Pernyataan Misi atau dalam bahasa Inggerisnya Mission Statement adalah alat penting untuk pelan perniagaan anda. Ia ditulis dalam beberapa ayat ringkas, menyatakan intipati matlamat dan falsafah dasar perniagaan anda. Tidak kurang pentingnya, Pernyataan Misi menerangkan jenis perniagaan anda kepada pelanggan, pekerja, pembekal dan komuniti.
Pernyataan misi mencerminkan setiap aspek perniagaan anda: pelbagai jenis produk yang anda tawarkan, harga, kualiti, perkhidmatan, kedudukan pasaran, potensi pertumbuhan, penggunaan teknologi, dan hubungan anda dengan pelanggan, pekerja, pembekal, pesaing dan komuniti.
Berikut adalah beberapa tip untuk membuat Pernyataan misi yang berkesan.
Pandangan orang lain
Walaupun perniagaan anda berstatus syarikat enterprise dan milikan tunggal. Adalah wajar anda mendapatkan idea daripada sekurang-kurangnya satu orang lain untuk pernyataan misi anda. Orang lain dapat membantu anda melihat kekuatan dan kelemahan yang anda ada dan mungkin terlepas pandang.
Jika anda tidak mempunyai rakan kongsi atau pelabur untuk berbincang, dapatkan pandangan dari ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat yang berilmu, pekerja atau akauntan. Walau bagaimanapun, pilih hanya yang positif sahaja, dan terima pandangan dari orang-orang yang menyokong dan benar-benar ingin melihat anda berjaya.
Ambil masa untuk merangka
Luangkan beberapa jam atau satu hari untuk memikirkan dan merangka kenyataan misi syarikat anda. Pernyataan misi selalunya pendek. Kebiasaannya lebih daripada satu ayat, tetapi jarang sekali melebihi satu muka surat.
Menulis pernyataan misi bukanlah satu proses yang singkat. Ia akan mengambil masa, untuk menggubah sebuah pernyataan misi dalam bahasa yang mudah, pada masa yang sama menerangkan jiwa dan hati sebuah organisasi, dan akan berfungsi sebagai lampu yang menjadi sumber inspirasi kepada semua yang terlibat dalam perniagaan.
Tetapkan tarikh
Luangkan masa untuk bertemu dengan orang yang akan membantu anda. Tulis senarai topik untuk dibincang atau difikirkan. Cari tempat yang tenang dan selesa, jauh dari telefon dan gangguan.
Bersedia
Jika anda melbatkan ramai orang, sediakan makanan dan minuman, senarai topik tambahan, kertas dan pensel. Tidak semua orang memahami kenyataan misi syarikat anda, jelaskan maksud dan tujuan anda sebelum memulakan perbincangan.
Berbincang
Pertimbangkan setiap idea, walaupun bunyinya tidak masuk akal. Merangsang idea dengan melihat Pernyataan misi organisasi lain, memikirkan atau membincangkan soalan-soalan yang telah dibangkitkan sebelum ini.
Jika anda bekerja secara berkumpulan, gunakan carta flip untuk merekodkan jawapan, supaya semua orang boleh melihatnya. Sebaik sahaja anda selesai berbincang, minta semua orang untuk menulis penyata misi tersendiri untuk perniagaan anda.
Baca pernyataan itu, pilih idea yang terbaik dan sesuai, gabungkan kesemuanya untuk menjadikan satu pernyataan.
Gunakan perkataan yang bersemangat
Sebaik sahaja anda mempunyai idea asas secara bertulis, anda perlu menggilap penggunaan bahasa pernyataan misi tersebut. “Setiap perkataan penting,” kata Abraham Lincoln.
Pernyataan misi perlu mewujudkan imej visual yang dinamik, dan memberi inspirasi untuk bertindak. Gunakan perkataan menyerlah, kata kerja dan kata sifat berwarna-warni untuk menerangkan pernyataan anda. Jangan teragak-agak untuk menggunakan perkataan seperti ‘bagus’, ‘sangat hebat’ dan ‘kagum’ untuk menambah semangat.
Jika anda ingin pelanggan memuji barangan dan perkhidmatan anda, galakkan mereka memberi pujian dan minta mereka memberi sebab mengapa. Sesetengah perniagaan memberi glosari yang mentakrifkan istilah yang digunakan di dalam pernyataan misi.
Setelah pernyataan misi anda selesai, sebarkannya kepada semua yang terlibat. Anda perlu menyebarkan pernyataan misi anda kepada orang lain di dalam dan di luar perniagaan untuk memberitahu semua orang arah tuju perniagaan anda.
Paparkan ia di pejabat, di mana anda, pekerja dan pelawat boleh melihat setiap hari. Cetakkan ke atas bahan-bahan syarikat, seperti brosur, pelan perniagaan dan di bahagian belakang kad perniagaan anda.
Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis di laman web SMECorp.
Featured Image: pixabay.com