Malaysia Antara 5 Negara Pengeluar Sarang Burung Walit

Malaysia Antara 5 Negara Pengeluar Sarang Burung Walit

KUALA LUMPUR — Malaysia merupakan antara lima negara di dunia yang mempunyai industri sarang burung walit, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata selain Malaysia, empat lagi negara yang menjalankan industri itu ialah Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

“Ini adalah industri yang sangat-sangat berharga. Ia seperti khazanah negara. Dalam konteks ini, kejadian jerebu yang menyebabkan pencemaran udara memberi kesan negatif kepada industri,” katanya dalam sesi soal jawab lisan hari ini.

Sim menjawab soalan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) yang ingin tahu jika kejadian jerebu menjejaskan pengeluaran sarang burung layang-layang di negara ini.

Dalam pada itu, Sim berkata keadaan itu juga akan menjejaskan sumber makanan spesis itu sekali gus menyebabkan burung walit kurang menghasilkan air liur.

“Sekiranya berlaku kejadian jerebu yang serius dan berpanjangan, ia akan memberikan kesan yang panjang pada industri kerana secara semulajadinya burung walit akan berhijrah ke kawasan yang kurang tercemar”, katanya.

Sim berkata tahun lepas, nilai eksport sarang burung walit adalah sebanyak RM1.3 bilion manakala tahun ini sehingga Oktober lepas, jumlah eksport tersebut telah mencecah RM921 juta.

— BERNAMA

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen