Farm Fresh bakal ke Bursa Saham

Farm Fresh bakal ke Bursa Saham

SERDANGFarm Fresh Sdn Bhd bakal menjadi syarikat pengeluar tenusu pertama negara disenaraikan di Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Operasinya, Azmi Zainal berkata, pihaknya dalam proses permohonan penyenaraian dan bakal menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO).

“Kami jangkakan IPO diterbitkan pada November 2020 dan sekarang kita masih dalam proses melengkapkan IPO berkenaan.”

“Dari segi nilai jualan dan semuanya kita memang sudah layak untuk ke IPO dan kami memang ke arah itu berikutan ramai yang meminta Farm Fresh menerbitkan IPO.”

“Sekarang memang sudah sampai masanya bagi kami ke Bursa dan IPO ini mengambil masa setahun untuk dilengkapkan semuanya” katanya yang ditemui sempena sesi lawatan ke ladang Farm Fresh di Ladang 16, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Azmi berkata, menjelang 2020 pihaknya menjangkakan untuk mencapai RM380 juta jualan dengan 20 hingga 25 peratus disumbangkan daripada segmen usahawan Farm Fresh.

Beliau berkata, melangkah ke hadapan pihaknya akan membuka ladang baharu Farm Fresh di Perak dan Pahang pada tahun depan.

“Buat masa ini, kami mempunyai empat ladang di Malaysia dan tiga di Australia yang mana ladang di Malaysia sahaja mampu menghasilkan kira-kira 20 juta liter susu setahun. Kami mengeluarkan lebih kurang 36 peratus daripada pengeluaran susu mentah negara dan bagi menampung permintaan yang sentiasa meningkat, kami turut memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) RM80 juta tahun depan” katanya.

 


Sumber: MyMetro


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen