Borak Tepi bersama Raja Hafiz, Pegawai IT Berdedikasi

Raja Hafiz

Membina sesebuah sistem yang baik dan memberi manfaat kepada orang ramai memerlukan pemerhatian dan fokus yang konsisten. Ia mampu dilakukan dengan sebaik mungkin bermula dari pengetahuan yang ada.

Raja Mohammad Hafiz, seorang pegawai IT yang bertugas di Hospital Ampang, telah membantu menyelesaikan isu waktu menunggu pesakit dengan membina sistem pengurusan giliran yang diberi nama iQMS. Ia bermula apabila sistem yang telah sedia ada tidak lagi berfungsi seperti sepatutnya dan tidak disokong lagi oleh pihak pembekal.

Berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada beliau.

#1 – Anda adalah seorang kakitangan kerajaan, apa motivasi dan bagaimana anda mahir membina sistem?

Sebagai kakitangan kerajaan yang bekerja dalam suasana hospital. Dimana, setiap hari melihat pesakit yang ada walaupun skop kerja hanya IT sahaja. Secara fitrahnya akan timbul rasa kasihan melihat pesakit-pesakit ini. Pintu masih belum dibuka sudah beratur menunggu, malah pernah viral sebelum ini dimana para pesakit menyusun selipar, botol air dan sebagainya untuk beratur menunggu sebelum kaunter dibuka. Perkara-perkara sebeginilah yang memberikan motivasi kepada saya untuk terus berkhidmat. Apatah lagi, melihat ramai warga emas yang datang ke hospital. Terbayang sekiranya berlaku pada sanak saudara sendiri. Walaupun IT tidaklah berurusan secara langsung dengan pesakit, namun setidak-tidaknya IT boleh memberikan sedikit keselesaan dengan pembangunan sistem seperti iQMS.

iQMS
iQMS, JomLaunch7

Saya tidaklah mahir sangat membina sistem. Malah jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan di luar sana yang bekerja dalam sektor swasta sudah tentu lebih jauh ketinggalan. Tunjuk ajar daripada rakan-rakan, dan melalui carian Google dan pembacaan dalam Stack overflow amatlah membantu saya dalam membina sistem. Suasana bekerja di hospital kerajaan membataskan ruang pembelajaran, dimana kebanyakkan peralatan dan perisian yang ada sudah usang, atau berstatus end-of-life.

Saya perlu lebih kreatif dalam menggunapakai kesemua yang ada dalam menghasilkan sistem. Sedikit sebanyak ianya melatih diri saya untuk tidak bergantung kepada teknologi-teknologi baru yang sudah tentu lebih memudahkan. Pada hemat saya, pembinaan sistem memerlukan kemahiran teknikal yang mana hanya latihan berterusan sahaja boleh menajamkan kemahiran tersebut.

#2 – Sebelum seorang Pegawai IT, siapa anda yang umum perlu tahu?

Sebelum saya berkhidmat sebagai Pegawai IT, saya adalah programmer di negeri Perlis dan berkhidmat di bawah Koperasi KOUNIMAP iaitu koperasi bagi Universiti Malaysia Perlis. Tugas utama saya adalah membina sistem kewangan bagi operasi koperasi tersebut. Ketika itu juga, saya mula berkenal-kenalan dengan ahli-ahli JomWEB dan juga berkenalan dengan En. Idham Ismail yang memberikan pendedahan tentang pembangunan sistem dan berkenalan juga dengan yang lain.

Sebelum itu juga, saya hanyalah seorang pelajar di UiTM Dungun dalam jurusan Sains Komputer.

#3 – Apa pandangan anda tentang segelintir yang memandang rendah kemampuan programmer kerajaan?

Stigma yang kami terima sebagai programmer kerajaan memang pedih untuk dihadam, namun ada sedikit sebanyak kebenaran disitu. Mereka yang memandang rendah akan kemampuan kami kebanyakkannya menilai kami berdasarkan projek-projek kerajaan yang umum seperti ePerolehan dan sebagainya. Namun mungkin mereka tidak sedar yang projek-projek seperti ini kebiasaannya majoriti besar pembangunan dilakukan oleh pihak swasta dan bukannya 100% in-house oleh kami.

Oleh yang sedemikian, saya berpendapat masih banyak ruang yang pihak kami boleh perbaiki untuk meningkatkan nama baik programmer kerajaan. Antaranya adalah dengan berkongsi pengalaman dan projek melalui platform-platform yang sedia ada seperti JomLaunch khususnya.

JomLaunch
JomLaunch edisi ke 7

#4 – Antara cabaran dan rujukan perseorangan ketika membina sistem iQMS?

Saya pecahkan cabaran ini kepada dua bahagian, iaitu cabaran teknikal dan cabaran pengguna.

1 – Cabaran Teknikal

Dari sudut cabaran teknikal, cabaran yang paling utama adalah perkakasan dan perisian yang sudah obselete dan usang. Untuk membina iQMS, saya perlu memastikan sistem ini sesuai untuk digunapakai pada perisian Internet Explorer 8 iaitu versi terkini yang disokong oleh WinXP. Sudah tentu apabila bercerita mengenai IE8 ini, banyak features moden yang tidak disokong yang diperlukan oleh kebanyakkan JS Framework diluar sana. Ianya membataskan penggunaan JS framework yang lebih moden yang memudahkan pembinaan.

Penggunaan SmartTV juga memberikan satu cabaran dimana spec browser sukar dikenalpasti dan sukar untuk dibuat bahan ujikaji (tiada RnD). Jadi bagi kaunter yang menggunakan SmartTV untuk iQMS, banyak bugs muncul pada awal implementasi. Kaedah pembetulan pula lebih kepada try-and-error. Namun alhamdulillah, perkara tersebut dapat diatasi.

2 – Cabaran Pengguna

Cabaran pengguna pula adalah dari sudut SOP bekerja. Di Hospital Ampang kami mempunyai 14 kaunter yang mempunyai sistem QMS tersendiri . Setiap kaunter pula mempunyai flow kerja yang berasingan. Dimana ada yang memanggil nombor dan ada yang memanggil nama pesakit. Bagi memastikan iQMS tidak menganggu flow kerja yang sedia ada bagi keselesaan kepada petugas, saya seboleh mungkin akan membuat integrasi dengan peralatan QMS yang sedia ada, dimana ada yang sudah lebih 10 tahun usia modelnya.

Dengan cara ini, gangguan kepada flow kerja dapat diminimakan dan tiada latihan perlu diberikan kepada petugas. Bagi kaunter-kaunter yang QMS nya sudah rosak, kami akan mengantikannya dengan iQMS dan latihan dan flow kerja akan mengikut flow iQMS.

#5 – Tips mudah buat mereka yang berminat hendak membina sistem berkaitan Hospital?

Bagi mereka yang berminat untuk membina sebarang sistem yang berkaitan dengan Hospital atau Healthcare, sila pastikan sistem-sistem tersebut dibina mengikut piawaian HL7 dan mengikut standard yang lain. Ini untuk memastikan sistem anda dapat di integrasikan dengan sistem-sistem yang lain juga.

Persekitaran hospital adalah unik, dimana tiada satu sistem yang mengawal semua perkakasan. Sebaliknya ianya lebih kepada satu ekosistem, dimana banyak sistem berinteraksi antara satu sama lain. Justeru itu, standard seperti HL7 amatlah penting dalam memastikan sistem-sistem ini dapat berinteraksi.

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


Images: JomLaunch


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen