Terdapat 3 jenis entiti perniagaan yang paling banyak didaftarkan di Malaysia iaitu perniagaan Enterprise, Syarikat PLT dan Syarikat Sdn Bhd. Lagi satu entiti perniagaan ialah syarikat Berhad. Syarikat Berhad kebiasaannya berfungsi sebagai syarikat yang akan diapungkan sahamnya di pasaran saham dan jika di Malaysia, ianya akan diapungkan di Bursa Malaysia. Namun begitu, ada juga syarikat berhad yang sahamnya tidak diapungkan di Bursa Malaysia. Maklumat berkenaan Syarikat Berhad akan dibincangkan pada entri lain dan dalam entri ini akan memfokuskan kepada 3 jenis entiti perniagaan yang paling banyak didaftarkan di Malaysia iaitu perniagaan Enterprise, Syarikat PLT dan Syarikat Sdn Bhd.
Perniagaan Enterprise
Perniagaan enterprise adalah entiti perniagaan yang paling senang untuk didaftarkan dan diuruskan. Dengan yuran serendah RM60 per tahun jika menggunakan nama umum, kos itu adalah rendah jika dibandingkan dengan perniagan yang akan dijalankan. Jika nama perniagaan adalah menggunakan nama sendiri, yurannya adalah lebih rendah untuk setiap tahun. Perniagaan enterprise mempunyai liabiliti atau tanggungan penuh keatas pemiliknya. Bermaksud, jika perniagaan membuat keuntungan, pemilik juga membuat keuntungan dan sebaliknya jika mengalami kerugian. Oleh sebab liabiliti penuh bagi enterprise adalah pada pemilik perniagaan, harus berhati-hati jika melibatkan hal-hal kewangan perniagaan. Kebiasaannya perniagaan Enterprise didaftarkan untuk perniagaan kecil kecilan dan tidak berhasrat untuk berkembang dengan besar dalam masa terdekat. Jika ingin berkembang, usahawan akan mendaftarkan Syarikat PLT ataupun Sdn Bhd pula.
Syarikat PLT
Syarikat PLT adalah berkedudukan di tengah-tengah antara perniagaan Enterprise dan Sdn Bhd. Syarikat PLT biasanya didirikan oleh syarikat permulaan atau startup dan ianya mempunyai beberapa kelebihan berbanding Enterprise. Yuran pendaftaran bagi PLT adalah sebanyak RM500 dan tiada komitmen untuk membayar auditor kerana akaun bagi syarikat PLT tidak wajib diaudit. Selain itu, syarikat PLT juga dibolehkan untuk pembahagian saham diantara pemilik syarikat. Bagi para pengasas (founder) syarikat yang ingin memulakan perniagaan baru, boleh mempertimbang untuk menubuhkan syarikat PLT terlebih dahulu. Untuk tujuan kewangan seperti mendapatkan pelaburan tambahan dan pinjaman bank, syarikat PLT tidak dapat berbuat sedemikian kerana akaunnya tidak diaudit. Jadi, untuk tujuan kewangan bagi mengembangkan lagi syarikat, usahawan boleh mempertimbangkan untuk menubuhkan syarikat Sdn Bhd.
Syarikat Sdn Bhd
Syarikat Sdn Bhd adalah jenis syarikat yang senang untuk mendapatkan pelaburan dan jika inginkan perkembangan syarikat, pendaftaran syarikat Sdn Bhd adalah sangat wajar. Berbanding Enterprise dan PLT, komitmen bagi syarikat Sdn Bhd adalah sedikit tinggi. Pendaftaran syarikat pada Company Secretary (Cosec) biasanya memakan kos sekitar RM2500 dan mesti diperuntukkan untuk bayaran auditor bila sampai masanya. Walaupun kos adalah sedikit tinggi, tetapi ianya berbaloi dengan nilai yang diperoleh jika mempunyai syarikat Sdn Bhd. Disamping memudahkan untuk mendapatkan pembiayaan, ianya juga telus kepada semua pihak jika ingin menyertai syarikat kita kelak.
Kesimpulan
Yang paling penting dalam pendaftaran perniagaan adalah, ketahui objektif terlebih dahulu. Kemudian, kenal pasti jenis perniagaan yang manakah sesuai untuk didaftarkan. Semoga bermanfaat.
Featured Image: Business photo created by freepik – www.freepik.com