Penjual Kalkulator Terkaya di India

Penjual Kalkulator Terkaya di India

Ini adalah kisah Shiv Nadar, salah seorang yang terkaya di India yang pada awalnya hanyalah seorang penjual kalkulator elektronik. Kini menjadi Pengarah syarikat HCL Technologies, iaitu salah satu kilang pengeluar IT terbesar di India.

HCL juga termasuk diantara 100 perniagaan di Asia yang sangat berkembang seperti yang diulaskan dalam majalah Forbes. Kekayaan Shiv Nadar adalah 14.8 Bilion US Dolar atau lebih kurang 60 Bilion Ringgit Malaysia. Bagaimanakah perjalanan Nadar ketika membangunkan HCL?.

Dari Keluarga Kecil di Pekan Kecil

Ketika dilahirkan pada tahun 1945, India masih dijajah oleh Inggeris. Mahatma Gandhi berjuang mati-matian untuk membebaskan India dari penjajahan. Akhirnya pada tahun 1947, India mendapat kemerdekaan dari Inggeris. Pada ketika itu beliau masih berumur 2 tahun, dan keamanan dan ekonomi negara India tidaklah sebaik sekarang. Keluarga beliau tinggal dikawasan kecil dan miskin bernama Tamil Nandu.

Kehidupan zaman kanak-kanak beliau juga biasa-biasa sahaja. Bahkan kerana kegawatan ekonomi, beliau terpaksa menangguhkan persekolahannya. Beliau menunggu selama 2 tahun untuk membolehkannya menyambung belajar ke tahap yang seterusnya setelah tamat sekolah rendah.

Begitulah keadaannya sehingga beliau menamatkan pengajian tinggi. Nadar akhirnya melanjutkan pelajaran di PSG College of Technology, Coimbatore. Disitu kesedaran mula timbul, beliau berazam untuk memperbaiki ekonomi diri dan keluarga.

Mula Bekerja Dan Berniaga

Pada tahun 1967, Nadar bekerja di Walchand Group, iaitu sebuah perniagaan pelaburan. Di sana beliau telah dilatih untuk menjadi seorang peniaga yang berjaya. Di situ juga beliau berkenalan dengan beberapa orang rakan yang kemudiannya bersama-sama menjadi rakan kongsi di HCL Technologies.

Sembilan tahun kemudian HCL Technologies ditubuhkan dengan dana sebanyak 187,000 Rupee,  lebih kurang sebanyak RM 11,096.82. Beliau telah berkerjasama dengan Microcomp dan bersama rakan-rakannya menjual kalkulator digital di India.

Siapa sangka, perjalanan perniagaan Nadar ternyata berhasil didalam bidang teknologi. Daripada menjual kalkulator digital, beliau berkenalan dengan beberapa pengendali syarikat IT di negara-negara maju seperti Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat. Dari perkenalan singkat itulah, beliau mendapat peluang untuk menjual alat komputer di Singapura.

Tahun 1980, Puncak Kejayaan

Pada tahun 1980, beliau berhasil menjual sejumlah alatan komputer ke Singapura. Ketika itu harga pasaran komputer sangat mahal, oleh kerana itu perniagaan HCL telah mendapat keuntungan sehingga mencecah 1 Juta Rupee, hanya dengan menjual alatan komputer sahaja. Akhirnya beliau bertekad untuk menjadikan HCL sebuah perniagaan IT. Selari dengan perkembangan semasa, HCL yang awalnya menjadi kilang pengeluar alatan IT, telah mencapai kejayaan dalam perkhidmatan IT, sekitar tahun 90an. Nilai hasil perniagaan HCL sangat memberangsangkan, menjadikan syarikat beliau salah sebuah perniagaan IT terbesar di India.

Sumbangan Pada Pendidikan

Shiva Nadar

Pada tahun 1996 ketika HCL dan Nadar sedang berada di puncak kejayaan, beliau telah mendirikan sebuah universiti bernama Sri Sivasubramaniya Nadar College of Engineering (SSNCE). Dengan menyumbang sekitar 1 Juta Dolar, beliau telah menjadikan SSNCE sebagai salah sebuah universiti terbesar di India. Kini, Nadar bukan hanya dikenal sebagai orang terkaya di India, tetapi juga sebagai seseorang yang sangat mengaambil berat tentang pendidikan.

 

 


Sumber: Wikipedia, forbes.com
Featured Image: Business photo created by ijeab – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen