HappyFresh Malaysia Bekerjasama dengan Delyva untuk Perkemas Pengurusan Penghantaran

HappyFresh Malaysia Bekerjasama dengan Delyva untuk Perkemas Pengurusan Penghantaran

Petaling Jaya, 1 April 2022 – Delyva Sdn Bhd (Delyva) hari ini mengumumkan HappyFresh Malaysia memilih sistem pengurusan penghantaran DelyvaX untuk memperkemas operasi penghantaran termasuk di pasar raya fizikal HappyFresh yang baru dilancarkan.

HappyFresh Malaysia baru selesai integrasi dengan DelyvaX yang membolehkan sistem pesanan dalam taliannya mencapai perkhidmatan kurier pihak ketiga dengan lancar.

Hanif Wahid, CEO Delyva berkata, “Kami memperkenal HappyFresh dengan penyelesaian digital yang menjadikan pengurusan penghantaran lebih cekap. Sistem kami mengautomatikkan pemprosesan pesanan dan kemas kini status penghantaran, jadi tidak perlu lagi memuat turun pesanan secara manual atau memuat naikkannya kepada kurier pihak ketiga. Akhirnya, peningkatan kecekapan tersebut menguntungkan pelanggan juga. Kami bertuah dapat bekerjasama dengan HappyFresh Malaysia.”

En. Hu Hun Hui, Pengarah Urusan HappyFresh Malaysia berkata, “HappyFresh menikmati pengurangan tempoh memproses pesanan yang ketara dan tempoh pengagihan pesanan yang optimum hasil proses automatik yang diperkenal DelyvaX.”

“Kami menjangkakan peningkatan jumlah pesanan Ramadan ini dan musim perayaan Hari Raya yang akan datang. Kami gembira Delyva membantu kami memperkemas proses supaya penghantaran dikendalikan dengan betul bagi memastikan kepuasan hati pelanggan,” sambung En. Hu Hun Hui.

Delyva mempunyai lebih daripada 20 rakan kurier standard dan rakan penghantaran segera yang beroperasi di kebanyakan bandar besar dalam Malaysia.

Tentang HappyFresh

HappyFresh ialah syarikat peneraju perniagaan barang runcit dalam talian di Asia Tenggara yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia dengan operasi di Malaysia dan Thailand. Perkhidmatannya termasuk barangan runcit dalam talian bagi pengguna kebanyakan dan bekalan pantri bagi pelanggan korporatnya dengan bekerjasama dengan rantaian perniagaan barang runcit terkemuka sejak 2015. Pembeli peribadi syarikat yang terlatih memilih dengan teliti barangan runcit segar yang kemudian dihantar oleh penunggang ke lokasi yang ditentukan mengikut ruang waktu penghantaran yang diperuntukkan dari pada hari yang sama hingga ke tujuh hari yang berikutnya. Misinya syarikat ialah untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran barang runcit kepada semua isi rumah merentasi Asia Tenggara, untuk memudahkan hidup semua orang.

Tentang Delyva

Delyva ialah penyedia penyelesaian penghantaran sehenti bagi sebarang saiz perniagaan. DelyvaNow ialah platform tempahan penghantaran dalam talian yang membantu perniagaan q-dagang dan e-dagang menjimatkan wang dan masa dalam penghantaran, mengekalkan lebih ramai pelanggan, dan membesarkan perniagaan mereka dengan lebih pantas. DelyvaNow menghubungkan perniagaan q-dagang dan e-dagang dengan kurier ekspres dan atas permintaan dengan lancar, memilih kurier terbaik bagi setiap pesanan, di samping menyediakan komunikasi lebih baik dengan penerima. Sementara itu, DelyvaX, yang diperkenal pada lewat 2020, ialah sistem pengurusan penghantaran berasaskan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) bagi mana-mana syarikat yang mahukan fleksibiliti mengurus penghantaran menggunakan penunggang atau pemandu mereka sendiri atau berintegrasi dengan penyedia kurier pilihan atau kedua-duanya. Delyva Sdn. Bhd. berpangkalan di Selangor. Lawati www.delyva.com.

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen