3 Sektor Pacu Kejayaan Industri Teknologi

3 Segmen Pacu Kejayaan Sektor Teknologi

KUALA LUMPUR — Sektor teknologi khususnya segmen e-dagang, sukan elektronik atau e-sukan dan industri animasi mencatat perkembangan serta kejayaan bermakna dari segi pulangan dan akses pasaran pada tahun ini. Dipacu oleh sokongan padu kerajaan dan penggiat utama di tengah-tengah kepesatan usaha penerapan budaya digital di negara ini.

Jika diamati, kerjasama antara agensi utama kerajaan, persatuan serta entiti swasta bukan sekadar diaktifkan pada tahun ini. Sebaliknya telah dijalinkan sejak awal dekad ini yang menjadi asas bagi hala tuju sektor itu di masa-masa akan datang.

Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) yang telah dijenamakan semula sebagai Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia. Menjangkakan ekonomi Malaysia akan meningkat semula pada pertengahan 2020 apabila inisiatif serta program yang baharu diperkenalkan oleh kerajaan mula menampakkan hasilnya.

Menurut Pengerusinya, Ganesh Kumar Bangah, kerajaan juga telah menumpukan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) menerusi rangka kerja teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) – Industri4WRD, robotik, analitik dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pengubah ekonomi negara pada masa depan.

Ketika bercakap pada satu majlis anjuran Kumpulan Bank Dunia di Washington DC pada April lepas. Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut menekankan kepentingan ekonomi digital Malaysia yang secara purata berkembang sembilan peratus setahun dari segi nilai tambah bagi tempoh 2010 sehingga 2016 yang turut mengatasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, ekonomi digital menyumbang 18.5 peratus kepada ekonomi negara pada 2018 dengan hasilnya mencecah RM267.7 bilion.

Sektor e-dagang yang menyumbang RM115.5 bilion atau lapan peratus pada tahun lepas, dijangka menjadi pemacu utama ekonomi digital menjelang tahun depan, demikian menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

#1 – E-dagang

Terbukti, tempoh 2019 menjadi tahun pencapaian bagi sektor e-dagang menerusi beberapa kejayaan besar yang turut memberi impak kepada negara ini.

Ini termasuk kejayaan segmen e-dagang PIKOM yang menggerakkan siri #MYCYBERSALE bagi tahun ketiga dengan meraih angka rekod apabila jualannya mencecah RM500 juta yang dijana menerusi 1,500 pedagang sepanjang tempoh jualan tahunan itu pada September.

Malah, acara #MYCYBERSALE pada hari ini merupakan penyumbang hasil dan pendapatan terbesar kepada persatuan itu.

Pengarah e-dagang MDEC Song Hock Koon berkata sumbangan subsektor e-dagang domestik kepada KDNK masih agak kecil berbanding China atau Amerika Syarikat; namun prospek sektor itu adalah cerah berikutan jualan runcit dalam talian di Malaysia dijangka meningkat 23 peratus setahun sehingga 2021.

Populariti acara jualan sehari dalam talian, Singles’ Day (11.11) tahun ini dilaporkan merekodkan angka tertinggi. Analisis platform maklumat iPrice Group berkata perbelanjaan pengguna Malaysia meningkat 13 peratus pada 11 November lepas berbanding purata perbelanjaan pada 2018 dan 2017.

Bagi acara jualan 12.12 (12 Disember), platform rebat tunai ShopBack Malaysia berkata tiga penggiat utama e-dagang Malaysia yang juga rakan e-dagangnya iaitu Lazada, Shopee dan Taobao mencatat pertumbuhan trafik melebihi 800 peratus bagi jam pertama berbanding tempoh sama sehari bulan itu sebelum berlangsungnya acara beli-belah dalam talian berkenaan.

Malah, ShopBack dilaporkan menjangkakan memberi rebat tunai bernilai kira-kira RM500,000 kepada penggunanya tahun ini – meningkat dua kali ganda berbanding angka pada festival sehari pada 2018.

Sementara itu, syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba Group menyifatkan Malaysia sebagai sebuah masyarakat pelbagai budaya yang mempunyai minat mendalam terhadap ekonomi digital, kini berada pada kedudukan baik bagi membantu perusahaan tempatan meneroka beberapa pasaran terbesar di serata dunia.

Naib Presiden Inisiatif Globalnya, Brian Wong berkata, Alibaba akan terus menyokong perniagaan Malaysia dan membantu mereka mencapai potensi penuh sepanjang tempoh transformasi tersebut.

Alibaba turut menyokong projek DESA – program yang memperluas capaian dan peluang dalam ekonomi digital kepada masyarakat luar bandar di seluruh Malaysia selain menjadi pemangkin penting kepada e-dagang Malaysia kerana menggerakkan rangkaian bekalan usahawan di pedalaman.

Menerusi sokongan MDEC, Alibaba dan Lazada, perniagaan tersebut yang turut merangkumi peniaga produk tani dan makanan, kini dapat menyertai dan meraih manfaat daripada ekonomi digital itu.

Usaha itu diilhamkan daripada Taobao Village di China yang mana produk-produk penduduk desa itu dikumpulkan dan membolehkan pengusahanya turut menimba cara menjual produk masing-masing di Taobao.

Projek perintis di Bentong, Pahang itu akan membantu pengeluar luar bandar memasarkan produk seperti beras organik, halia, serbuk halia, sos soya dan kacang tanah Sempalit kepada pengguna secara dalam talian di serata Malaysia serta pasaran baharu di seluruh dunia.

#2 – Animasi

Tahun ini turut membuktikan industri animasi komputer Malaysia sebagai sektor yang wajar diberi tumpuan, termasuk kejayaan besar mencatat “box-office” atau pecah panggung dalam kalangan filem tempatan.

Antara kejayaan manis itu adalah filem “Ejen Ali: The Movie” baru-baru ini yang meraih kutipan melebihi RM25 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei dalam tempoh tiga minggu pertama tayangannya.

Karya bersama Primeworks Studios dan Animasi WAU, filem itu akan menembusi pasaran Indonesia pada 1 Januari ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation Usamah Zaid Yasin.

Awal tahun ini, dua filem animasi lain juga tidak kurang hebatnya – “Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal” berjaya mencatat kutipan RM26.2 juta manakala ‘BoBoiBoy The Movie 2,’ meraih RM29.6 juta.

Dua filem itu jauh mengatasi filem tempatan lainnya apabila meraih lebih separuh daripada hasil kutipan keseluruhan tiket tempatan dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Malah, MDEC menerusi Laporan Animasi Asia Tenggara 2018, berkata industri animasi tempatan diunjur mencecah US$404.8 bilion pada 2023.

Mengikut kajian MDEC, industri kandungan kreatif Malaysia yang merangkumi filem dan pemaju permainan (elektronik), menjana RM7.4 bilion pada 2017 manakala pada 2018, nilai eksport produk animasi sahaja mencecah RM146 juta selain mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

Laporan yang dikeluarkan tahun ini berkata terdapat 100 syarikat animasi di Malaysia manakala jumlah kumpulan digital kreatif kebangsaan adalah 350 syarikat dengan hasil kerja kreatif tempatan turut dieksport ke 120 buah negara.

Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif dan Teknologi MDEC, Hasnul Hadi Samsudin, berkata Malaysia tidak boleh meminggirkan pasaran animasi global berikutan kemampuan negara ini menjadi penggerak dalam bidang teknologi kandungan kreatif.

Menurutnya, industri kreatif Asia Tenggara juga berpotensi serta berupaya menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara masing-masing berikutan peningkatan jumlah projek penyumberan luar yang diberi kepada rantau ini selain kewujudan beberapa harta intelek tempatan yang asli serta diiktiraf.

#3 – E-sukan

Segmen e-sukan, sebagaimana dinyatakan oleh Laporan Inisiatif Industri Permainan Asia Tenggara MDEC yang merujuk Malaysia, Thailand dan Vietnam sebagai negara yang memiliki syarikat-syarikat permainan elektronik yang mampu menjana hasil US$5 juta dan US$10 juta setahun.

Selain itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut menjalin kerjasama dengan Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios (SIE WWS) untuk mewujudkan studio Asia Tenggara pertama di Malaysia bagi syarikat peneraju industri permainan global itu.

Malah, Menterinya, Gobind Singh Deo menyifatkan kerjasama itu sebagai pengiktirafan besar terhadap Malaysia sebagai nadi industri permainan video di rantau ini.

Menerusi studio itu, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan SIE WWS untuk mencipta lebih banyak peluang untuk industri permainan tempatan dan rantau ini, sekali gus memajukan kumpulan bakat di Malaysia selain mengadakan perkongsian dengan rakan kongsi pendidikan tempatan.

Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios Malaysia Sdn Bhd (SIE WWS Malaysia) akan menyediakan perkhidmatan hasil seni dan animasi sebagai sebahagian aktiviti SIE WWS bagi membangunkan judul eksklusif global bagi platform PlayStation.

Dari segi eksport, Gobind berkata Laporan Industri Tahunan dan Sukuan MSC Malaysia menunjukkan eksport permainan itu meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 118 peratus kepada RM681 juta bagi tempoh 2014 hingga 2018.

Landskap domestik juga mengetengahkan 53 studio dengan kebanyakannya membangunkan permainan video tempatan dan mewujudkan harta intelek selain turut membimbing bakat untuk projek tempatan dan antarabangsa, katanya.

“Tidak dinafikan lagi industri ini kini menjadi pemacu penting bagi ekonomi digital kita. Malah, ini adalah perkara penting berikutnya yang mendapat minat ramai anak muda, dari segi pilihan kerjaya,” kata beliau sewaktu berucap pada majlis penutupan acara LEVEL UP KL 2019, pada November lepas.

MDEC telah menganjurkan LEVEL UP KL BIZ dan LEVEL UP KL PLAY pada 9-10 November lepas yang juga festival permainan terbesar di Malaysia.

Ia adalah sebahagian daripada mandat MDEC untuk menerajui ekonomi digital Malaysia menerusi pertumbuhan industri permainan video negara yang bermatlamat mewujudkan platform untuk pemain, pembangun permainan, korporat dan e-sukan yang membolehkan semua pihak memanfaatkan pasaran hiburan terbesar itu sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi utama rantau ini.

Apa yang pasti, prospek segmen ICT, e-dagang, e-sukan atau animasi pada masa akan datang sememangnya besar dan mampu melonjakkan landskap teknologi tempatan yang dipacu oleh sokongan padu semua pihak terbabit – daripada kerajaan dan agensi utamanya, persatuan serta kalangan masyarakat.

 


Sumber: BERNAMA
Featured Image: Background photo created by rawpixel.com – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen