8 Tips Urus Duit Bisnes Kecil

8 Tips Urus Duit Bisnes Kecil

Sebagai usahawan perniagaan kecil. Kita selalu menggunakan pendekatan pengurusan duit-dalam-kepala. Tidak di catit atau direkod dengan betul dan konsisten. Jika dicatit sekalipun, dalam buku-belacan yang apabila hendak dilihat tercari-cari entah dimana.

Kebanyakkan usahawan kecil menganggap pengurusan kewangan perniagaan tidaklah penting, kerana selagi ada duit hendak pusing modal, ada untung sedikit sudah cukup bagi mereka.

Pendekatan ini adalah salah, dan ia perlu diperbetulkan. Dalam perniagaan, pengurusan wang keluar-masuk adalah satu disiplin yang perlu diikuti untuk memastikan kita berdaya maju. Tidak mengapa tidak tahu akaunting, ia tidak menjadi kesalahan. Yang perlu anda tahu bagaimana cara hendak urus dan kawal duit dengan betul.

Berikut adalah 8 tips yang boleh anda lakukan:

#1 – Buka Akaun Bank Syarikat

Walaupun anda berniaga secara kecil-kecilan, wajib mengasingkan duit peribadi daripada duit perniagaan dengan cara membuka akaun bank syarikat. Setiap duit hasil perniagaan mestilah dimasukkan kedalam akaun tersebut, begitu juga dengan pembelian. Jika tiada syarikat, artikel ini bukan untuk anda, boleh berhenti membaca setakat sini.

#2 – Rekod dan Simpan Setiap Transaksi

Semua rekod transaksi hendaklah dicatit walaupun hanya dengan menggunakan Excel. Menggunakan sistem online lebih baik jika memudahkan.  Penyata bulanan bank adalah dokumen terpenting dalam perniagaan. Dengan penyata ini,  boleh dilihat kemampuan kewangan perniagaan anda.

Bagi mereka yang hendak memohon kemudahan kewangan. Sama ada daripada bank atau mana-mana agensi. Penyata ini adalah dokumen pertama yang akan disemak untuk menentukan samada syarikat anda layak atau tidak. Dengan menggunakan perbankan internet, ia dengan mudah boleh dimuat-turun dan disimpan dalam komputer atau telefon bimbit.

#3 – Rekodkan Kos Belian

Kos belian adalah duit yang dikeluarkan untuk membeli barang-barang yang akan dijual. Rekodkan kesemua kos tersebut dengan lengkap. Contoh seperti tarikh, nama barang, kuantiti, harga, nama pembekal dan sebagainya. Pastikan anda menyimpan resit bagi kesemua transaksi yang dibuat. Jika pembekal tidak mengeluarkan resit, tulis sendiri resit itu.

#4 – Rekodkan Duit Jualan

Duit jualan adalah duit yang anda terima daripada pelanggan. Rekodkan setiap transaksi jualan, sama seperti belian. Bagi setiap jualan, perlu direkodkan dengan maklumat seperti:

  • Tarikh
  • Nama Barang,
  • Kuantiti
  • Harga
  • Diskaun yang diberikan jika ada
  • Nama Pembeli.

Pastikan setiap transaksi yang diterima direkod dengan menyimpan resit atau slip pembayaran. Pastikan duit yang diterima daripada jualan dimasukkan ke dalam bank sekerap yang boleh. Sebaik-baiknya minta pembeli bank-in terus bayaran ke dalam akaun syarikat.

#5 – Rekodkan Kos Perbelanjaan

Kos perbelanjaan atau expenses ialah duit yang dibelanjakan untuk tujuan lain selain daripada Kos Belian . Seperti

  • Pengangkutan
  • Penghantaran
  • Printing
  • Bil-bil utiliti seperti  elektrik, air dan telefon
  • Sewa pejabat atau kedai
  • Gaji pekerja
  • Kos marketing
  • Packaging dan sebagainya.

Penggunaan buku cek pada masa kini agak ketinggalan dan tidak digalakkan, ia juga meningkatkan kos kerana bank-bank sudah mula mengenakan bayaran tambahan bagi penggunaannya. Gunakan online-banking untuk membayar bil, gaji pekerja dan pembekal supaya transaksi ini mudah dikesan semula dikemudian hari.

#6 – Rekodkan Guna-Dulu Duit Syarikat

Ini adalah perkara biasa yang dilakukan oleh usahawan perniagaan kecil. Ada yang menggelarkan kelakuan ini sebagai rompak-duit-syarikat. Tidak mengapa, tiada yang salah. Yang salah jika tidak direkod. Jika direkod, anda perlu memulangkan semula duit yang telah dipinjam dengan cara bayar semula atau memotong pendapatan yang diterima dari syarikat. Tetapi, ia bukanlah amalan yang baik dan sihat dalam pengurusan kewangan syarikat.

#7 – Rekodkan Modal-Dulu Kepada Syarikat

Ini juga adalah perkara biasa buat perniagaan kecil. Anda menggunakan wang peribadi untuk menampung kos operasi syarikat. Ini juga wajib direkod supaya anda tahu berapa banyak modal yang telah dikeluarkan untuk perniagaan. Jika perniagaan mendapat keuntungan, anda boleh mengambil semula wang ini dengan cara yang betul.

#8 – Sediakan Duit Tunai

Duit tunai atau petty cash adalah duit yang dikeluarkan dari bank dan disimpan untuk tujuan kecemasan atau perkara-perkara yang memerlukan wang segera. Ia perlu ditetapkan jumlahnya bagi kegunaan dalam tempoh sebulan. Jumlah yang disimpan perlulah bersesuaian dengan operasi syarikat dan tidak besar jumlahnya.

Kesimpulan

Anda harus membiasakan diri menyimpan rekod perniagaan yang lengkap walaupun perniagaan anda masih kecil. Dengan menyimpan rekod perniagaan secara konsisten, kita dapat mengkaji untung rugi perniagaan dan memudahkan kita mengembangkan perniagaan di masa hadapan.

Anda tidak perlu menjadi seorang akauntan bertauliah untuk lakukan semua perkara ini, cukup sekadar anda belajar, faham dan patuh pada undang-undang yang ditetapkan.

 

Pautan gembira: System UrusNiaga, Sistem Pengurusan Perniagaan Kecil Sederhana


Featured Image: Business photo created by rawpixel.com – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen