Enam Cara Freelancer Bikin Wang Lebih

Enam Cara Freelancer Bikin Wang Lebih

Bagi menampung kos sara hidup masa kini, ramai yang buat kerja sampingan atau kerja sambilan. Baik mereka yang berkerjaya atau suri rumah yang tiada pendapatan bulanan.

Freelancer selalunya menawarkan perkhidmatan tertentu kepada syarikat atau individu yang berlainan pada satu-satu masa.

Lazimnya, freelancer melakukan pekerjaan dari rumah. Kelebihan menjadi freelancer adalah punyai waktu yang fleksibel dan mereka boleh memilih sama ada mahu mengambil satu-satu projek atau tidak dan menetapkan bayaran yang mereka mahukan.

Sama ada melakukannya di rumah atau bergerak dari satu tempat ke tempat lain, anda bebas bekerja dengan cara yang anda suka,andalah majikan, andalah pekerja.

Ramai freelancer bermula kecil dan mengambil masa yang lama sebelum memahami cara untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui kerja-kerja freelance.

Berikut adalah tip-tip yang freelancer boleh gunakan untuk menjana lebih pendapatan walaupun dari rumah.

#1 – Tawarkan Khidmat Ekstra Ikut Keperluan Pelanggan

Ramai freelancer di awal waktu mereka bermula, agak takut-takut dan kekok untuk berunding mengenai bayaran mereka.

Mungkin kerana tiada pengalaman ataupun terlalu sedikit. Jika anda mahu jana lebih pendapatan, jika anda tidak yakin untuk tawar-menawar dengan harga yang mereka bayar kepada anda, anda boleh tawarkan mereka khidmat lain yang syarikat mereka perlukan.

Contohnya, jika anda adalah penulis bebas untuk website syarikat tersebut, anda boleh tawarkan untuk tulis lebih banyak ‘content’ atau menjaga dan memantau ‘website’ mereka ataupun menawarkan diri untuk menguruskan media sosial mereka yang lain jika anda berkemahiran.

Daripada sini, anda boleh meningkatkan pendapatan anda dan memperbanyakkan pengalaman anda.

Apabila anda sudah mempunyai banyak pengalaman, anda boleh menawarkan khidmat yang sama kepada syarikat-syarikat lain dengan harga yang lebih tinggi.

#2 – Bina Portfolio Profesional

Banyak syarikat bersikap terbuka dalam memberikan peluang kepada muka-muka baru untuk melakukan kerja-kerja penting syarikat namun bayaran yang ditawarkan mungkin rendah daripada harga ‘standard’ yang diperolehi oleh freelancer yang lain.

Untuk waktu permulaan sebagai freelancer, terima sahaja apa yang ditawarkan untuk membina profil anda dalam bidang ini secara profesional.

Cuba tawarkan khidmat kepada syarikat-syarikat besar dengan harga yang rendah.

Jika anda berjaya, ini adalah peluang yang bagus di mana syarikat lain yang seterusnya akan bersikap lebih terbuka dan mudah untuk mengambil perkhidmatan anda kerana mereka mengenali syarikat besar yang anda pernah memberikan perkhidmatan dahulu.

Anda juga boleh berunding dengan harga yang lebih tinggi kerana anda pernah memberikan khidmat di syarikat-syarikat besar.

#3 – Bina Kredibiliti Dari Masa Ke Semasa

Tiada cara lain untuk membantu anda meningkatkan pendapatan jika kredibiliti anda berada di tahap yang sama.

Membina profil dan profesion harus selari dengan kredibiliti. Tiada siapa yang mahukan perkhidmatan orang yang tidak boleh memberi komitmen dan menepati tempoh yang ditetapkan.

Syarikat mengupah freelancer bertujuan untuk memudahkan urusan syarikat. Bina kredibiliti yang mantap semasa bekerja dengan menunjukkan prestasi yang bagus.

Jika hasil kerja anda berkualiti dan diakui oleh syarikat tersebut, pasti ia juga akan disedari oleh syarikat lain dan mereka juga pasti ingin mendapatkan anda.

Jika hasil kerja anda disukai oleh syarikat tersebut, mungkin mereka juga akan mencadangkan perkhidmatan anda kepada syarikat lain.

#4 – Jangan Meragui Kebolehan Sendiri

Ramai freelancer agak ragu-ragu untuk mempromosikan diri sendiri dan kemahiran yang mereka miliki kepada syarikat yang berpotensi.

Kadang-kadang menghadapi dilema di antara ingin merendah diri atau membangga diri dengan menyebarkan bakat dan kelebihan yang ada.

Mungkin anda juga risau jika bukan itu yang dimahukan prospek dan mungkin anda juga tidak dapat melakukan tugasan dengan baik mengikut jangkaan mereka.

Itu adalah perkara biasa dan anda seharusnya membiasakan diri untuk membuang segala rasa takut dan tidak yakin anda terhadap kebolehan anda sendiri.

Janjikan yang terbaik dan berikan yang terbaik, jika berhasil pasti yang diterima juga baik-baik.

Jika gagal, jangan putus asa dan cuba perbaiki kelemahan diri anda untuk menjadi lebih baik dan lebih bagus.

#5 – Belajar Cara Untuk Memberi Keutamaan

Apabila anda sudah bergelar freelancer, anda akan membina profil dan juga ‘base’ pelanggan anda sendiri seperti syarikat atau bisnes lain.

Lama-kelamaan, anda akan mendapat lebih ramai pelanggan dan perkhidmatan anda akan mula disedari oleh lebih ramai pelanggan.

Tidak mustahil, dengan prestasi dan kualiti kerja yang bagus, anda mula mendapat banyak tawaran kerja. Pada satu tahap, tawaran kerja daripada pelanggan lama dan baharu akan bercampur-aduk.

Anda akan mendapat pelbagai jenis skop tugasan yang berbeza dan kadar upah yang berlainan. Di sini, anda harus bijak menguruskan pelbagai tugasan yang diberikan dan bagaimana untuk menetapkan keutamaan anda.

Sama ada anda ingin memberi keutamaan kepada pelanggan lama atau syarikat yang lebih besar atau mengikut kadar upah yang lebih tinggi atau mengikut tempoh masa yang diberikan dan sebagainya.

Anda yang harus tentukan sendiri kerana ini juga adalah sebahagian daripada gaya kerja anda yang akan menjadi cara pelanggan dan prospek menilai anda.

Beri keutamaan kepada pelanggan yang bayar lebih tinggi adalah cara terbaik untuk menambahkan pendapatan anda namun harus juga menjaga kualiti kerja dengan orang yang membayar anda pada kadar yang lebih rendah kerana anda sedang membina kredibiliti dan profil anda.

Tetapkan juga masa dan had kemampuan anda untuk melakukan maksimum tugasan pada satu masa agar tidak membebankan diri sendiri dan membuatkan kualiti kerja anda merosot.

#6 – Jangan Pernah Bermula Rendah

Sebaik sahaja anda sudah mempunyai pengalaman, profil dan kredibiliti yang kukuh, anda harus bijak menetapkan harga kerana itu adalah nilai anda sebagai seorang yang profesional.

Jika sebagai seorang freelancer yang bagus dan hasil kerja yang dijamin berkualiti dalam tempoh masa yang ditetapkan, anda boleh meminta harga yang lebih tinggi setiap kali berurusan dengan prospek.

Walaupun bekerja dari rumah, anda boleh jana pendapatan hingga 5 angka jika bijak merangka strategi.

 


Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis di laman web Majalahniaga


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen