Revolusi Pen Kerana Tertumpah Dakwat

Revolusi Pen Kerana Tertumpah Dakwat

Pen mata bola atau ballpoint pen yang kita kenali hari ini adalah sangat murah dan mudah untuk digunakan. Jarang kita dengar istilah dakwat tumpah apabila menggunakan pen mata bola ini. Tetapi, tahukah anda? Kalau bukan kerana tumpahnya dakwat, pen yang kita kenal hari ini mungkin tidak akan wujud sama sekali.

Dakwat Yang Mencetus Revolusi Pen

Pada tahun 1884, seorang broker insurans bernama Lewis Waterman telah gagal mendapatkan kontrak penting apabila fountain pen prototaip yang digunakannya patah dan menumpahkan isi dakwat ke atas kertas kontrak tersebut. Fountain pen adalah pen muncung tirus yang lebih dikenali oleh masyarakat kita hari ini sebagai pen tandatangan atau signature pen. Walaupun gagal mendapatkan kontrak, Waterman menggunakan kegagalannya untuk mencipta fountain pen yang lebih sempurna.

Pada masa itu, pen bulu pelepah sering digunakan dalam kehidupan seharian. Tetapi ia mengambil masa yang lama untuk ditulis dan selalu kehabisan dakwat. Kejayaan Waterman menghasilkan fountain pen yang sempurna telah mengubah penggunaan pen secara mendadak di seluruh dunia. Ia mula menjadi pilihan utama dan terus menggantikan pen bulu pelepah kerana ia lebih senang digunakan dan lambat kehabisan dakwat.

Kemunculan Pen Mata Bola

Revolusi pen terus berkembang sekitar tahun 1930an. Ia bermula apabila seorang penulis jurnal bernama Laszlo Biro mencipta ballpoint pen yang kita kenali hari ini. Laszlo menyedari dakwat yang digunakan untuk mencetak surat khabar lebih cepat kering  berbanding dakwat yang biasa digunakan dengan fountain pen. Kebanyakan syarikat surat khabar menggunakan dakwat cepat kering kerana ia tidak meninggalkan kesan comot selepas dicetak.

Laszlo Biro
Laszlo Biro. (Sumber: Wikipedia)

Laszlo cuba menggunakan dakwat tersebut pada fountain pen tetapi ia tidak mengalir pada muncung pen kerana dakwat tersebut terlalu likat. Selepas 7 tahun menghabiskan masa untuk mengkaji dan mengubah suai, Laszlo berjaya menghasilkan ballpoint pen. Konsep ballpoint pen sedikit berbeza jika nak dibandingkan dengan fountain pen yang menggunakan konsep sama seperti pen bulu pelepah.

Mata bola yang terdapat di hujung muncung ballpoint pen akan menahan dakwat dari tertumpah keluar. Tetapi dalam masa yang sama, mata bola tersebut boleh berpusing dan mencalitkan dakwat ke atas permukaan yang digesel. Walaubagaimanapun, penggunaan ballpoint pen ciptaan Laszlo kurang mendapat sambutan kerana rekaan besi yang digunakan untuk membuat pen tersebut sering bocor dan mudah tersumbat di samping kos pembuatan yang tinggi.

Teknologi Yang Menyempurnakan Pen

Laszlo terpaksa menjual paten ballpoint pen setelah menghadapi kerugian besar. Dan paten tersebut telah dibeli oleh pengasas Bic, Baron Marcel Bich. Marcel merupakan pengeluar fountain pen pada ketika itu dan tertarik dengan konsep ballpoint pen yang lebih mesra pengguna kerana tidak meninggalkan kesan comot. Marcel agak bertuah kerana dia dapat memperbaiki kelemahan rekaan Laszlo dengan menggunakan teknologi keluli tahan karat dan mengurangkan harga kos pembuatan berkali ganda dengan teknologi plastik yang baru diperkenalkan beberapa tahun sebelum itu.

Hasil daripada penambahbaikan yang dilakukan oleh Marcel, maka ballpoint pen yang kita kenali pada hari ini mula dipasarkan pada orang awam. Kerana kualiti pen yang dihasilkan oleh Marcel sangat baik, dalam masa 3 tahun pertama, sebanyak 40 juta pen telah terjual di Eropah Barat sahaja. Permintaan mendadak telah memaksa Marcel untuk membuka lebih banyak cawangan di serata dunia sekaligus mengubah persepsi dunia terhadap pen dan semuanya bermula kerana dakwat tertumpah di atas kertas.

 


Featured Image: Business photo created by katemangostar – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen