Kisah Petani Berumur 80 Tahun

Kisah Petani Berumur 80 Tahun

Kebanyakan warga emas akan meluangkan masa mereka di rumah sambil menghabiskan sisa-sisa hidup yang masih berbaki. Ada juga yang mengambil inisiatif untuk kekal sihat dengan melakukan kerja-kerja kecil di kawasan rumah seperti mengemas rumah atau berniaga kecil-kecilan.

Usia bukan penghalang

Bagi seorang pekebun berusia 80 tahun yang mesra dipanggil Uncle Loke. Dia lebih gemar menghabiskan masanya dengan bercucuk tanam di kebun sayurnya. Uncle Loke mengambil inisiatif berkebun sebagai salah satu langkah untuk mengekalkan kecergasan diri pada peringkat umur sepertinya.

Disiplin yang ketat

Dalam satu temuramah, Uncle Loke menceritakan bahawa dia mempunyai rutin harian yang sangat ketat. Setiap pagi pada jam 6, Uncle Loke akan memulakan kerjanya di kebun sehingga jam 12 tengah hari, ataupun setidaknya sehingga cuaca menjadi panas terik. Dia akan kembali menyambung kerja-kerja bercucuk tanam pada sebelah petang lebih kurang jam 3 petang. Kerana ingin mengelakkan cuaca terik matahari di samping melepaskan penat berkebun di waktu pagi.

Kebiasaannya, Uncle Loke akan meluangkan waktu petang dengan membersihkan tanaman dan batas, berbeza dengan waktu pagi yang lebih tertumpu kepada aktiviti menyiram dan membuang tanaman sayur rosak yang dimakan ulat. Disebabkan khusyuk berkebun, aktiviti di sebelah petang akan berlanjutan hingga ke waktu malam.

Uncle Loke
Uncle Loke. (Sumber: Jantan Mulut Becok)

Menurut Uncle Loke, dia melakukan aktiviti berkebun setiap hari, 7 hari seminggu tanpa mengira waktu dan cuaca. Tidak kira hujan lebat atau penat badan sekalipun, dia akan tetap datang berkebun.

Dalam erti kata lain, selagi mana badan masih bernyawa, selagi tu dia akan turun berkebun.

Hendak diikutkan, Uncle Loke bukanlah orang susah ataupun warga emas yang terabai. Uncle Loke mengatakan bahawa dia dijaga oleh anak lelaki sulung dan bongsunya sambil ditemani oleh isteri yang tercinta.

Lokasi strategik

Kesemua tanaman sayur yang dituai oleh Uncle Loke akan dijual kepada peniaga-peniaga pasar pagi berdekatan. Uncle Loke boleh dikatakan sangat bertuah kerana lokasi pasar tani betul-betul terletak bersebelahan dengan kebun sayurnya.

Saya agak terkejut bila mengetahui berkenaan ini, maknanya sebelum dia mula berkebun lagi, Uncle Loke sudah membuat perancangan awal lokasi tapak kebun untuk memudahkan urusan jual beli. Lebih lagi dengan usia yang boleh dikatakan agak lanjut, cara pemikiran Uncle Loke boleh dikira hebat bagi orang yang berumur sepertinya.

Berbakti pada tanah

Kisah kehidupan Uncle Loke boleh dikatakan sebagai bukti hidup, bagaimana manusia masih boleh berbakti pada tanah meskipun hanya menunggu masa untuk dipanggil menghadap sang pencipta. Tidak kiralah setinggi manapun angka umur kita, ia bukan penghalang untuk kita melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan kepada orang di sekeliling kita.

 


Rujukan: Jantan Mulut Becok
Featured Image: Nature photo created by jcomp – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen