Borak Tepi bersama Zulkfli Bahrul, AMZ Smart Auto Services

Zulkfli Bahrul Mazi

Mengusahakan bengkel penyelenggaraan dan membaiki kereta memerlukan kemahiran dari segi teknikal dan komunikasi yang berkesan sesama manusia.

Berpengalaman lebih 12 tahun dalam penyelenggaraan automotif, beliau mengusahakan AMZ Smart Auto Services bagi memenuhi permintaan setempat dan mampu bertahan sehingga kini walaupun pelbagai cabaran yang ditempuhi.

Berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada Tuan Zulkfli Bahrul Mazi, pengasas AMZ Smart Auto Services.

#1 – Kemahiran anda bermula dari mana, dari pengalaman atau latihan?

Saya bermula dengan memasuki sekolah Vokasional aliran SPMV dalam bidang automotif. Selain mempelajari akademik, dilatih teori dan amali tentang enjin petrol dan diesel. Setelah tamat sekolah saya tidak meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya mengambil keputusan untuk bekerja menimba pengalaman. Bekerja dengan bengkel servis kereta sekitar kediaman. Sepanjang tempoh bekerja, Kah Motor Honda Sdn Bhd dan juga Proton Edar Sdn Bhd adalah antara tempat saya menimba pengalaman.

AMZ Smart Auto Services
AMZ Smart Auto Services

Apabila sudah dirasakan cukup pengetahuan yang perlu. Sekitar tahun 2005, saya mengambil keputusan untuk membuka bengkel sendiri. Cubaan pertama, bengkel pokok ceri orang kata. Pada tahun 2007, saya mendaftarkan perniagaan AMZ Smart Auto Services secara rasmi.

Walaupun masih tidak dikatakan berjaya, saya bersyukur masih beroperasi setelah lebih 10 tahun dan mampu menggajikan 2 orang mekanik sepenuh masa.

#2 – Apa yang perlu ada dan tahu sebelum buka bengkel?

Selain pengetahuan teknikal tentang perniagaan ini, perkara asas adalah modal. Saya bermula dengan modal sendiri, membeli peralatan dan keperluan lain. Sedikit demi sedikit sehingga apabila dirasakan perlu untuk membesarkan bengkel, baru saya membuat pinjaman bank, saya tidak pernah mendapat geran atau dana kerajaan.

Hubungan dengan pembekal spare-part, pengetahuan asas untung rugi dan juga cara mengendalikan pelanggan antara perkara yang perlu diambil serius.

AMZ Smart Auto Services

Seeloknya, pergilah ambill kursus perniagaan atau belajar mengurus kewangan sebelum membuka bengkel. Teknikal kita memang pandai, hal-hal untung rugi ini perlu tahu juga, walaupun nanti kita akan menggunakan khidmat orang lain.

#3 – Pengalaman pahit sepanjang membuka bengkel?

Pengalaman pahit sama seperti perniagaan servis yang lain, yang minta diskaun walaupun sudah tahu sudah harga bawah kos. Tetapi yang paling pahit adalah, apabila pelanggan tidak membayar hutang.

Pelanggan saya terdiri daripada syarikat-syarikat logistik, pengusaha teksi dan individu perseorangan.

Syarikat-syarikat ini akan menghantar kenderaan mereka untuk di servis atau dibaiki setiap bulan, jika perlu. Setiap bayaran yang dikenakan akan di invois pada akhir bulan. Ada yang tertunggak sehingga berbulan-bulan, jika ada 20 buah kereta, kos untuk 20 buah kereta telah dikeluarkan dahulu.

Pada tahun 2015 suasana ekonomi agak suram, ketika itu banyak bayaran tertunggak tidak boleh dikutip, lebih malang pelanggan menutup perniagaan mereka. Sebagai usahawan kecil, tiada apa yang mampu saya buat. Ini adalah pengalaman paling pahit, kerana saya perlu menanggung kerugian yang agak besar.

#4 – Antara motivasi bagi anda meneruskan perniagaan ini?

Antara motivasi yang membuatkan saya masih bertahan adalah pekerja. Sokongan keluarga, pelanggan dan penduduk setempat.

Pekerja yang berdedikasi adalah aset yang penting bagi pengusaha bengkel. Lagi berpengalaman lagi tinggi gaji yang perlu kita beri. Sokongan keluarga adalah motivasi yang tak ternilai, kerana kita akan ada pasang surut semangatnya. Setidaknya, ada yang akan tanya pagi-pagi, “tak pergi bengkel ke?”

AMZ Smart Auto Services

#5 – Antara tips yang boleh diberikan buat mekanik yang ingin buka bengkel?

Tips yang saya boleh berikan berdasarkan pengalaman:

1 – Jangan beri pelanggan berhutang. Ini paling bahaya, kerana pelanggan yang berulang atau lama akan mula hendak berhutang apabila kosnya besar. Sediakan polisi selagi tidak habis bayar kereta tidak boleh dibawa keluar dari bengkel.

2 – Pastikan ada modal pusingan. Ini penting untuk membayar overhead bulanan, membeli komponen dan alatan yang perlu. Setakat ini, overhead AMZ tidak lebih 15 ribu sebulan termasuk gaji pekerja.

3 – Kualiti kerja mesti dijaga. Terangkan kepada pelanggan mengapa komponen perlu ditukar atau tidak perlu. Ada pelanggan yang datang sudah belajar dalam Facebook, datang sahaja sudah mengarahkan kita untuk terus tukar komponen. Mereka ingat mereka pandai.

4 – Persediaan mental. Ada masa kita akan disalahkan, ada masa kita perlu menanggung kerugian yang tidak disengajakan. Perlu kekal positif dalam menangani segala isu yang timbul.

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


AMZ Smart Auto Services
Lot 70 jln kempas kg tengah batu 13
47100 Puchong Selangor Darul Ehsan.

Telefon: 012-660 4567
Facebook Page: AMZ Auto Services 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen