalam dunia sekarang, tidak boleh hanya menunggu sahaja pembeli datang membeli, kerana persaingan sangat tinggi. Banyak produk dan perkhidmatan yang mudah diperolehi di hujung jari secara online. Oleh itu, kita juga mestilah tahu dan lakukan cara pemasaran moden ini. Walaupun menjual pisang goreng sahaja, kita perlu online, guna facebook contohnya . Supaya, apabila pelanggan berkunjung sekitar tempat kita berniaga, mereka akan ingat dan tercari-cari pisang goreng kita.

#5 – Tiada Pewaris Menyambung Bisnes

Seharusnya setiap usahawan mestilah memikirkan pewaris atau legasi yang bakal menyambung bisnes, apabila sudah tiada lagi didunia. Exit Plan amat penting supaya pemilik tidak selamanya terikat dalam bisnes sendiri. Perancangan ini memerlukan ketelitian dalam membuat keputusan, penting demi masa depan sesebuah syarikat. Namun, pewaris bukan semestinya dari kalangan keluarga. Dalam situasi tertentu, anak pemilik bukanlah orang yang sesuai mewarisi legasi perniagaan yang dibina.

Antara tindakan yang boleh diambil oleh Usahawan Koboi ini adalah:

#1 – Cari Guru Bukan Sifu

Mencari guru dan belajar ilmu bisnes. Kita bukan pakar dalam semua perkara, oleh itu kita sentiasa perlukan orang lain menunjuk ajar tentang perkara lain.

#2 – Daftar Perniagaan

Mendaftar perniagaan samada Milikan Tunggal (Enterprise), Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) atau Syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd). Ini perlu, supaya bisnes dilindungi oleh akta, pemilik juga lebih berdaya saing kerana perlu membayar cukai pendapatan.

#3 – Belajar Pemasaran

Belajar ilmu asas pemasaran samada offline mahupun online. Mungkin juga boleh mengupah konsultan pemasaran, tetapi setiap usahawan perlu mengambil tahu tentang ilmu ini dengan sendiri.

#4 – Kenali Agensi Kerajaan

Kenali agensi-agensi kerajaan yang boleh membantu supaya kita dapat bantuan dalam mengembangkan bisnes. Seperti geran pemadanan bagi pembelian mesin dan pengiklanan.

#5 – Sentiasa Bermotivasi

Kekalkan motivasi yang tinggi untuk berjaya. Sudah semestinya motivasi yang tinggi mampu membantu usahawan mengubah mentaliti Usahawan Koboi kepada Usahawan Berwawasan.

Kesimpulannya, jika anda sebagai usahawan tidak ingin berubah mengikut arus kemodenan, anda akan ketinggalan. Mari kita mulakan perubahan. Bermula dari hari ini.

 


Disusun semula dari penulisan asal di laman web INSKEN
Featured Image: picjumbo.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen