5 Cara Berkebun Tanpa tanah

5 Cara Berkebun Tanpa tanah

Apabila bercakap tentang berkebun, kebanyakan masyarakat kita memberikan respon yang positif dan memberansangkan. Itu belum dikira lagi golongan pekebun “suka-suka” yang akhirnya mampu menjana pendapatan harian. Ditambah pula dengan bantuan kerajaan, bidang perkebunan nampak seperti menjanjikan masa depan yang cerah untuk rakyat Malaysia.

Tanah Bukan Masalah

Ramai yang menyatakan hasrat nak bercucuk tanam, tetapi mereka sering menjadikan ketiadaan tanah sebagai alasan. Sebenarnya, tidak menjadi masalah pun jika tiada, kerana ada pelbagai cara lain yang boleh digunakan untuk bercucuk tanam. Bahkan ia sebenarnya sudah menjadi satu kebiasaan di kalangan rakyat kita untuk berkebun tanpa tanah.

Berikut 5 cara berkebun tanpa tanah yang boleh dipraktikkan.

#1 – Tanaman Dalam Pasu

Konsep penanaman ini adalah konsep yang paling umum. Boleh dikatakan ia adalah konsep asas buat suri rumah. Siapa je tak tahu pokok boleh tanam dalam pasu? Bezanya di sini, pasu yang digunakan adalah jimat ruang dan mudah dikendalikan. Jika level mak-mak beli pasu kaca yang berat puluhan kilo dengan ukiran fauna nak cantikkan laman rumah, kita beli pasu plastik yang saiznya cukup-cukup nak tampung tanaman bila sudah matang.

Tanaman Dalam Pasu

Lagi menarik, tanaman dalam pasu ini boleh disusun secara bertingkat ataupun gantung, satu kelebihan yang tidak terdapat pada tanaman atas tanah.

#2 – Tanaman Hidroponik

Konsep ini merupakan konsep moden yang paling popular kerana ia mudah untuk dihasilkan dan diselenggara, gantikan tanah dengan air sahaja, mudah bukan? Ada pelbagai variasi konsep tanaman hidroponik, tetapi semuanya menggunakan konsep asas yang sama iaitu menggantikan tanah dengan air.

Tanaman Hidroponik

Di Malaysia, konsep ini sudah mula berkembang walaupun kos bahan yang boleh dikatakan sedikit mahal. Tetapi tidak perlu risau, ramai sahaja petani kita hasilkan bahan sendiri untuk kurangkan kos. Jujur cakap, tidak susah pun sebenarnya hendak bercucuk tanam, mahu atau tidak sahaja.

#3 – Tanaman Aeroponik

Konsep ini merupakan salah satu dari cabang Hidroponik. Tetapi dapat jimatkan penggunaan air. Bezanya dengan konsep hidroponik cuma dari segi kuantiti air yang digunakan. Jika hidroponik gantikan tanah dengan air, aeroponik ni pula cuma sembur air dekat akar tanaman dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

Bagi negara kita, konsep macam ini bukan pilihan utama kerana kita kan kaya dengan air, buat apa hendak berjimat cermat kan? Tetapi jika hendak elakkan bil air melambung naik, cara ini sangat digalakkan. Cuma mungkin perlu tambah sedikit dana untuk kos operasi sebab kebiasaannya ia dikawal oleh mesin.

#4 – Tanaman Akuaponik

Pertama kali saya kenal konsep ini melalui petani Indonesia, lebih dikenali sebagai usaha tani gabungan atau Mina Padi dalam kalangan petani Indonesia. Caranya cukup mudah, kita gunakan konsep hidroponik tapi dalam masa yang sama kita bela ikan dalam air hidroponik tu. Mudah kan?

Kenapa cara ini? Penjelasannya cukup ringkas sebenarnya. Dalam tanaman hidroponik, kita perlu letak baja sendiri untuk pastikan tanaman dapat nutrien yang sama macam tanah. Tapi bila kita bela ikan, najis kumbahan ikan-ikan yang dibela itu akan menjadi nutrien semula jadi. Kita cuma perlu beli makanan ikan sahaja.

Petani Malaysia dan Indonesia biasa gunakan konsep ini untuk tanaman sawah sahaja sebab senang hendak diselenggara. Ikan yang biasa digunakan pula ialah ikan keli, tetpi apa-apa jenis ikan air tawar pun boleh sebenarnya.

#5 – Film Farming

Konsep ini cukup berbeza dari hidroponik kerana ia menggunakan lapisan plastik polimer untuk menggantikan tanah. Plastik polimer ini bertindak sebagai penapis yang mempunyai rongga-rongga kecil, cukup kecil untuk menghalang bakteria dari menembusinya tetapi cukup besar untuk membenarkan partikel air dan nutrien tembus.

Akar-akar tanaman akan membesar di atas plastik polimer dan menyerap air nutrien dari situ. Konsep ini masih lagi baru (1995) tetapi beberapa cubaan telah membuktikan konsep ini mungkin merupakan konsep paling selamat untuk membesarkan tanaman. Di Malaysia, konsep ini masih lagi asing dalam dunia pertanian, jadi kebarangkalian hendak jumpa pakar dalam konsep ini agak rendah.

Konklusi

Baik cara lama mahupun cara baru, setiap konsep tanaman bebas tanah ini mempunyai kelebihan yang tersendiri. Apa yang penting, bagaimana kita nak gunakan konsep yang sesuai dengan lokasi tempat tinggal kita. Akhira kata, semoga berjaya!.

 


Featured Image: 
Business photo created by jcomp – www.freepik.com
Leaf photo created by freepik – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen