Ramai yang teruja untuk memulakan perniagaan mereka sendiri. Tetapi, ramai yang kecundang di tengah jalan kerana gagal membuat perancangan rapi. Masalah ini boleh diatasi sekiranya mereka membuat rangka model perniagaan untuk memastikan bisnes boleh dijalankan dan berkembang maju.
Kenapa perlu BMC?
Business Model Canvas atau Kanvas Model Perniagaan adalah susun atur strategi, satu muka surat yang merangka idea atau konsep sesebuah perniagaan. Dalam bahasa mudah, dengan menggunakan BMC ini, tidak mustahil hendak menjayakan sesuatu idea bisnes. Apabila digunakan, setiap proses perniagaan itu lebih mudah hendak difahami. Kita boleh lihat kaitan antara setiap proses dan jika berlaku sesuatu perubahan, ia mudah hendak diuruskan.
9 Kunci Utama BMC
Dalam gambar rajah dibawah, kita akan dapat lihat, BMC terdiri daripada 9 pecahan blok yang mewakili proses perniagaan. Setiap blok mempunyai fungsi yang salin mempengaruhi antara satu sama lain.
Berikut, penerangan bagi setiap satu fungsi blok tersebut.
#1 – Segmen pelanggan / Customer segments
Siapa pelanggan anda?. — Blok ini memfokuskan kepada sasaran pelanggan tertentu. Ia boleh jadi pemborong, pengguna ataupun syarikat-syarikat yang bakal menjadi pelanggan. Jika mereka membeli atau menggunakan produk anda, mereka adalah sasaran pelanggan.
#2 – Tawaran nilai / Value proposition
Kelebihan yang pelanggan akan dapat dari anda?. — Blok ini, anda perlu menjelaskan kelebihan yang boleh pelanggan dapat apabila melanggan dari anda. Jika produk atau servis yang anda tawarkan sudah ada di pasaran, apa kelainan yang membuatkan pelanggan perlu memberi keutamaan kepada anda.
#3 – Rangkaian / Channels
Bagaimana mendapatkan pelanggan?. — Blok ini mensasarkan cara anda mendapatkan pelanggan. Pelbagai cara boleh dilakukan, pemasaran mulut ke mulut seperti bualan suri rumah, pemasaran internet, atau menempah iklan di papan iklan besar di tepi lebuhraya. Anda boleh lakukan cara yang anda rasakan sesuai, selagi maklumat mampu sampai kepada bakal pelanggan.
#4 – Hubungan pelanggan / Customer relationships
Cara anda mengekalkan hubungan dengan pelanggan. — Terdapat 3 cara yang perlu dikenalpasti dan lakukan untuk memastikan hubungan bisnes anda dengan pelanggan berpanjangan.
1 – Sumber — Bagaimana pelanggan tahu pasal anda?. Adakah pelanggan tahu dari usaha anda mempromosikan produk? atau ia dari review pelanggan setia?.
2 – Setia — Bagaimana anda kekalkan pelanggan sedia ada?. Kebanyakan syarikat akan menawarkan loyalty scheme untuk “ikat” pelanggan mereka, ada juga yang menawarkan promosi kecil-kecilan secara berterusan.
3 – Tambah Jualan — Bagaimana anda memastikan pelanggan guna lebih banyak produk anda?. Apabila anda sudah mempunyai pelanggan tetap, perlu pastikan mereka membeli product anda yang lain. Anda boleh cuba menjual dengan harga promosi, atau tawarkan harga dengan pakej kombo mengikut kesesuaian.
Anda tidak perlu mengikut ketiga-tiga cara diatas, mungkin boleh fokus salah satu cara sahaja. Ini bergantung kepada keperluan dan pelanggan sasaran.
#5 – Aliran pendapatan / Revenue Streams
Sumber keuntungan syarikat. — Ini sangat penting, bisnes tanpa untung adalah amal jariah. Pastikan anda tahu dari mana sumber keuntungan diperlolehi dan perhatikan sama ada ia berbaloi atau tidak dengan kos yang dikeluarkan.
#6 – Sumber Utama / Key Resources
Sumber yang diperlukan untuk perniagaan — Ini adalah apa yang diperlukan secara praktikal untuk menjalankan aktiviti perniagaan anda seperti pejabat, kereta, pekerja, internet dan lain-lain lagi.
#7 – Aktiviti Utama / Key Activities
Aktiviti apa yang bantu menaikkan kelebihan produk anda? — Blok ini cukup penting kerana ia menentukan kualiti produk anda. Jika aktiviti yang dilakukan tidak kena dengan value proposition, pelanggan tidak akan mendapat manfaat yang dijanjikan dan ini akan menyebabkan keuntungan turun mendadak, boleh rugi besar jika tidak diatasi dengan segera.
#8 – Rakan kerjasama / Key Partners
Siapa rakan kerjasama anda? — Rakan kerjasama adalah syarikat, pembekal atau pihak luar lain yang mungkin anda perlukan untuk mencapai aktiviti utama anda dan memberikan nilai kepada pelanggan.
#9 – Kos struktur / Cost Structure
Berapa kos operasi perniagaan? Adakah sesuai dengan perbelanjaan? — Blok ini ingin memastikan kos perbelanjaan anda tidak terlalu keterlaluan atau sedikit, cukup untuk pastikan keuntungan melebihi perbelanjaan kos.
Jika dilihat dengan teliti, setiap satu blok ini memainkan peranan besar untuk memastikan bisnes berjaya. Tetapi, tidak semua perniagaan akan menggunakan kesemua blok kerana sasaran dan kedudukan syarikat juga memainkan peranan penting.
3 Bahagian Utama BMC
Jika anda perhatikan, sesetengah blok sangat berkait rapat antara sama lain, terutamanya dari segi kos. Ini bukan satu kebetulan kerana blok-blok ini telah dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk membantu anda membuat penilaian. Jika anda lihat pada rajah di bawah, blok-blok ini terbahagi akan kepada 3 bahagian utama.
Bahagian Create Value atau Bina Nilai memfokuskan pada setiap aspek yang melibatkan pelanggan anda. Ini termasuklah dari segi jumlah pelanggan, kualiti produk dan juga hubungan dengan pelanggan.
Bahagian Deliver Value atau Hantar Nilai pula lebih fokus kepada setiap aspek yang membantu pelanggan untuk menggunakan produk anda. Bahagian ini merangkumi sumber, aktiviti dan juga rakan kongsi yang terlibat. Kebiasaannya, bahagian ini hanya berlaku di dalam syarikat sahaja, tidak perlu didedahkan kepada orang luar.
Bahagian terakhir adalah Capture Value atau Tangkap Nilai yang penting untuk satu perkara sahaja, memastikan bisnes untung. Andai kata nilai kos lebih tinggi berbanding nilai untung, terutama untuk jangka masa panjang, kebarangkalian besar untuk bisnes itu gagal sangat tinggi.
Seeloknya, rangka bisnes anda sebaik mungkin supaya kos yang dikeluarkan berbaloi dengan nilai keuntungan yang bakal diperolehi. Pastikan Create value dan Deliver value berada dalam keadaan yang seimbang untuk elakkan Capture value menyereng ke arah kerugian, jika berjaya, kiraan untung hanya sekadar menunggu masa.
Contoh BMC
Konsep idea takkan lengkap jika tidak disertakan dengan contoh untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Saya senaraikan satu contoh bisnes kecil dan satu contoh bisnes besar untuk rujukan anda.
Ini adalah contoh BMC bagi seorang pekebun kecil, rajah mudah dibaca dan tidak mengelirukan. Ia juga tak perlukan ruang yang banyak untuk membuat penerangan.
Ini pula adalah contoh BMC bagi satu syarikat gergasi, KFC. Anda boleh lihat bagaimana syarikat besar ini merangka keuntungan bisnes mereka sambil mengekalkan mutu kualiti. Kesemua ini boleh dilihat pada rajah BMC sahaja, tidak perlu penjelasan lanjut.
Konklusi
BMC sangat membantu mereka yang ingin memulakan perniagaan, terutama dari segi perancangan strategi. Apa-apa masalah atau kekurangan boleh dikenalpasti melalui BMC hanya dengan sekali pandang. Sebagai usahawan, saya amat galakkan anda untuk menggunakan BMC bagi memastikan bisnes anda boleh bermula dengan jaya.
Featured Image: Background photo created by whatwolf – www.freepik.com