9 Tips Usahawan Tani Memulakan Bisnes

9 Tips Usahawan Tani Memulakan Bisnes

Permintaan untuk perkhidmatan konsultasi dan latihan kemahiran memulakan perniagaan asas tani semakin hari semakin meningkat atas kesedaran pertanian adalah perniagaan.

Berikut adalah 9 tips untuk usahawan tani dalam bisnes pertanian.

#1 – Tanam yang Ada Permintaan Tinggi

Pilih jenis tanaman yang mempunyai permintaan tinggi dan sentiasa tidak mencukupi di pasaran. Jenis tanaman yang masih mendapat perhatian adalah jenis sayur-sayuran dan buah-buahan.

Ini kerana, kita masih banyak mengimport sebahagian sayur-sayuran dan buah-buahan bagi memenuhi permintaan di pasaran tempatan. Ini turut menyumbang kepada peningkatan harga di pasaran.

Anda digalakkan membuat kaji selidik dengan menyemak harga komiditi di laman web Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. Ya, anda perlu bersabar dengan laman web yang kadang-kadang tidak boleh dibuka ini.

#2 – Tanam Dalam Tempoh Singkat

Pilih jenis tanaman yang mempunyai tempoh penanaman yang singkat. Lagi cepat tempoh penanaman sehingga tuaian, lagi cepat duit pelaburan dapat berpusing. Sayur-sayuran mempunyai tempoh penanaman yang singkat dan dipanggil fast cash crops.

Tempoh penanaman sehingga tuaian untuk sayuran berdaun seperti bayam, kangkung dan sawi adalah purata 30 hari. Manakala bagi sayuran berbuah seperti cili jika ditanam secara fertigasi adalah dalam tempoh 6 bulan.

#3 – Saluran Pemasaran, Hendak Jual Dimana?

Sebelum memulakan projek penanaman, anda perlu menentukan saluran pemasaran bagi hasil tanaman nanti.

Mahu dijual dimana? mahu dijual di pasar borong, pasar tani, pasar malam, pasar basah, kedai runcit atau hypermarket?. Setiap jenis saluran pemasaran ini akan membeli hasil kita dengan harga dan terma yang berbeza.

Perlu bertanya mereka dahulu atau kaji pasaran mereka untuk mengetahui sayuran jenis apa yang mereka mahukan. Setiap jenis sayur mempunyai varieti benih yang berbeza. Lain tempat, lain jenis sayuran yang diperlukan. Seperti cili, ada jenis cili sesuai untuk pasaran segar, ada cili yang sesuai untuk pasaran makanan proses.

#4 – Pilih Lokasi Saluran yang Dekat

Kawal kos logistik dengan memilih lokasi saluran yang berdekatan. Ini untuk mereka yang ingin memasarkan sendiri hasil tanaman mereka dari berurusan dengan orang tengah, seperti FAMA atau pemborong.

Banyak kos boleh meningkat apabila tidak dikawal dan dirancang dengan betul. Kos logistik dapat dijimatkan apabila anda dapat mengenalpasti saluran yang berhampiran, atau projek tanaman diusahakan berhampiran dengan lokasi saluran.

Selain itu, anda boleh mengurangkan kos logistik apabila bermain dengan volume. Tetapkan volume minimum hasil tanaman yang perlu dibawa oleh sebuah lori 1 tan, 3 tan atau 5 tan untuk menampung kos logistik.

#5 – Mahu Jual Mahal atau Bekalan Berterusan

Tetapkan fokus mahu sasarkan harga tinggi atau bekalan berterusan. Anda boleh sasarkan untuk menjual hasil tuaian ketika musim yang harganya tinggi. Kebiasaannya, harga sayur-sayuran adalah tinggi di musim-musim perayaan. Waktu memulakan tanama dikira dari tarikh musim harga tinggi ke belakang.

Anda juga boleh fokus pada strategi untuk bekalan berterusan tanpa mengira turun naik harga pasaran. Strategi ini lebih mudah untuk mendapat kepercayaan dari pelanggan dengan bekalan yang sentiasa ada.

#6 – Mula Kecil-Kecilan, Jangan Gelojoh

Sebagai orang baru, bermulalah kecil dahulu. Seandainya anda langsung tidak mempunyai pengalaman dan ingin mengusahakan sendiri tanaman, mulakanlah pada skala kecil dahulu. Fahami karakter tanaman, keperluan baja, kawalan penyakit dan lain-lain.

Bermula pada skala besar mendedahkan anda kepada risiko besar yang tidak diketahui. Apabila gagal, anda akan rugi besar dan mengambil masa untuk bermula kembali.

Bermula kecil meletakkan anda berada dalam risiko yang boleh dikawal. Rugipun masih boleh bangkit kembali dan mula semula. Apabila sudah yakin dengan pelaburan skala kecil yang sudah memberikan pulangan, bolehlah dikembangkan ke skala lebih besar.

#7 – Tiada Modal? Jangan Meminjam

Mulakan tanpa pinjaman, dan mulakan dengan apa yang ada. Walaupun dengan tanah sekangkang kera yang ada di belakang rumah, usahakan yang itu dahulu. Dengan itu, anda sudah menjimatkan kos sewa/pajak tanah.

Jangan mulakan bisnes pertanian dengan pinjaman. Bank-bank juga tidak memberi pinjaman kepada mereka yang baru-nak-up tanpa cagaran tanah. Katakan anda membuat pinjaman dengan mencagarkan tanah, kemudia projek pertanian kita gagal, anda tidak mampu membayar pinjaman, tanah yang telah dicagarkan akan diambil oleh bank. Lebih sedih jika tanah itu tanah pusaka.

#8 – Berkerjasama dengan Rakan Strategik

Sebenarnya, ada kaedah yang lebih cepat untuk kita masuk pada pelaburan skala besar, iaitu dengan bekerjasama dengan rakan strategik. Syarikat-syarikat besar kebiasaanya mempunyai aset tanah yang luas dan mendapat fasiliti daripada bank.

Apabila mereka mahu menceburi bidang pelaburan baru, mereka akan mengenalpasti siapa yang berpengalaman dalam industri tanaman tersebut dan akan menawarkan peluang kerjasama.

Sebagai usahawan tani yang berpengalaman, anda boleh tawarkan diri sebagai orang yang berpengalaman dan menjalin kerjasama dengan mereka. Ini akan mengelakkan kita membuat pinjaman bank.

#9 – Bersistem, Jangan Urus Seorang Diri

Menjalankan bsines seorang diri akan  menyebabkan syarikat sukar berkembang. Ia menjadikan anda penat dan lelah setelah beberapa lama.

Rancang perniagaan pertanian yang kecil itu secara bersistem yang akan membesar di kemudian hari. Walaupun masih kecil, urus perniagaan anda seperti syarikat korporat besar. Wujudkan sistem dan SOP untuk setiap urusan penanaman sehingga kepada pemasaran. Jangan kedekut hendak adakan laman web syarikat.

Ini juga memudahkan kita untuk mendapatkan sijil MyGAP, iaitu pengiktirafan kepada amalan pertanian yang baik (Good Agriculture Practice).

Apabila anda mempunyai pasukan yang memastikan syarikat berjalan dengan baik, anda dapat menggunakan masa untuk memikirkan perkara-perkara yang lebih strategik.

Melabur dalam bisnes pertanian tanpa perancangan betul boleh menjadikan perlaburan anda lebur. Dapatkan sebanyak maklumat yang boleh sebelum membuat keputusan pelaburan dalam bisnes pertanian.

 


Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis oleh Puan Sharifah Nur Rahimah

Featured Image: pixabay.com


 

Kongsikan Artikel Ini

3 Komen mengenai “9 Tips Usahawan Tani Memulakan Bisnes”

  1. Jutaan terima kasih akan panduan yang diberikan. Walaupun ringkas, tetapi sangat padat dan bermakna kepada saya yang sentiasa dahagakan panduan serta motivasi setiap masa.

Tinggalkan Komen