Al-Ikhsan Sasar Pertumbuhan Jualan 18 Peratus

Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd

KUALA LUMPUR — Operator kedai rangkaian peralatan dan pakaian sukan, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan), menyasarkan pertumbuhan jualan tahunan 15 peratus hingga 18 peratus menerusi pelan pengembangan strategik tiga tahun yang bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Vach Pillutla berkata jualan meningkat sebanyak 17.9 peratus kepada RM330 juta tahun lepas daripada RM280 juta yang dicapai pada 2018.

Walaupun pertumbuhan pasaran runcit global yang tidak stabil, beliau menyatakan keyakinannya bahawa Al-Ikhsan akan terus mencatat pertumbuhan dua digit, disokong oleh harga yang berpatutan, pembukaan lebih banyak kedai, dan pengenalan konsep baharu bersegmen serta laman web baharu .

“Komitmen kami adalah untuk memastikan rakyat Malaysia aktif dan sihat dengan menjadikan sukan mampu disertai semua.

“Kami merancang membuka 14 kedai setiap tahun di Semenanjung Malaysia dengan konsep seperti Football Republic dan Sneakers Street, bergantung kepada pasaran dan permintaan pengguna,” katanya semasa temu bual dengan media terpilih di sini baru-baru ini.

Pillutla berkata Al-Ikhsan akan melancarkan platform e-dagang baharu pada akhir Februari untuk menawarkan pengalaman membeli-belah dalam talian yang lebih mudah kepada pelanggan di Malaysia dan dari luar negara.

Beliau berkata platform baharu itu bagaimanapun tidak memberi sumbangan besar kepada pendapatan syarikat itu, dengan lima peratus daripada jumlah jualan dalam tempoh tiga tahun.

Ditubuhkan pada 1993 oleh pengasas Ali Hassan Mohd Hassan, Al-Ikhsan kini merupakan peruncit sukan ke-64 terbesar di dunia dengan 130 kedai di Semenanjung Malaysia.

Syarikat itu juga sebahagiannya dimiliki oleh Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) selepas firma ekuiti swasta berkaitan kerajaan memperoleh 35 peratus kepentingan dalam Al-Ikhsan pada Julai 2016 untuk RM68.6 juta.

Ali Hassan berkata perkongsian strategik yang dibentuk dengan Ekuinas membolehkan Al-Ikhsan menjadi lebih berdaya saing di pasaran runcit, dengan sistem perisian inventori yang lebih baik dan sokongan pengurusan operasi.

“Ekuinas telah membantu kami (Al-Ikhsan) untuk mencari ahli pasukan baharu dan pada masa yang sama menggabungkan kedai-kedai kami dan meningkatkan proses sokongan akhir.

“Ekuinas melaksanakan tugas dengan profesional dalam mewujudkan asas yang kukuh sejak perkongsian kami bermula pada 2017,” katanya, sambil menambah bahawa syarikat itu tidak mempunyai rancangan untuk menjalin perkongsian baru.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata penyediaan asas yang kukuh merupakan pelan perniagaan utama untuk terus mengembangkan Al-Ikhsan, yang menyumbang kepada penguasaan 30 peratus bahagian pasaran dalam segmen runcit pelbagai.

Sejak perkongsian kami dengan Al-Ikhsan, syarikat itu berjaya memperoleh pulangan modal memandangkan ia mempunyai kecairan yang kukuh dan aliran tunai yang mencukupi dan pengurusan inventori yang baik.

“Oleh itu, kami tidak memerlukan suntikan modal luaran untuk terus berkembang,” katanya, sambil menambah bahawa Ekuinas akan mengenal pasti semua pilihan yang ada untuk mengembangkan Al-Ikhsan, termasuk proses penyenaraian.

Al-Ikhsan kini mempunyai kira-kira 30 jenama aktif di bawah payungnya seperti Adidas, Nike dan Puma.

 

— BERNAMA

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen