Bank Islam Tambah Peruntukan Pembiayaan Vendor Pada 2020

Bank Islam Tambah Peruntukan Pembiayaan Vendor Pada 2020

KUALA LUMPUR — Bank Islam Malaysia Bhd akan meningkatkan fasiliti untuk program pembiayaan vendor kepada RM1.2 bilion sehingga RM1.3 bilion pada tahun depan termasuk memperluaskan program itu merangkumi sektor kesihatan dan komunikasi, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mohd Muazzam Mohamed.

Sekarang ini, kemudahan pembiayaan itu memberi keutamaan kepada sektor minyak dan gas termasuk tenaga, khususnya vendor di bawah Petroliam Nasional Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Sarawak Energy Bhd.

“Sehingga November 2019, Bank Islam telah meluluskan kira-kira RM1 bilion bagi kedua-dua sektor berkenaan,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian kemudahan berjumlah RM98.35 juta di antara bank dengan Setegap Ventures Petroleum Sdn Bhd (SVP), yang merupakan vendor Petronas berdaftar yang memiliki kepakaran dalam aktiviti intervensi telaga huluan.

Ini merupakan kesinambungan daripada program pembiayaan vendor Bank Islam untuk menggalakkan serta meningkatkan lagi pertumbuhan industri minyak dan gas negara.

Menurut Mohd Muazzam lagi, kemudahan tersebut bertujuan bagi membiayai perbelanjaan modal serta keperluan modal kerja SVP dalam menyempurnakan kontraknya dengan Petronas.

Daripada pembiayaan RM1 bilion yang diperuntukkan untuk tahun ini, pihak bank telah meluluskan sejumlah RM332 juta kepada 82 vendor di bawah Program Pembangunan Vendor Petronas (VDP), satu inisiatif khas untuk vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah mendapat kontrak dengan syarikat minyak dan gas negara.

“Objektif utama program ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan vendor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas dalam memenuhi tanggungjawab mereka dengan Petronas.”

Mohd Muazzam menambah pihak bank adalah komited untuk menyokong PKS di negara ini termasuk akan terus memperluaskan portfolio PKS dan pada masa yang sama, mencari lebih banyak kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat besar lain melalui VDP mereka.

Sementara itu, CEO SVP Mohd Shahrin Saad berkata, syarikat merancang untuk mengembangkan perniagaannya ke Thailand dan Indonesia.

Diperbadankan pada 2003 sebagai sebuah entiti Bumiputera milik penuh, SVP telah berkembang untuk menjadi pusat sehenti bagi sektor minyak dan gas.

— BERNAMA

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen