6 Peraturan Rahsia Untuk Bisnes Berjaya

6 Peraturan Rahsia Untuk Bisnes Berjaya

Dalam dunia perniagaan, terdapat banyak teknik dan konsep yang boleh digunapakai untuk mencapai kejayaan. Akan tetapi, ada beberapa peraturan rahsia dan luar biasa yang boleh dijadikan panduan bagi melaksanakannya dan ia terbukti berkesan.

Berikut 6 peraturan tersebut.

#1 – Sentiasa tambah nilai pelanggan

Tidak kira dari segi perniagaan mahupun perundangan, peraturan ini tidak ubah seperti hukum graviti dan fizik. Tanam sikap minat terhadap kejayaan pelanggan terlebih dahulu, sama seperti yang anda lakukan terhadap perniagaan sendiri. Tidak perlu hendak buka cerita kejayaan ataupun tunjuk pencapaian yang sudah anda perolehi.

Cukup sekadar mengamalkan rutin self-reminder seperti ini, “Apa yang saya boleh bantu pelanggan saya hari ini?” setiap kali bertemu dan berpisah dengan pelanggan. Itu sahaja, tidak perlu untuk nampak terlalu “cuba menjual”.

#2 – Fikir sebelum bercakap

Sebelum membuka mulut, fikir dahulu, lagi dan lagi. Sesetengah usahawan, pemimpin dan orang politik sendiri tidak dapat lari dari penyakit bercakap kosong atau lebih dikenali sebagai “sembang kencang”, apabila berkata, gajah pun boleh terbang. Sikap ini agak bahaya, kerana ada sesetangah pelanggan memegang prinsip “jika bercakap pun tidak serius, orang ini susah hendak dipercayai”.

Ini berbeza dengan mereka yang kurang bercakap. Kebiasaannya, mereka yang paling kurang bercakap adalah mereka yang tergolong dalam orang yang membuat keputusan dan berpengaruh. Mereka ini lebih banyak memerhati persekitaran dari mengeluarkan kata-kata kosong, dalam bahasa inggeris dikenali sebagai observer person.

Oleh itu, adalah satu amalan yang baik, jika kita menarik nafas dan berfikir sejenak sebelum mengeluarkan kata-kata atau membuat keputusan. Pelanggan lebih mudah terpengaruh dan percaya dengan anda.

#3 – Berfikir secara kreatif dan realistik

Dalam dunia perniagaan dan kehidupan seharian. Kita perlu berhati-hati dengan mereka yang selalu berkata “Begini cara yang betul, kalau hendak berjaya”. Ya, betul. Ada pelbagai cara yang boleh dilakukan jika hendak berjaya, terutamanya dalam perniagaan. Tetapi, cara yang bagaimana boleh membantu kita?. Adakah cara yang dicadangkan mampu membuahkan kejayaan dengan risiko yang rendah. Atau, lakukan sahaja dan terus tanggung rugi berlipat kali ganda?.

Jika anda perlu membuat keputusan yang diragui keberkesanannya, lebih baik mengambil langkah yang selamat. Susun strategi dan lakukan apabila anda sudah pasti dan ianya tidak terlalu berisiko. Daripada mencari alasan untuk menyalahkan orang lain dikemudian hari.

#4 – Jangan bertangguh untuk dapatkan bantuan

Apabila anda sudah tahu dimana hendak dapatkan pertolongan. Jangan malu hendak terus berjumpa dan bertanya dengan mereka-mereka yang sepatutnya. Kerana itu adalah salah satu cara yang orang berjaya lakukan. Jika perlu dan mempunyai sumber untuk berjumpa dengan orang kenamaan, terus lakukan sahaja.

Anda mungkin terkejut dengan apa yang mereka boleh lakukan untuk anda, jika dikumpulkan sedikit keberanian dan keyakinan.

#5 – Bersikap ringkas

Bersikap ringkas adalah nadi kejayaan, tidak kira dalam dunia perniagaan ataupun buat diri sendiri. Ringkas bermaksud, anda tidak terlalu cerewet dan terlalu terikat dengan peraturan sendiri. Jika anda tidak bersikap ringkas, ramai bakal pelanggan akan tidak mahu berjumpa dengan anda, kerana, sudah pasti anda akan mengambil masa mereka dengan agak lama. Dan perlu mendengar satu persatu mukadimah sebelum perkara yang penting.

Setiap kali berjumpa dengan bakal pelanggan, pastikan apa yang ingin anda sampaikan disusun secara ringkas dan padat. Lokasi yang selesa dengan mereka dan begitu juga masa yang sesuai. Anda hanya mempunyai lebih kurang satu minit sahaja untuk menarik minat mereka untuk mendengar apa yang ingin anda sampaikan seterusnya. Jika tidak selesa, sedikit sebanyak akan mengganggu konsentrasi mereka.

#6 – Sentiasa bersyukur

Bersyukur adalan perbuatan yang mampu membuatkan anda sentiasa berada dalam landasan yang betul. Dalam mengharungi dunia perniagaan, banyak perkara yang akan anda tempohi. Ada yang baik, ada yang tidak baik.  Jika anda sentiasa bersyukur, anda akan melihat setiap kejayaan dan kegagalan itu ada pengajaran yang boleh dipelajari. Ia akan membuatkan anda lebih menghargai orang yang disekeliling atau mereka-mereka yang terlibat dengan perniagan anda, pekerja contohnya.

Dengan bersyukur, bukanlah bermakna anda hanya redha atau terima sahaja apa yang bakal berlaku. Ia bukanlah begitu konsepnya, ia untuk memastikan ego anda berada ditempat betul. Setiap keputusan dan apa yang anda lakukan, bukanlah hanya untuk diri anda sahaja. Dan setiap kejayaan bukan hanya dari anda seorang.

 


Featured Image: People photo created by jcomp – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen